fbpx

Ancaman Utama Penyebaran Nuklear Amerika Syarikat

0 487

Asia-Pasifik adalah wilayah yang paling penting dari segi ekonomi di dunia, tetapi ia juga merupakan kawasan yang paling bergolak setelah A.S. mula menyahstabilkan wilayah tersebut sebagai sebahagian daripada kempen strategi agungnya untuk “membendung” China.

Ianya sudah pun cukup menyusahkan bahawa Amerika Syarikat mula mencampuri urusan dalaman China di Wilayah Autonomi Khas Hong Kong, wilayah Taiwan dan Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang, tetapi A.S. juga mewujudkan dua pakatan ketenteraan pelengkap menentang China: perikatan Quad di antara dirinya, Australia, India , dan Jepun, dan perikatan AUKUS dengan Australia dan UK.

Advertisement

Pakatan ketenteraan kedua yang disebut ini [AUKUS] adalah sangat berbahaya kerana projek utamanya adalah bertujuan untuk melengkapkan Australia dengan armada kapal selam berkuasa nuklear. Seperti yang ada sekarang, hanya negara-negara yang memiliki senjata nuklear yang mampu memiliki kapal selam yang sedemikian, jadi ini akan menjadi pertama kali negara yang tidak bersenjata nuklear memilikinya. Indonesia dan Malaysia telah memberikan amaran bahawa risiko perkara ini mungkin memicu perlumbaan senjata di peringkat serantau, dengan Kuala Lumpur menyatakan kekhuatiran terutamanya mengenai perlumbaan senjata nuklear.

Dimensi nuklear pada AUKUS ini kelihatannya telah memberikan semangat kepada Jepun. Dua daripada para pesaing yang mahu menerajui Parti Demokratik Liberal yang berkuasa di Jepun berikutan daripada keputusan Perdana Menteri Yoshihide Suge untuk tidak bertanding semula pada akhir bulan ini, iaitu mantan Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan Taro Kono dan mantan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Sanae Takaichi, mereka menyokong untuk menerokai kemungkinan negara mereka memilki armada kapal selam berkuasa nuklear sendiri.

Apa yang sangat mengganggu mengenai minat mereka terhadap sistem [kapal selam berkuasa nuklear] ini ialah Jepun adalah satu-satunya negara yang mengalami serangan nuklear, serangan yang mana dilancarkan oleh sekutunya yang sekarang iaitu Amerika Syarikat pada hari-hari terakhir Perang Dunia Kedua. Oleh itu, masyarakat Jepun sangat sensitif terhadap semua isu yang berkaitan dengan nuklear, terutamanya selepas berlakunya bencana nuklear Fukushima pada tahun 2011. Tambahan pula, Jepun sepatutnya mengikuti polisi pasifisme menurut perlembagaan pasca perang, namun ingin memiliki armada kapal selam berkuasa nuklear menunjukkan pengembalian kepada militansi.

Menteri Pertahanan Jepun, Nobuo Kishi adalah seorang hawkish anti-China yang baru-baru ini mengeluarkan komen yang membimbangkan mengenai Kepulauan Diaouyu China dan wilayah Taiwan. Hal ini semakin meningkatkan kebimbangan bahawa kerajaan Jepun mungkin secara serius menyetujui kemungkinan yang berbahaya ini jika salah seorang daripada dua pesaing yang disebut itu terpilih untuk memimpin parti pemerintah pada 29 September. Tokyo mungkin salah mengira bahawa kapal selam berkuasa nuklear akan meningkatkan kedudukan dan prestij serantaunya, tetapi kapal-kapal selam tersebut hanya akan memprovok Beijing dan memperburukkan hubungan antara mereka

Kebimbangan lain penyebaran nuklear di rantau Asia-Pasifik ini adalah bahawa A.S. pada suatu hari nanti mungkin akan memasukkan sekutunya daripada perikatan Quad iaitu Australia dan/atau Jepun dalam program yang disebut sebagai “perkongsian nuklear”. Program ini adalah merujuk kepada dasar Amerika Syarikat yang menempatkan senjata nuklear di negara-negara yang tidak bersenjata nuklear.

Negara-negara yang sekarang ini ditempatkan senjata nuklear oleh A.S. adalah termasuk negara NATO iaitu Belgium, Jerman, Itali, Belanda, dan Turki. Memperluaskan program ini ke rantau Asia-Pasifik boleh menjadikan negara-negara tersebut sasaran yang berpotensi untuk polisi serangan kedua nuklear [nuclear second-strike policy] China, yang mana ia adalah sesuatu yang tidak produktif untuk objektif kepentingan keselamatan mereka.

Walaupun begitu, histeria anti-China yang disebarkan oleh A.S. di seluruh Asia-Pasifik boleh berpotensi mempengaruhi para pemimpin negara-negara tersebut untuk membahayakan rakyatnya demi mendapatkan persetujuan sekutu Amerika mereka.

Adalah sangat diharapkan bahawa tidak ada negara bukan-nuklear lain yang ingin memperolehi kapal selam berkuasa nuklear, apatahlagi menyertai program “perkongsian nuklear” A.S., tetapi senario seperti ini tidak dapat dikesampingkan secara sepenuhnya memandangkan kepada ketegangan serantau yang diprovokasi Amerika, walaupun semua orang harus tahu bahawa China akan mempertahankan kepentingannya.

Asia-Pasifik seharusnya menjadi wilayah kemakmuran dan keamanan bersama [mutual prosperity and security], bukannya medan kepada persaingan kalah mati [zero-sum] dari sudut ekonomi dan ketenteraan. Amerika Syarikat tidak peduli mengenai akibat daripada polisi penyahstabilan [destabilizing policies] yang dilaksanakannya di rantau belah sini memandangkan ia terletak di belahan lain dalam dunia, dan oleh kerana itu, A.S. tidak akan mengalami akibat daripada polisi-polisi tersebut secara langsung seperti yang akan dirasai oleh sekutu-sekutu serantaunya jika mereka memprovokasi perang sebenar dengan China.

Perang dingin yang baru perlu dikendalikan secara bertanggungjawab demi umat manusia, sebab itulah penyebaran nuklear oleh A.S. di rantau Asia Pasifik mesti ditentang oleh semua pihak.

Terjemahan: Muaz Malik

SUMBER: CGTN, disiarkan pada 27 September 2021

Kredit foto: The Economist

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.