
Amerika Syarikat Pernah Haramkan Arak Tetapi…
Larangan arak sentiasa distigmakan terhadap negara-negara Islam. Persepsi ini sebenarnya tidak tepat. Banyak negara sudah melaksanakan larangan arak secara separa atau menyeluruh. Dan mereka masih gagal dari segi pelaksanaan.
Apa masalahnya? Jawapan mudah adalah rakyat sendiri. Dalam elemen jual beli, ada satu disiplin mudah: ada permintaan, ada bekalan. Cuba selidik balik kenapa rakyat Malaysia masih merokok, sedangkan kedai tidak dibenarkan jual kepada remaja sejak 2000-an lagi.
Advertisement
Sesetengah orang sangka masalah akan selesai jika benda terlarang diharamkan terus. Macam bab rokok, baik haramkan terus. Bab arak pun sama. Amerika Syarikat pernah cuba haramkan arak dan rokok.

Tetapi mereka gagal. Alasannya? Ada permintaan; ada bekalan. Cuma persoalannya, bekalan apa yang masuk dalam negara?
Memperkenalkan Konsep Arak Haram
Ingat tak tahun 2018 dulu ada kejadian yang mana 21 orang mati kerana keracunan arak? Waktu itu, orang ramai berdegar-degar sampai tahi sangkut di gelegar. Disuruhnya haramkan saja arak secara habis-habisan, padahal tidak faham isu sebenar. Mereka tidak mengalami keracunan kerana minum Carlsberg atau Heineken. Sebaliknya mereka minum Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky dan King Fisher (Bernama, 2018) yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

Jadi mereka mati kerana minum arak haram. Kedengaran macam oxymoron – tetapi itu yang kena faham dulu.
Golongan kongsi gelap sangat suka apabila kerajaan sebuah negara ingin melarang arak. Kerana mereka tahu – rakyat masih mahukan arak yang tidak dapat dibeli dari pasaran sah. Sehari dua mereka boleh bertahan. Lama-lama, mesti mencari punya.
Belajar Daripada Iran
Selepas membentuk kerajaan pada tahun 1979, kerajaan Ruhollah Khomeini mengharamkan arak di sisi undang-undang. Sesiapa yang membeli jika ditangkap memang teruk kena sebat dalam penjara. Teknik pencegahan ini mungkin sesuai untuk golongan yang ingin mencuba.
Bagi yang sudah ketagih, takkan menjadi kerana mereka perlu rawatan… bukan penguatkuasaan undang-undang. Walau bagaimanapun, teknik pencegahan ini jelas sekali tidak menyelesaikan masalah. Iran masih dibelenggu gejala arak meskipun telah haramkan selama empat dekad.
Ambil contoh tahun lalu, apabila Iran ditimpa musibah badai pandemik COVID-19. Terlalu ramai dijangkiti SARS-CoV-2. Dan ramai meneguk arak haram sampai 44 orang mati (AFP, 2020). Mereka sangka arak boleh mencegah SARS-CoV-2. Orang boleh selamba cakap, “eh, bangangnya mereka.”
Tetapi cuba fikir sejenak – orang Malaysia siap letak daun neem keliling rumah kerana sangka ia mencegah. Ada yang jual pembersih tangan bebas alkohol kerana kononnya lebih Islamik. Jadi dasar di sini semua boleh bayang sendiri: persepsi mereka cenderung arak kerana…? Arak adalah perkara biasa di situ.
Iran Berubah Kedudukan
Selama ini Iran tidak banyak berkata-kata pasal arak. Seolah-olah masalah arak tidak wujud dalam kalangan masyarakat mereka. Tetapi sejak Hassan Rouhani menjadi Presiden Iran bermula tahun 2013, rakyat Iran mula disajikan realiti semasa.
Sepanjang jalan ke Laut Caspian (tempat percutian popular), rakyat Iran akan nampak papan iklan bertema sama: “botol arak dan kereta hancur”. Ramai terkejut tengok papan iklan sebegitu, kerana sudah lama sangka Iran tiada masalah ketagihan (Erdbrink, 2017).
Kempen kesedaran sebegini mendidik rakyat supaya tidak minum dan kemudian pandu kereta. Sebelum ini, mereka ikat pada “jangan minum” semata-mata. Perubahan ini berlaku kerana 10 peratus rakyat Iran masih minum arak menurut ISNA. Iran ada 83.99 juta rakyat, yang mana 99 peratus beragama Islam. Kalah Rusia. Kalah Jerman. Fikir sejenak: dua negara yang benarkan arak pun kalah.
RUJUKAN:
AFP. (2020, Mac 10). 44 maut akibat minum arak haram bagi elak jangkitan COVID-19. Berita Harian.
Bernama. (2018, September 19). Keracunan arak: 21 kematian, dua dilapor di luar fasiliti KKM. Astro Awani.
Erdbrink, T. (2017, September 11). Decades After Alcohol Ban, Iran Admits It Has a Problem. The New York Times.