
Kalau kita biasa bercakap tentang telefon pintar, harga yang biasa bermain di fikiran kita sudah tentulah antara RM 2000- RM 3000.
Itu belum lagi bila kita bercakap tentang yang berjenama, dan juga yang peranti mercu. Dari Samsung, Huawei yang masing-masing berharga RM 3000 dan ke atas, dan juga iPhone yang mencecah sehingga RM 5000.
Advertisement
Jadi, bila kita bercakap tentang telefon pintar, kita bercakap tentang peralatan yang mahal untuk dimiliki. Premium dan eksklusif dan mungkin hanya terhad bagi yang mampu sahaja. Itu sebenarnya cerita 5 tahun yang lepas.
Sekarang, banyak sahaja telefon pintar di luar sana yang mampu dibeli pada harga mampu milik.
Kalau kita nak membandingkan telefon pintar bajet ini, sukar untuk kita membuat perbandingan secara objektif. Masing-masing ada kelebihan pada kategori yang tersendiri.
Jadi saya lebih suka untuk memberi panduan kepada anda semua, bagaimana caranya untuk memilih telefon pintar bajet yang terbaik.
Sebelum itu, mari kita definasikan dulu, apa itu telefon pintar bajet. Sebab murah ni perspektif. Kalau pada tangan orang kaya, RM 5000 pun dah kira murah.
Jadi, untuk tujuan rencana, eloklah kalau kita definasikan telefon pintar bajet itu, telefon pintar yang berharga bawah RM 1000.
Di sini, kita ada banyak pilihan, dari yang datang dari China seperti Xiaomi, Realme,Honor, dan juga Huawei. Ada juga yang datang dari Eropah seperti Nokia dan juga dari negara Asia yang lain seperti Samsung dan LG yang juga datang dengan telefon pintar bajet mereka yang tersendiri.
Menilai Cip Pemprosesor
Apa yang membuatkan mereka murah? Sudah tentulah komponen-komponen di dalamnya. Yang pertama sudah tentulah cip pemprosesor. Biasanya pada julat harga ini, telefon pintar itu akan dikuasai oleh cip pemproses Snapdragon 6 series.
Sebaik-baiknya pergilah kepada yang ada Snapdragon 660, ataupun yang setara dengannya. Bagi saya Snapdragon 660 ataupun 675 (iterasi terbaharunya nanti) sudahpun mencukupi.
Snapdragon 660 dilengkapi dengan GPU (Adreno 512) dan enjin AI (Hexagon 680) bagi memastikan prestasi telefon anda akan berada pada tahap optimum.
Cuma, janganglah jangka yang Snapdragon 660 ini boleh menjadi sepantas Snapdragon 855. Selain dari Snapdragon 660/675 kita ada juga Kirin 970 dan juga Exynos 7885.
Kirin 970 pastinya datang dengan kemampuan salinghubung (connectivity) yang terbaik. Masalah Exynos pula,ia tidak datang dengan pemprosessor AI.
Jadi anda boleh buat pilihan sendiri dengan bijak. Anda dinasihatkan supaya tidak memilih pemprosessor yang lebih rendah dari Snapdragon 660, tapi jika perlu, Snapdragon 636 pun boleh dijadikan pilihan.
Paparan Skrin
Yang kedua yang menyebabkan telefon pintar ini murah adalah skrinnya. Kebanyakan peranti mercu menggunakan skrin OLED ataupun AMOLED. Jadi bagi telefon pintar bajet, cukuplah sekadar skrin LCD.
Perbezaan kedua-dua skrin ini adalah dari segi teknologi. Skrin AMOLED sudah tentulah lebih cantik, dan lebih menjimatkan bateri. Skrin LCD pula kurang cantik, dan cepat menghabiskan bateri. Ini kerana perbezaan pada teknologi yang digunakan.
Seterusnya pada resolusi. Kebiasannya pada julat harga rendah seperti ini, resolusi FullHD (1080p) pun sudah mencukupi. Dulu pernah juga Honor keluarkan Honor 8 Pro dengan resolusi Quad HD (2K), tapi bila melihat iterasi terkini Honor 10 Pro yang datang dengan resolusi FullHD, maka bagi saya cukuplah setakat FullHD.
Sebab pada dasarnya saiz skrin telefon pintar anda itu kecil. Jadi buat apa nak resolusi sampai 2K, 4K semua. Samsung Galaxy S20 nanti pun datang dengan resolusi FullHD sahaja. Membazir cari telefon pintar dengan resolusi yang tinggi.
Prestasi Telefon
Yang ketiga yang kita perlu lihat adalah pada prestasi. Prestasi yang dimaksudkan di sini adalah memori simpanan, dan juga memori capaian rawak (RAM). Kalau boleh carilah telefon pintar dengan saiz simpanan 64 GB. Kalau yang 32 GB pastikan ianya datang dengan slot kad memori.
Susahlah nak jumpa telefon pintar bawah RM 1000 dengan saiz simpanan 128 GB ataupun lebih, jadi cukuplah sekadar 64 GB.
Dari segi RAM pula, sebaik-baiknya carilah yang ada RAM 4GB dan ke atas. Kalau 3GB bukan tak boleh, tapi melihatkan pada prestasi telefon pintar Android bila usianya mencecah 2 tahun dan ke atas, seboleh-bolehnya ambillah yang baik sikit.
Sistem Operasi (OS)
Yang terakhir sekali sudah tentulah sistem operasi (OS). Memandangkan semua telefon pintar bajet ini merupakan telefon pintar Android, maka sepatutnya ia bukanlah sesuatu yang memeningkan kepala.
Di sini yang saya nak betulkan anda. Sebaik-baiknya ambillah telefon pintar dengan sistem operasi Android One. Apa itu? Ha, sabar, jangan garu kepala.
Android One adalah satu program yang dilancarkan oleh Google pada tahun 2017. Dengan Android One, peranti anda akan dikuasakan dengan Android yang asli, tanpa sebarang pengubahsuaian, dan juga bloatware yang mungkin akan melambatkan telefon pintar.
Android One juga datang dengan jaminan 2 tahun kemaskini untuk memastikan sistem operasi telefon pintar anda segar.

Bila melihatkan yang kebanyakan telefon pintar bajet ini datang dengan perkakasan yang kurang hebat, maka seeloknya anda pilihlah sistem operasi yang bersih dan ringan dari sebarang bloatware.
Jadi, dari semua kriteria ini, apa telefon pintar bajet yang menjadi pilihan anda? Banyak. Kalau nak yang betul-betul murah, boleh pilih Nokia 3.1 ataupun 2.2. Ataupun Samsung Galaxy A10 yang masing-masing menawarkan harga bawah RM 500.
Selain itu Xiaomi juga banyak menawarkan seleksi telefon pintar mereka pada harga murah. Antaranya Xiaomi Mi A2/ A2 Lite. Kalau nak yang bagus boleh sahaja ambil Redmi Note 8 Pro.
Apa-apapun saya tinggalkan panduan ini buat anda semua. Terpulang pada anda buat pengguna untuk membuat pilihan yang bijak.