
18 Tips Syarikat Pemula Yang Berjaya
Kepada pemilik syarikat pemula dan pemilik perniagaan IKS, ini tips untuk anda sebagai panduan ke arah memiliki sebuah perniagaan yang berjaya.
- Selesaikan masalah sebenar dan penuhi keperluan dunia sebenar. Memang seronok mempunyai produk yang bersifat inovatif dan menarik tetapi pada akhirnya, ia harus memenuhi keperluan semasa pasaran yang disasarkan. Syarikat terbaik ialah syarikat yang memenuhi keperluan pelanggan dan dapat beradaptasi dengan perubahan.
Advertisement
- Kepimpinan itu lebih daripada visi. Sebagai pemimpin dalam syarikat, ianya dimulakan dengan idea dan ia menjadi asas hala tuju sesebuah syarikat. Tetapi yang mendorong syarikat mara ke depan ialah pemimpin di mana mereka menjadi contoh teladan dari segi kesungguhan dan etika kerja.
- Pilih pasukan yang bersesuaian. Ya, idea memang milik anda tetapi anda juga memerlukan pasukan yang sesuai dengan keperluan syarikat. Pasukan ini bukan sekadar mengikuti visi yang digariskan tetapi juga sesuai dengan etika dan budaya syarikat.
- Cari mentor. Usah takut mencari orang-orang yang lebih berpengalaman dalam sesebuah bidang sebagai mentor. Ini kerana majoriti individu sebegini tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dengan orang baru industri.
- Jadikan etika budaya syarikat sebagai asas syarikat. Budaya syarikat bukan saja menentukan identiti syarikat tetapi aspirasi syarikat pada masa akan datang.
- Bila memulakan perniagaan, elok sekiranya mempunyai entiti perniagaan. Entiti perniagaan merupakan jaringan perlindungan anda dari kerugian kewangan dan tidak mengancam aset-aset peribadi.
- Sentiasa arif dengan aspek perundangan perniagaan. Walaupun perkara ini bersifat membosankan tetapi ia melindungi anda dan syarikat dari apa-apa perkara yang boleh menjejaskan syarikat di kemudian hari. Justeru, jangan ambil mudah aspek perundangan formal terutama membabitkan kontrak.
- Hati-hati dengan idea yang dibawa. Idea yang dimiliki tidak harus didedahkan kepada sesiapa kecuali kepada orang-orang yang boleh dipercayai sahaja. Nak bercakap di khalayak, tiada masalah. Yang penting, staf bersedia menandatangani perjanjian tanpa pendedahan (NDA) demi melindungi maklumat syarikat yang sensitif.
- Apa saja rancangan perniagaan anda, berusahalah untuk merealisasikannya. Perubahan dan gangguan boleh bikin anda kaget tetapi dengan pelan sebegini, ia membolehkan anda fokus dan membuat keputusan untuk mencapai objektif yang dinyatakan.
- Jangan takut dengan persaingan. Ini menunjukkan idea yang dibawa sememangnya mendapat sambutan dan persaingan juga boleh buatkan anda fokus dan menambahbaik kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
- Ada pelan memang penting tetapi lakarkan rancangan yang membawa kepada objektif yang dinyatakan.
- Bina dan perkukuhkan reputasi dalam pasaran. Itu merupakan sebahagian daripada kunci kejayaan sesebuah perniagaan. Tanpa reputasi yang baik, agak sukar bagi sesebuah syarikat mara ke depan. Menulis dan bercakap tentang bidang yang diceburi amat membantu kerana boleh membina hubungan baik dengan orang luar termasuk klien berpotensi.
- Hasilkan kandungan. Dalam era internet hari ini, kandungan sesebuah blog, video, podcast atau apa saja bentuk laman media sosial yang boleh menyelitkan nama syarikat atau idea anda dilihat sebagai ejen promosi utama kepada klien yang berpotensi. Dalam dunia siber, klik, jumlah tontonan dan hubungan merupakan mata wang dunia tersebut dan boleh menonjolkan anda sebagai pemimpin dalam bidang yang dinyatakan.
- Bina hubungan. Hubungan yang baik merupakan kunci kejayaan sesebuah perniagaan tetapi pastikan ia bersifat menang-menang kepada semua. Hubungan yang baik boleh mencambahkan rangkaian yang diperlukan sesebuah perniagaan.
- Menolak status quo atau perkara bersifat kebiasaan memang berisiko tetapi amat penting dalam menentukan hala tuju perniagaan. Jangan takut untuk berkata tidak jika ia dibuat selepas mengambil kira semua faktor.
- Bersabar semasa meraih dana diperlukan. Meraih dana untuk syarikat baru sememangnya mencabar dan mengambil masa tetapi jangan ambil tawaran bila tawaran pertama muncul. Lihat dan nilai bentuk tawaran yang dibuat termasuk bentuk kelebihan yang ditawarkan sebelum menerima tawaran yang dibentangkan.
- Menunjukkan keazaman dalam memulakan perniagaan baru memang seronok tetapi elok juga ia dilapik dengan sikap hati-hati. Ini bagi memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan sememangnya berkualiti dan mewujudkan pandangan pertama yang positif.
- Berseronoklah. Segala usaha yang diletakkan akan menjadi sia-sia jika anda merasa tidak gembira di tempat kerja. Tidak salah berseronok semasa bekerja selagi mana kerja dapat diselesaikan dengan jayanya.
Ikuti nasihat Mark Cuban yang berjaya jual syarikat pemula beliau pada tahun 1990 dengan nilai 6 juta dolar : 5 Nasihat Kewangan Teragung Mark Cuban
Artikel asal: Forbes