fbpx

Apa Jadi Jika Syarikat Tenaga macam TNB Bankrap?

0 419

Malaysia mencari jalan tengah dalam bab prinsip ekonomi. Tidak terlalu konservatif. Tidak terlalu liberal. Masih ada kelompok swasta yang menggalas peranan besar. Malah dasar kerajaan amat menggalakkan kesinambungan sektor swasta.

Walau bagaimanapun, pihak swasta tidak mendominasi bahagian-bahagian penting seperti sektor tenaga misalnya. Sumber tenaga negara diagih tiga syarikat – Tenaga Nasional Berhad, Sarawak Energy dan Sabah Electricity.

Advertisement

Tiga syarikat ini menguruskan Semenanjung Malaysia dan dua negeri Borneo ikut nama masing-masing. Dalam kalangan tiga beradik ini, TNB adalah abang besar dengan aset mencecah RM100 bilion.

Tidak cukup dengan itu, syarikat ini stabil dibawah naungan Khazanah Nasional. Dan pengerusi Khazanah pula adalah Perdana Menteri Malaysia. Jadi mana mungkin TNB boleh bankrap… melainkan jika ada kesalahan besar dari segi tadbir urus.

Tetapi itu di Malaysia, yang melindungi sumber tenaga dibawah syarikat kerajaan. Kalau Amerika Syarikat, lain ceritanya. Prinsip liberalisme merajai ekonomi negara tersebut, tidak kira parti.

Malah Republikan yang konservatif tidak begitu konservatif dalam bab ekonomi. Jadi semua syarikat dalam negara ini berisiko bankrap jika tersalah langkah. Malah kadang syarikat tidak salah pun sebenarnya.

Ambil contoh pada tahun 2019, apabila California ditimpa musibah kebakaran hutan yang sangat teruk.

Perang paling besar Amerika Syarikat sudah bermula di tanah sendiri.

Kerajaan negeri kena keluarkan belanja sebanyak AS$163 juta untuk usaha padam api yang menjilat 259,823 ekar tanah (Martin, 2020).

Punca kebakaran ini adalah kerana sambaran petir di tanah lapang yang penuh dengan pokok mati dan daun kering.

Banjir yang berlaku disebabkan perubahan iklim.

Patutnya syarikat tenaga Pacific Gas and Electric Company (PG&E) kena bersihkan tanah-tanah lapangan ini dengan program pelupusan sisa kayu (Penner, 2021). Mereka gagal. Jadi banyak pihak mengemukakan saman sampai PG&E terpaksa isytihar bankrap.

Faktor semulajadi dan salah tadbir urus menjadi punca kejatuhan PG&E. Isu tadbir urus juga mengundang padah muflis pada Griddy, yang mengemukakan bil elektrik AS$5,000 kepada pengguna Texas.

Dua syarikat ini adalah contoh yang mana pesaing sektor tenaga pun boleh hilang tenaga sampai tersungkur lemah.

Kesinambungan Tenaga Pada Ambang Krisis Iklim

Isu perubahan iklim semakin mendapat perhatian global. Hujan semakin lebat. Panas pula bertambah ekstrim. Kalau banjir, banjir betul-betul. Kalau kering, kemarau terus sampai terbakar habis satu hutan.

Jadi alam sekitar sekarang tidak seimbang dengan gangguan iklim yang menjadi-jadi. Dan gangguan ini menjadi punca kenapa banyak syarikat tenaga gulung tikar dengan permohonan pelindungan untuk pengstrukturan semula.

The Wall Street Journal misalnya berkata “PG&E adalah kes muflis pertama yang menjadi mangsa perubahan iklim” (Gold, 2019).

Kering kontang yang boleh menyebabkan kebakaran hutan.

Kejatuhan PG&E membuka mata semua pihak… yang faktor iklim kena ambil sebagai risiko. Tetapi orang ramai juga sekarang tahu apa akan berlaku jika syarikat tenaga gulung tikar.

Orang mesti fikir – syarikat muflis, maka sumber tenaga takkan disalurkan. Sebenarnya, tidak. Ikut undang-undang, syarikat muflis wajib terus membekalkan tenaga. Pelanggan (subscriber) wajib mendapat perkhidmatan yang dibayar. Jadi bukan senang untuk angkat kaki keluar, kerana tenaga adalah sumber sangat penting.

Kepentingan sumber tenaga mungkin tidak mengapa-apakan nyawa di Malaysia. Cuma di Amerika Syarikat, keluarga tiada elektrik boleh mati kesejukan ketika musim salji.

Pengalaman Amerika Syarikat harus menjadi contoh buat semua… bahawa tenaga adalah hak asasi manusia. Dan syarikat juga tidak boleh sama sekali berasa terlalu selesa.

RUJUKAN:

Gold, R. (2019, Julai 18). PG&E: The First Climate-Change Bankruptcy, Probably Not The Last. The Wall Street Journal.

Martin, J. (2020, Ogos 23). Satellite views of California as wildfires rage. CNET.

Penner, D. (2021, Disember 10). PG&E Agrees To Remove Tree Trunks Left During CZU Fires. Press Banner.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.