fbpx

4 Faktor Menjadikan UAE Sebuah Negara Terkuat

0 1,361

  • Pelabuhan Jebel Ali di Dubai tersenarai sebagai pelabuhan ke-20 tersibuk dunia


Advertisement

  • UAE dan China telah menandatangani 16 memorandum persefahaman, termasuk kerjasama pertahanan


 

Emiriyah Arab Bersatu (UAE), negara kecil di timur Semenanjung Arab di Teluk Parsi, menarik perhatian baru-baru ini dengan perjanjian pelaburan bernilai hampir AS$23 bilion di Indonesia, yang disifatkan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo sebagai kemungkinan satu pelaburan terbesar dalam sejarah Indonesia.  

Perjanjian sebahagaian projek pembangunan infrastruktur besar-besaran yang menjadi fokus Jokowi dalam penggal keduanya ini juga mungkin melibatkan projek pembinaan ibu negara baru Indonesia.  

   

Walaupun dicatat sebagai satu kejayaan dan potensi lonjakan besar bagi Indonesia, perkembangan ini juga satu lagi bukti kedudukan UAE sebagai salah sebuah negara terkuat dunia, yang terus menunjukkan potensi untuk menjadi sebuah negara paling berpengaruh.     Semua ini didorong oleh empat faktor yang berkait, membantu secara langsung dan tidak langsung pengukuhan UAE di persada antarabangsa.    

1. Ekonomi kukuh

Ekonomi UAE ialah yang kedua terbesar dalam kalangan negara kaya di Teluk Parsi – selepas Arab Saudi – dengan nilai keluaran dalam negara kasar AS$414 bilion pada 2018, dan per kapita KDNK ke-29 di dunia. Walaupun sumber ekonomi utamanya masih lagi sumber minyak, ia semakin mempelbagaikan ekonominya.    

UAE juga ialah satu satu pemain utama dalam pengurusan pelabuhan, dengan pelabuhannya, Jebel Ali di Dubai tersenarai sebagai pelabuhan ke-20 tersibuk dunia, dalam senarai yang didominasi pelabuhan China dan Asia Timur. Dubai juga telah kukuh sebagai sebuah hab perbankan dan kewangan antarabangsa, di lokasi titik tengah antara Eropah dengan Asia.  

UAE ialah negara perdagangan paling aktif di Teluk Parsi dan Asia Barat, dan sedang mengembangkan penglibatan dalam pengurusan pelabuhan di seluruh rantau Asia Barat dan Tanduk Afrika, terutama di Somaliland yang mahu merdeka daripada Somalia.    

2. Kedudukan strategik

UAE terletak di Teluk Parsi, kawasan sumber minyak dan laluan pengangkutan sumber itu ke timur, terutama China. Kawasan ini secara keseluruhan tidak terdedah kepada bencana alam, dan politiknya kekal stabil, melalui pergolakan serantau sepanjang dekad lalu – yang menyaksikan kekacauan di beberapa negara serantau lain – dengan relatif aman.    

Kedudukan berjiran dengan Iran, sebuah negara yang aktif dari segi perdagangan serantau, dan dekat dengan Asia Selatan juga membantu merancakkan kegiatan ekonominya. Lokasi strategik – dibantu oleh kelebihan pelabuhan dan perbankannya – ini juga menjadikannya tumpuan oleh China, negara perdagangan yang sedang membina hubungan lebih akrab dengan UAE.    

Selepas kukuh sebagai lokasi pelabuhan utama di Teluk Parsi, dengan kedudukan di laluan sempit Selat Hormuz, penglibatan di Somaliland dan Tanduk Afrika mengukuhkan pula kedudukan UAE di satu lagi laluan sempit, Bab al-Mandeb di antara benua Afrika dengan Semenanjung Arab.  

3. Hubungan dengan China

Hubungan dagang kuasa ekonomi UAE-China meningkat pantas sepanjang 2019, dengan pelaburan  infrastruktur berbilion dolar, sebahagian daripada projek Belt and Road, dipersetujui antara kedua-dua negara. UAE berpotensi menjadi hab atau pengkalan bagi China di Asia Barat, selain kepentingan berkait sumber minyak dan kepentingan laluan laut Teluk Parsi sebagai jalan pengangkutan utama bekalan minyak China.    

zayed xi
Pertemuan antara Putera Mahkota Mohammed bin Zayed dan Presiden Xi Jinping

Tahun lalu, dalam lawatan Putera Mahkota Mohammed bin Zayed ke Beijing bertemu Presiden Xi Jinping, kelihatan jelas tanda-tanda hubungan yang semakin berkembang dan diperkukuhkan, selari dengan kepentingan bersama. Antara pencapaian penting pertemuan ini ialah 16 memorandum persefahaman, termasuk kerjasama pertahanan.    

Kerjasama dua kuasa ekonomi dunia ini, yang sedia terjalin dalam sektor perbankan, minyak dan petrokimia, dan pelancongan, akan terus mengukuhkan ekonomi masing-masing, dan membuka ruang untuk pelaksanaan agenda dasar luar.    

4. Potensi kuasa lunak

Kesungguhan UAE dalam membina imej popular di mata dunia terbukti dengan pelancaran pelan Strategi Kuasa Lunak UAE oleh Majlis Kuasa Lunak negara ini pada 2017. Sejak itu, program penting dalam mengukuhkan kedudukan UAE di peringkat global ini semakin agresif dilaksanakan, bagi menyokong kuasa ekonomi dan politik negara bercita-cita tinggi ini.    

Dunia juga mengenali pasukan bola sepak Inggeris, Manchester City, yang dibina dan digilap prestasi dan imejnya oleh syarikat Abu Dhabi sejak dibeli oleh Abu Dhabi United Group for Development and Investment pada 2008. Melalui subsidiarinya City Football Group, empayar bola sepak UAE ini kini bertapak di seluruh dunia dari Melbourne di Australia hingga ke New York di Amerika Syarikat.    

Pada masa yang sama UAE juga menonjolkan diri dalam mempromosi “Islam sederhana” dan toleransi melalui kumpulan dan forum menggabungkan ulama dan intelektual Islam sedunia, yang juga berfungsi sebagai instrumen dasar luarnya, dalam persaingan memegang peranan kepimpinan dunia Islam.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.