fbpx

Bonenkai – Tradisi Akhir Tahun Yang Menakutkan Pekerja Jepun

0 3,461

Tempoh akhir tahun pra-pandemik merupakan tempoh yang tidak dinantikan oleh golongan pekerja di Jepun. Ini kerana tempoh ini merupakan tempoh bonenkai atau parti akhir tahun diadakan. Dengan ancaman Covid-19 masih belum reda, tidak ramai yang berhajat mahu meneruskan tradisi pejabat Jepun itu.

Bonenkai bermaksud parti lupakan tahun ini dalam Bahasa Jepun. Dalam keraian sebegini, pekerja lelaki dan perempuan bergaul dan minum bersama majikan atau pengurusan tinggi syarikat dengan tujuan menambahbaik komunikasi antara mereka. Bonenkai juga dikatakan pencetus perkataan nomucation iaitu gabungan perkataan nomu (minum) dan cation (singkatan daripada communication/komunikasi).

Advertisement

Walaupun kadar vaksinasi semakin meningkat dan kes menunjukkan penurunan, ramai warga Jepun lebih rela melupakan bonenkai. Ini dibuktikan menerusi dua kaji selidik yang dijalankan akhbar Asahi Shimbun dan Nippon Life Insurance. Kaji selidik Asahi Shimbun menunjukkan majoriti responden membenci tradisi tersebut kerana perlu menjaga tingkah laku sesama mereka atau di hadapan bos mereka.

Sementara 60% responden kaji selidik Nippon Life Insurance menyifatkan komunikasi selepas waktu bekerja sebagai tidak perlu. Ia jauh mengatasi 11% responden yang menganggap bonenkai perlu dalam menambahbaik komunikasi majikan-pekerja.

Bila ditanya sebab responden menolak bonenkai, majoriti menyatakan tidak tahan tekanan mematuhi hierarki organisasi dalam sesi perkumpulan sosial yang sepatunya ringan dan gembira. Ada menganggap bonenkai sebagai kerja lebih masa tidak bergaji. Baki responden menyatakan mereka menolak alkohol.

Bonenkai bukan saja popular dalam kalangan syarikat-syarikat swasta Jepun. Ia juga popular dalam kalangan guru, pensyarah dan kakitangan awam. Ia merupakan penyumbang besar kepada ekonomi waktu malam Jepun semasa tempoh ini.

Bagaimanapun, kebimbangan risiko penularan Covid-19 mendorong banyak syarikat dan jabatan kerajaan memilih membatalkan bonenkai tahunan mereka. Ada juga yang memilih menangguhkan bonenkai ke tahun berikutnya. Yang pasti, tradisi yang bermula dalam kalangan kerabat diraja Jepun semasa era Muromachi (1336-1573) ini tidak akan dirindui oleh para pekerja Jepun.

RUJUKAN

McCurry, J. (2021, 1 Disember). ‘Utter torment’: Japan’s party season loses lustre as workers dread drinking with the boss. The Guardian.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.