
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Kemelesetan Ekonomi ?
Ketika dunia sedang kegeringan dilanggar koronavirus, terdapat satu situasi yang sangat merisaukan dan berkemungkinan menjadi sangat teruk.
Hal ini dapat dilihat apabila Bank Dunia meramalkan bahawasanya dunia akan memasuki kemelesetan ekonomi global yang lebih buruk berbanding krisis kewangan pada tahun 2008.
Advertisement
Malaysia sendiripun tidak terkecuali daripada kejahatan koronavirus kerana sudah terlalu ramai yang kehilangan mata pencarian.

Situasi ini dapat dibuktikan dengan jumlah penganggur di Malaysia telah meningkat kepada 610,500 orang bagi Mac 2020 berbanding 521,300 tempoh sama tahun lalu kerana dipengaruhi oleh impak negatif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas pasaran buruh.
Ianya merupakan petanda bahawa Malaysia serta seisi dunia sedang menuju ke arah kemelesetan ekonomi yang sangat teruk.
Dengan itu, apakah yang dimaksudkan dengan kemelesetan? Kemelesetan kebiasaannya didefinisikan sebagai suatu situasi yang terjadi selama dua, tiga bulan, suku dan berturut-turut.
Sekiranya kemelesetan berterusan untuk waktu yang lama sehingga menjadi sangat teruk, ianya akan dikenali sebagai “depression”.
Persoalannya, mengapa kemelesetan adalah situasi yang sangat ditakuti oleh seisi dunia? Secara umumnya, pertumbuhan ekonomi adalah perkara yang baik bagi kebanyakan orang.
Hal ini demikian kerana lebih banyak pekerjaan yang akan dapat ditawarkan. Impaknya syarikat akan mendapat lebih keuntungan dan mampu menggajikan pekerja yang ramai.
Ekonomi yang berkembang juga membawa maksud kerajaan akan mendapat lebih banyak wang melalui sistem cukai.
Usah khawatir kerana wang itu akan dikembalikan kepada rakyat melalui kemudahan infrastruktur dan pengangkutan awam. Di Malaysia pula ianya dikembalikan melalui bantuan-bantuan tunai yang telah disediakan pihak kerajaan.
Apabila ekonomi merosot, kesemua perkara ini akan menjadi terbalik serta sangat membebankan rakyat.
Sebilangan negara-negara maju sedang mengalami pertumbuhan negatif dan penurunan KDNK untuk Januari sehingga Mac 2020 ketika koronavirus mula memberi kesan kepada ekonomi dunia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan penurunan besar dalam KDNK untuk tahun 2020 secara keseluruhannya. IMF juga menjangkakan ekonomi dunia akan menyusut sebanyak 3% tahun ini, menjadikannya kemelesetan terburuk sejak The Great Depression pada 1930.
Kemelesetan ini juga akan memberi kesan sangat besar kepada rakyat jika dunia tidak berusaha untuk menangani terutamanya mereka yang bergelar marhaen.
Golongan graduan dan lepasan SPM yang sedang mencari pekerjaan akan terjejas teruk berikutan peluang yang ada sangat sedikit sedangkan kita miliki lebihan.
Mereka yang masih miliki pekerjaan pasti akan kehilangan kenaikan gaji tahunan dan yang lebih teruk lagi akan berlaku pemotongan gaji bagi memastikan syarikat terus bertahan.
Pemilik-pemilik perusahaan kecil dan sederhana juga merasai kesakitannya terutama yang tidak miliki akses digital.
Bukan itu sahaja, syarikat besar seperti Air Asia dan Malaysia Airlines juga terjejas teruk malahan sudah banyak syarikat penerbangan dunia yang bungkus.
Bilakah kemelesetan ini akan berakhir? Menurut IMF, kemelesetan akan berakhir pada tahun hadapan dan ekonomi dunia akan kembali mengaum.
Sekiranya semua perniagaan yang ditutup semasa perintah berkurung dapat dibuka dengan cepat, ianya akan dapat mengurangkan sedikit kesan kemelesetan ekonomi.
Walau bagaimanapun, wujud kebimbangan bahawa koronavirus akan senantiasa merebak memandangkan dunia belum menemui vaksin yang ampuh. Situasi itu akan menyebabkan orang ramai lebih berwaspada untuk keluar walaupun disahkan selamat.
Industri pelayaran, penerbangan serta persidangan perniagaan akan ambil masa yang lama untuk pulih. Secara tidak langsung, kesannya akan dirasai tahun-tahun mendatang.
Cara penyelesaian terbaik adalah dengan adanya vaksin untuk menyahkan koronavirus tetapi bilakah ianya akan ditemui? Walaupun kebanyakan negara telah melancarkan pakej stimulus bagi merancakkan kembali ekonomi tetapi ianya pasti akan memberi kesan kepada defisit negara.
Jika berterusan begini, pasti ekonomi dunia akan lumpuh ataupun kita harus hidup bersama koronavirus sama sebagaimana HIV dengan pengamalan resam baru.