
Apa Yang Boleh Dipelajari Daripada Jenama No Name
“No Name” adalah sebuah jenama barangan runcit yang dijual di pasar raya negara Kanada. Sekali pandang sememang tiada apa-apa yang menarik perihal jenama ini. Malahan banyak jenama lain yang lebih menarik dan sedap mata memandang.
Walau bagaimanapun, ianya bisa tampak menarik apabila mereka gunakan slogan, pembungkusan dan iklan yang agak lain.
Advertisement
Bayangkan anda membeli pakaian yang mahal tetapi tanpa jenama. Contoh mudah seperti, anda beli baju berjenama Nike tetapi nama syarikat itu tidak tertera di produk dan hanya tulis perkataan baju sahaja.

Begitulah apa yang diamalkan oleh jenama No Name di Kanada. Dari aspek pembungkusan pula, No Name gunakan warna kuning yang sangat ringkas.
Sebagai contoh produk seperti biskut hanya melibatkan nama biskut, warna kuning dan corak yang minimal. Pakaian seperti baju juga menggunakan teknik yang sama dengan hanya memaparkan perkataan baju dalam bahasa inggeris sahaja.
Bukan itu sahaja, laman sosial jenama No Name itu juga tidak punyai nama. Sebagai contoh, No Name menggunakan nama “Twitter” dan “Website” untuk laman sosial mereka.
Perkara-perkara pelik sebegini sebenarnya telah menarik minat orang ramai untuk mendapatkan produk mereka. Hal ini dapat dibuktikan apabila pada tahun 1978, jenama ini hanya mengeluar 16 produk sahaja tetapi hari ini telah mencapai 2,900 jenis produk.
Jadi apa yang boleh kita pelajari daripada pendekatan pelik jenama No Name ini?
Perkara pertama adalah keluar daripada persaingan antara pelbagai jenama dan produk. Hari ini kita dapat lihat banyak perniagaan yang muncul daripada perkara-perkara yang tular.
Mungkin anda masih ingat ketika tahun 2016, Malaysia pernah dibanjiri oleh premis berasaskan kopi di tepi jalan dan hari ini, perniagaan tersebut telah hilang. Apa kata anda mulakan sesuatu yang baru dimana ianya tidak menuntut anda untuk bersaing.
Kita pernah ada jenama Ramly yang suatu ketika dahulu dianggap sukar untuk berkembang kerana tabiat pemakanan rakyat Malaysia. Tanggapan itu merosot dan akhirnya Ramly memonopoli produk berasaskan burger.
Perkara kedua pula adalah anda harus tahu limitasi dan kemampuan anda dalam membangunkan perniagaan. Jangan terlalu mencuba untuk menjadi sangat unik hingga tidak mampu diterima oleh masyarakat.
Fokuskan dahulu sesebuah perniagaan itu kepada satu produk sebelum beralih kepada produk-produk lain. Pastikan masyarakat kenal apa yang anda tawarkan dan mereka terima tawaran itu.
Perkara ketiga adalah konsistensi dalam membangunkan perniagaan serta jenama. Setelah anda tahu apa yang ingin dijual, anda harus kekal dengan produk itu sehingga ianya dikenali oleh masyarakat.
Usah risau kerana jenama-jenama besar pada hari ini juga perlukan masa yang cukup lama untuk menjadi gergasi. Jika percubaan anda kali pertama adalah gagal, mungkin untuk ke 1000 kali anda akan berjaya dan jenama anda akan terus berkembang pesat.