fbpx

Apakah Bank Tertua Dunia Akan Tutup?

0 208

Semua negara yang mengamalkan ekonomi kapitalisme mempunyai industri perbankan. Industri ini akan ada banyak syarikat yang menawarkan khidmat bank. Macam di Malaysia, ada Maybank, CIMB Bank dan Public Bank. Amerika Syarikat ada Citibank, JP Morgan, Chase Bank. Namun dalam banyak bank ini, bank mana paling tua di dunia?

Memperkenalkan “Banca Monte dei Paschi di Siena”. Sepanjang-panjang namanya, panjang lagi usianya.

Advertisement

Bank ini bermula pada tahun 1472 sebagai institusi gadaian. Memang Eropah banyak institusi ini pada masa itu. Mereka panggil “mount of piety” kerana mengamalkan gadaian tidak kapitalis dengan kadar faedah sangat munasabah.

Zaman dulu ramai dalam kalangan warga miskin bergantung pada “mount of piety”, suatu usaha kerajaan untuk membebaskan mereka daripada belenggu pemiutang tidak berperikemanusiaan.

Banca Monte dei Paschi di Siena adalah sebuah “mount of piety” diasaskan sebuah republik bernama Siena di Itali. Perkataan “di” dalam bahasa Itali bermaksud “daripada”. Jadi maksud nama bank ini semakin jelas: Bank Monte dei Paschi daripada Siena. Selepas berabad mengamalkan aktiviti pemiutang berfaedah rendah, Bank Monte dei Paschi mula mempelbagaikan perkhidmatan.

Apabila Itali akhirnya bersatu pada abad ke-19, bank ini berkembang ke seluruh negara dengan aktiviti lebih meluas. Ia bukan lagi sebuah “mount of piety”, dengan operasi seperti sebuah bank secara rasmi.

Langit Tidak Sentiasa Cerah

Bermula tahun 2000, prestasi bank ini memang hebat. Pengurusannya berjaya membeli banyak syarikat kewangan terutamanya Banca Antonveneta dengan harga €9 billion. Tetapi masuk saja tahun 2008, bank ini mula mengalami masalah akibat Kemelesetan Besar dan Krisis Hutang Eropah.

Pihak pentadbiran bank mencari pasal dengan membuat kontrak bersama Deutsche Bank dan Nomura. Tindakan ini mengundang padah apabila 13 ahli eksekutif Banca Monte dei Paschi dipenjarakan.

Krisis dan skandal adalah dua perkara yang boleh membunuh sebuah bank. Lama Banca Monte dei Paschi cuba bertahan. Pemilik majoritinya iaitu sebuah yayasan pengurusan enggan menjual saham pemilikan untuk mendapatkan dana (recapitalization).

Tetapi pada September 2012, mereka terpaksa akur jua untuk elak penutupan.

Ketika Menghadapi COVID-19

Bank Monte dei Paschi tidak dapat memulihkan imejnya meskipun beberapa tahun selepas krisis Eropah tamat. Pada Julai 2021, ia mendapat satu “anugerah”: peminjam paling lemah dalam Eropah. Status ini bukan suatu gambaran baik untuk bank tersebut.

Ia terlalu negatif, hinggakan pihak kerajaan mula mempertimbang penutupan. Cuba bayangkan: antara 2008 hingga 2021, banyak perkara pelik berlaku.

Kalau setakat masalah undang-undang, bank ini wajar diberi peluang dibawah pengurusan baharu. Masalahnya, bank ini bergelumangan dengan satu kes kematian lagi (Pianigiani & Ewing, 2021).

Senang cakap, makin hari makin mengarut. Sejak bulan lalu, Bank Monte dei Paschi dikatakan sedang berunding dengan sebuah gergasi kewangan bernama UniCredit yang mempunyai aset hampir €1 trilion.

UniCredit sudi membeli Bank Monte dei Paschi dengan satu syarat yang mudah. Untuk berdepan dengan krisis 2008-2012, bank usang ini ada meminta pertolongan kerajaan Itali. Mereka ada mencapai satu persetujuan tentang urusan hutang. UniCredit meminta kerajaan sambung menunaikan komitmen yang dipersetujui.

Setakat ini, belum nampak mana-mana pihak lain yang berminat untuk membeli Bank Monte dei Paschi. UniCredit saja yang sudi. Jika dibeli, pengurusan bank ini akan berpindah ke ibu pejabat UniCredit di Milan.

Dan takhta bank tertua dunia akan diwarisi Bank Berenberg yang diasaskan pada tahun 1590 di Hamburg.

RUJUKAN:

Birnbaum, M. (2012, September 1). In Italy, world’s oldest bank faces uncertain future. Washington Post.

Pianigiani, G., & Ewing, J. (2021, Ogos 17). Days may be numbered for the world’s oldest bank. The New York Times.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.