fbpx

3 Produk Yang Gunakan Pengiklanan Persepsi Untuk Lariskan Jualan

0 186

Pengiklanan dan promosi adalah elemen paling penting memperkenalkan produk anda kepada publik. Ianya sudah menjadi asam garam sejak zaman berzaman bagi memastikan pelanggan sentiasa ingat akan produk anda. Sejak daripada itu pelbagai jenis pengiklanan digunakan untuk menarik perhatian pelanggan. Tapi hari ini, fokus kita adalah pengiklanan menggunakan persepsi. Macam mana tu?

Mudah, kita membeli produk tersebut kerana terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Sebagai contoh jika ada seseorang yang memviral satu kedai kerana kesedapannya, maka kita berpusu-pusu datang ke sana. Padahal pada lidah kita, rasa makanannya biasa-biasa je.

Advertisement

Jadi berikut adalah 3 produk yang gunakan pengiklanan persepsi untuk lariskan jualan

1. Bijirin

Kepada mereka yang sedang diet, seruan bersarapan tepat pada masa dan berkhasiat terutamanya bijirin pasti akan senantiasa menjadi amalan. Sebenarnya seruan itu hanyalah satu persepsi semata-mata. Hal ini demikian kerana seruan untuk bersarapan bukan amalan yang wajib suatu ketika dahulu.

Dikatakan pada zaman pertengahan Eropah, sarapan merupakan hidangan mewah bagi golongan bangsawan sahaja. Bagi golongan marhaen pula, mereka tidak bersarapan dan hanya makan bermula tengah hari. Kalau ada sarapan pun, mereka tidak makan bijirin.

Perkara ini kita boleh lihat di Malaysia sendiri apabila makanan berat seperti nasi dagang dan sate dijadikan sarapan.

Walau bagaimanapun semua ini berubah ketika dunia memasuki fasa revolusi perindustrian yang pertama. Waktu bekerja sepenuh masa menuntut orang ramai untuk mula bersarapan tapi masalah lain pula timbul.

Mereka yang selalu bersarapan dengan makanan berat mengalami kelesuan dan sakit perut melampau. Bagi mengatasi masalah ini, pelbagai jenis bijirin telah dicipta sebagai alternatif terbaik untuk sarapan.

Bermula sejak itu, syarikat pengeluar bijirin mengiklankan bijirin sebagai sarapan paling bagus.

2. Deodoran

Deodoran yang menjadi rutin hari ini sebenarnya langsung tidak diperlukan pada 100 tahun lepas. Malah deodoran ini sebenarnya dicipta secara tidak sengaja oleh seorang doktor merangkap bapa kepada Edna Murphey yang merupakan orang pertama mengkomersialkan deodoran.

Semuanya bermula apabila doktor itu mencipta untuk mengurangkan peluh di tangannya ketika sedang melakukan pembedahan. Edna Murphey yang nampak produk itu secara tidak sengaja menggunakannya untuk menghentikan peluh di ketiak. Ternyata produk itu berhasilkan dan menjenamakan semula sebagai Odorono.

Walau bagaimanapun, malam tidak selalunya cerah kerana Odorono tidak mendapat sambutan daripada pelanggan. Malah peruncit juga terpaksa memulangkan kembali lebihan Odorono kepada Edna Murphey kerana tidak laku.

Edna Murphey bernasib baik ketika itu musim panas melanda dengan suhu yang sangat tinggi. Secara tidak langsung peluh di ketiak dan bau badan mula meningkat dengan mendadak. Bagi mengatasi masalah itu, orang ramai mula gunakan pakaian dalam dan kapas tapi tidak berhasil. Maka Odorono menjadi jawapan paling ideal untuk mengatasi masalah ini dan Edna Murphey berjaya mendapatkan keuntung berlipat kali ganda.

Sejak itu, deodorant diiklan sebagai produk yang berupaya mengurangkan peluh di ketiak walaupun fungsi asalnya adalah digunakan untuk tangan.

3. Popcorn

Kalau pergi menonton filem di pawagam, pasti popcorn akan turut dibeli sebagai kudapan walaupun harganya begitu Tel Aviv. Persoalannya bagaimana budaya melahap popcorn dalam pawagam boleh muncul?

Pada mulanya, popcorn hanya snek yang dijual di tepi jalan tetapi amat mustahil didapati di pawagam. Hal ini demikian kerana pada awal penciptaan pawagam, tempat itu hanya dikhaskan untuk golongan elitis. Bermakna makanan murahan seperti popcorn langsung tidak memenuhi aspirasi golongan elitis.

Kehadiran The Great Depression membuatkan pawagam terpaksa menurunkan harga sehingga membenarkan golongan marhaen menonton filem. Disebabkan popcorn mudah dibawa dan murah, makanan itu dijadikan peneman kepada marhaen ketika menonton filem.

Penjual popcorn yang ternampak fenomena itu terus bertindak dengan membuka kedai lebih dekat dengan pawagam. Tidak lama selepas itu, pawagam sendiri mula menghasilkan popcorn bersama air bikarbonat.

Sejak itu pawagam mula mempromosi popcorn sebagai hidangan wajib yang diperlukan ketika mahu menonton filem. Malah hari ini popcorn menjadi pendapatan utama pawagam kerana mereka tahu setiap pembeli tiket pasti mahu dapatkan popcorn biarpun harganya mahal.

RUJUKAN:

Everts, S. (2012, Ogos 2). How advertisers convinced americans they smelled bad. Smithsosian Magazine. Dipetik daripada https://www.smithsonianmag.com/history/how-advertisers-convinced-americans-they-smelled-bad-12552404/

Geiling, N. (2013, Oktober 3). Why do we eat popcorn at the movies? Smithsosian Magazine. Dipetik daripada https://www.smithsonianmag.com/arts-culture/why-do-we-eat-popcorn-at-the-movies-475063/

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.