fbpx

Adakah Kereta Lambang Status Kekayaan Seseorang?

0 356

“Pakwe kau handsome, ada Honda? Tak ada, emm lemah.”

Dialog sedemikian rupa hari ini sering kali berkumandang di Tik Tok untuk menunjukkan betapa kereta ini sebagai satu alat status sosial. Bukan itu sahaja, kereta ini juga dijadikan sebagai satu indikator wajib bagi segelintir orang untuk mengukur tahap kejayaan kita. Malah ramai yang sanggup berhutang dan makan Maggi sehari-hari hanya demi memiliki sebuah kereta berharga di luar kemampuan. Bak kata Altimet;

Advertisement

“Kalau tinggal rumah sewa tapi beli kereta mewah, amboi amboi.”

Persoalannya kenapa kita sering beranggapan kereta melambang status sosial seseorang? Sedangkan fungsi kereta pada asalnya adalah memudahkan pergerakan kita dari satu tempat ke tempat yang lain.

Secara asasnya, kita sendiri sebelum mahu keluar rumah pasti akan memakai baju yang sesuai agar kelihatan kena dengan suasana. Sebagai contoh jika hadiri majlis perkahwinan pasti kita akan memakai kemeja bagi lelaki. Jangan pula pakai jersi Manchester United kerana tidak sesuai dan kena hina sebab kalah besar 5-0.

Sama juga halnya seperti pakai kereta kerana ramai dari kita beranggapan mereka yang menggunakan kancil turbo adalah pekerja kelas bawahan sahaja. Jadi dengan menggunakan kereta yang lebih mahal sedikit, anda dapat mengubah pandangan orang lain terhadap anda.

Senang cerita, kita membeli kereta hanya untuk memuaskan pandangan orang sahaja. Sebagai contoh, jika anda memiliki kereta berjenama Honda walaupun sekadar second hand pasti ramai yang memandang tertinggi. Bahkan wanita-wanita mula mendekati anda dengan alasan Honda itu adalah tanda tahap kemampuan kewangan anda.

Tapi ramai juga tidak menyedari bahawasanya mereka bukan setakat perlu bayar ansuran bulanan sahaja, bahkan perlu juga sediakan modal untuk maintenance dan cukai jalan. Satu lagi yang perlu anda tahu adalah nilai kereta akan sentiasa turun dan jika beli hanya mahu puaskan hati orang adalah sangat tidak berbaloi. Itu belum cerita jika kereta anda tiba-tiba sahaja rosak.

Tambahan pula 70 peratus daripada rakyat Malaysia langsung tidak miliki walaupun sekelumit simpanan kecemasan. Hal ini sangat membahayakan andai terjadi apa-apa terhadap pekerjaan kita suatu hari nanti kerana ketiadaan wang untuk membayar ansuran bulanan kereta.

Selain itu pengiklanan juga memainkan peranan penting dalam menjadikan sesebuah kereta itu kelihatan eksklusif dan mahal. Perkara ini memberikan persepsi kepada kita untuk memiliki kereta tersebut dengan segera hingga menyebabkan kita terciduk untuk membayarnya.

Apa-apapun sebenarnya memiliki kereta yang lebih mahal langsung tidak menunjukkan anda kaya. Hal ini kerana anda perlu menanggung lebih banyak kos. Maka anda terpaksa bekerja keras siang dan malam bagi memastikan kereta tersebut terus meluncuri jalan raya.

Kaya yang sebetul-betul kaya adalah apabila anda miliki kebebasan kewangan dan simpanan kecemasan mencukupi. Cuba lihat orang-orang kaya di Malaysia seperti Vincent Tan dan Syed Mokhtar Al-Bukhari, sampai ke hari ini kita tidak pernah mengetahui kereta apa yang mereka pakai. Warren Buffet yang tersenarai dalam 10 orang paling kaya di dunia juga hanya gunakan kereta murah sahaja.

Kesimpulannya, nak beli kereta apa sekalipun semuanya terserah kepada anda. Namun harus pastikan harga kereta itu sesuai dengan bajet anda. Pastikan juga ansuran bulanan kereta tidak melebihi 15 peratus daripada pendapatan. Nak lagi mudah, anda boleh darabkan gaji anda selama 12 bulan untuk memgetahui harga kereta yang sesuai. Jika gaji anda adalah RM1500 sebulan, maka anda hanya mampu beli kereta yang berharga RM18000 ke bawah sahaja.

RUJUKAN:

Ariv. (2015, November 12). The car as a status symbol. Guide My Essay Malaysia. Dipetik daripada https://guidemyessaymy.com/2015/11/12/the-car-as-a-status-symbol/

Financial Fred. (2020, Mac 30). Cars as status symbols: Broke and rich. Dipetik daripada https://financialfred.com/cars-as-status-symbols-broke-and-rich/

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.