fbpx

3 Tempat Terbaik Untuk Simpan Duit Raya Anak Anda

0 1,665

Sambutan Hari Raya tahun ini sedikit hambar dek kehadiran wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini secara tidak langsung menjadikan kutipan duit raya untuk anak anda yang menjadi tradisi setiap tahun sedikit terjejas.

 

Meskipun begitu, ini tidak bermakna anda boleh abaikan simpanan duit raya anak anda itu walaupun kutipannya sedikit. Simpan sendiri lama-lama takut terguna ataupun terlupa letak kat mana pula nanti.

 

Advertisement

Jadi, adalah lebih baik anda tetapkan tempat khas untuk simpanan duit raya anak anda. Berikut 3 tempat yang boleh dicadangkan.

 

1. Akaun Tabung Haji

Seperti mana kita semua tahu, kelebihan ada akaun di Tabung Haji adalah subsidi untuk kos pergi Haji. Berdasarkan laman web Tabung Haji, bagi yang pertama kali menunaikan haji, kosnya adalah sebanyak RM22,900.

 

Subsidi yang diberikan pula adalah sebanyak RM12,920. Jumlah yang anda perlu tanggung hanya RM9,980. 50% kos pengurusan haji disubsidikan, siapa yang tidak mahu bukan?

 

Tapi nak dapat subsidi ni, kenalah beratur panjang tunggu giliran. Kalau anda bukakan akaun untuk anak anda sekarang, kemungkinan 40 tahun lagi barulah tiba giliran anak anda. Ada kes yang buka akaun pada tahun 2018, lagi 100 tahun dia punya giliran!

Lagi lama anda tangguh, lagi lamalah giliran anak anda.

 

Simpanan minimum untuk pengesahan dapat giliran pergi haji adalah RM1,300. Memandangkan kutipan duit raya anak mungkin tak cukup tahap tu, kenalah tambah duit mak bapanya. Demi masa depan anak, apa salahnya kan?

 

duit-raya-tabung-haji

Paling tidak pun, selepas 18 tahun kalau kita terdesak perlukan duit untuk pendidikan anak kita, duit simpanan tadi tu dah jadi RM2,213 disebabkan hibah tahunan (andaian 3% setiap tahun) yang diberikan oleh Tabung Haji.

 

Cakap pasal dana pendidikan anak, kat bawah ni adalah simpanan terbaik untuk tujuan itu.

 

2. Simpanan SSPN

Dengan serendah RM30 sebulan, anda sudah boleh bukan akaun SSPN untuk anak anda. Molek sangat tu, lagipun sekarang ni buat pinjaman PTPTN syaratnya kena ada akaun SSPN.

 

Lagi-lagi yang kena bayar cukai dan tak tahu mana lagi perbelanjaan yang hendak dimanfaatkan sebagai pelepasan cukai, inilah alternatif yang sesuai dengan anda.

pelepasan-cukai-sspn
Sumber : SSPN

 

Bak pepatah, sambil menyelam sambil minum air. Sambil buat simpanan untuk anak, sambil dapat pelepasan cukai.

 

duit-raya-manfaat-takaful-sspn

Bukan itu sahaja, simpanan SSPN juga dipakejkan sekali dengan takaful. Wah, dah dapat pelepasan cukai, dapat pula perlindungan untuk anak. Mantul bukan?

duit-raya-pakej-sspnPersoalannya, nak ambil pakej yang mana satu? Hah, ini anda kena timbang tara antara pelepasan cukai dan objektif simpanan anda.

 

Dah nama pun simpanan untuk pendidikan, mestilah objektifnya untuk pendidikan anak kan?

 

Dana Pendidikan
Sumber : Sinar Harian

Kita ambillah purata kos pendidikan anak bila masuk universiti adalah  RM30,000. Berapa yang perlu anda simpan dengan andaian anak anda umur 18 tahun nanti nak sambung belajar ?

 

dana-pendidikan

Memandangkan dividen SSPN secara purata 4%, kita andaikan pulangan adalah 4% setiap tahun. Jadi, anda perlu simpan sebanyak RM1,170 setiap tahun bersamaan RM97.50 sebulan.

Jadi, pakej yang sesuai anda ambil adalah pakej Topaz dengan komitmen RM100 sebulan.

Padan sangat tu. Lagi pun lepas tolak sana sini pelepasan cukai, saya kena bayar lagi RM1,000 untuk cukai. Daripada bayar cukai, baik saya simpan untuk anak” kata Mak Jemah.

Tapi anda kena ambil tahu, daripada RM100 tu, RM10 diperuntukkan untuk takaful. Oleh itu, peruntukan simpanan yang sebenarnya adalah RM90 sahaja.

 

dana-pendidikan

Dengan simpanan RM90 setiap bulan, anda kekurangan lebih kurang RM1,700 lagi untuk cukupkan matlamat anda iaitu RM30,000.

“Lepas tolak semua pelepasan cukai, saya kena bayar cukai lagi RM2,000. Jadi, saya sesuailah ambil pakej Zamrud?”

Betul dah tu kalau anak seorang. Kalau anak ada dua orang, boleh ambil pakej Topaz untuk 2 orang.

“Saya kena bayar cukai lagi RM1,000 , tapi nak ambil pakej Zamrud boleh je kan?”

Boleh, tiada masalah. Tadi cerita untuk orang nak optimakan pelepasan cukai. Nak ambil pakej yang lebih mahal pun tiada masalah.

 

Nak lagi berbaloi, RM100 letak dalam SSPN dan RM100 lagi letak dalam akaun ASB. Kenapa? Baca poin seterusnya ni.

 

3. Simpanan ASB

Kalau dah tiada keperluan untuk pelepasan cukai, bolehlah simpan selebihnya dalam akaun ASB untuk anak. Sebabnya, pulangan ASB lebih tinggi daripada SSPN iaitu purata 5.5%.

“Ala, tak beza banyak mana pun. Baik letak dalam SSPN, dalam perlindungan takaful lebih”

Berbalik kepada objektif asal. Nak takaful atau pelepasan cukai atau pulangan untuk kumpul dana pendidikan? Jom kita buat perbandingan.

 

Jika anda simpan RM200 dalam SSPN, RM180 dilaburkan dan RM20 dicarum untuk takaful. Selepas 18 tahun, berikut jumlah yang terkumpul :

duit-raya-dana-pendidikanJumlah terkumpul dengan pulangan 4% adalah RM56,587.

 

Manakala jika RM100 dalam SSPN dan RM100 dalam ASB pula adalah seperti berikut :

dana-pendidikan

duit-raya-dana-pendidikanJumlah SSPN = RM28,293

Jumlah ASB = RM36,422

Jumlah keseluruhan = RM28,293 + RM36,422 = RM64,715

 

Beza kaedah SSPN+ASB adalah lebih sebanyak RM8,128 berbanding letak dalam SSPN sahaja.

 

Walaubagaimanapun, ini hanya kiraan kasar sebagai panduan asas. Ada beberapa faktor anda kena ambil kira seperti kenaikan kos pendidikan saban tahun. Untuk dapatkan kiraan yang lebih tepat agar anda tidak tersasar daripada matlamat untuk dana pendidikan anak anda, bolehlah jumpa dengan perunding kewangan yang bertauliah dibawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

Yang penting adalah sediakan simpanan untuk masa depan anak-anak anda. Kalau boleh kita nak elakkan mereka daripada buat pinjaman untuk pendidikan mereka kelah. Itulah yang sebaiknya.

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.