fbpx

8 Cara Untuk Berjimat Dalam Membeli Makanan

0 934

Makanan merupakan salah satu keperluan asas yang membolehkan manusia daripada kesemua zaman terus hidup. Walau bagaimanapun, makanan itu boleh bertranformasi kepada kehendak jika ianya diambil secara berlebihan ataupun premium.

 

Jika pernah terdengar frasa, “jangan berkira untuk makan” pasti anda berfikir sejenak, adakah ianya termasuk kepada selera terhadap makanan premium.

 

Advertisement

Frasa itu juga sudah tidak boleh digunapakai pada ketika dunia sedang gering dilanggar koronavirus. Jadi apakah cara yang boleh digunakan untuk berjimat dalam membeli makanan?

 

1. Kumpul Kupon

 

Menggunakan kupon dengan cekap dapat membantu mengurangkan semua jenis perbelanjaan termasuklah makanan. Burger King dan Dominos Pizza adalah antara premis yang aktif memberikan kupon kepada pelanggan.

 

Melalui kupon itu anda dapat menikmati makanan dengan harga murah berbanding yang tertera di menu restoran. Awas, terlebih dahulu anda harus pastikan kupon itu benar-benar memberikan potongan harga.

 

Hal ini demikian kerana terdapat beberapa kes di mana kupon tetap memberikan harga yang sama setelah dinaikan oleh premis perniagaan. Paling penting sekali anda harus tahu turun naik harga barang setiap minggu bagi memastikan kupon itu bermanfaat.

 

2. Buat Senarai Pembelian

Membuat senarai sebelum pergi ke pasar raya adalah begitu penting sekali bagi memastikan kita hanya mendapatkan barang-barang yang diperlukan sahaja.

 

Namun terkadang produk yang kita inginkan itu habis dan memerlukan kita mendapatkan produk lain. Pastikan ianya masih lagi dalam lingkungan bajet maksimum yang telah ditetapkan.

 

3. Jangan Berbelanja Secara Berlebihan

Mematuhi senarai yang dibikin akan memastikan setiap perbelanjaan itu berada pada tahap anggaran diperlukan.

 

Ketika di pasar raya, usahakan supaya anda tidak mencapai produk-produk bukan keperluan seperti coklat dan manisan barangkali. Walaupun terdapat promosi dan harga yang begitu murah daripada biasa, mohon tahan seketika nafsu anda.

 

4. Beli Makanan Untuk Tempoh Seminggu

Rancang dahulu makanan apa yang perlu dibeli sebelum memasuki pasar raya dan hanya beli untuk tempoh seminggu sahaja.

 

Berhati-hati ketika membuat pilihan dan pastikan ianya menepati kualiti serta penjimatan yang ingin dilakukan. Pilihan ini yang akan memainkan peranan sama ada anda boleh menyimpan atau wang terbuang begitu sahaja.

 

5. Membeli Dalam Kuantiti Diperlukan

Anda perlu membeli makanan seperti perisa makanan sup bunjut dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

 

Sebagai contoh, anda boleh membeli sepaket kecil perisa kari untuk diguna sebagai bahan masakan. Jika anda membeli paket besar, bermakna anda sedang buang duit dan membazir.

 

6. Tahu Cara Membeli Dengan Betul

Tahukah anda, membeli seekor ayam lebih murah daripada membeli secara kepingan ayam seperti dada, kepak dan peha.

 

Bayangkan, ayam seekor mungkin anda hanya perlu membayar sekitar RM12 sahaja. Kepingan bahagian ayam pula anda perlu membayar secara timbang dengan harga yang agak mahal.

 

Jadi, beli ayam dalam kuantiti seekor dan potonglah dirumah kepada bahagian yang lebih kecil. Bukan itu sahaja, anda juga boleh dapat daging sejuk beku yang lebih murah berbanding daging segar.

 

Masakan yang sedap bergantung kepada cara anda mengolah makanan itu dan bukan berkisar tentang bahan-bahannya.

 

7. Beli Makanan Laut Apabila Terdapat Promosi

Makanan laut adalah sangat penting jika anda mahu melakukan diet dan perlu dimakan dua kali seminggu untuk membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

 

Walau bagaimanapun, harga makanan laut tidaklah murah jika anda ingin dapatkannya di pasar raya ataupun pasar basah. Anda boleh sahaja pergi ke pengkalan nelayan untuk dapatkan makanan laut yang murah dan segar.

 

Namun tidak semua diantara kita tinggal berdekatan dengan laut dan ianya memakan kos untuk pergi ke situ.

 

Penyelesaiannya, beli makanan laut pada ketika berlakunya promosi. Hal ini akan menjimatkan perbelanjaan disamping dapat menikmati makanan segar.

 

8. Selalu Masak Di Rumah

Jika anda seringkali bergantung kepada makanan yang dibeli daripada restoran, sila berhenti kerana kita tidak tahu berapa kandungan perasa dalam makanan itu.

 

Atasilah kekusutan itu dengan cuba memasak di rumah dengan menu yang muda dan hanya sekali sekala sahaja makan di restoran.

 

Kelebihan jika memasak sendiri adalah anda dapat memanfaatkan makanan yang tinggal untuk sebuah menu menarik dan melazatkan. Paling penting adalah masak sendiri rumah begitu murah berbanding makan di restoran.

Source Haotanto, A. (2020, November 1). 10 ways to spend less on food – no fasting required. Free Malaysia Today.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.