fbpx

Arkitek Krisis Minyak 1973 Kembali Ke Pangkuan Ilahi

0 499

Tatkala dunia memerhati dengan penuh minat pergolakan politik di Myanmar, pertelagahan Australia-Facebook dan krisis tenaga di Texas, Amerika Syarikat, lain pula ceritanya di Arab Saudi.

Pada Selasa lepas, arkitek krisis tenaga 1973 merangkap bekas Menteri Minyak Arab Saudi, Ahmed Zaki Yamani kembali ke rahmatullah pada usia 90 tahun.

Advertisement

Beliau merupakan putera Sheikh Hassan Yamani, seorang kadi dan ulama besar Hijaz serta pernah berperanan sebagai mufti besar di Malaysia dan Indonesia.

Ahmed Zaki Yamani
Kredit: The Indian Ekspress

Dilahirkan pada 30 Jun 1930 di Makkah, Ahmed Zaki mendapat kelulusan undang-undang dari Universiti Raja Fouad I di Kaherah pada tahun 1951.

Hal ini disusuli dengan pencapaiannya meraih ijazah Master dari Sekolah Undang-Undang Universiti New York dan Sekolah Undang-Undang Harvard pada pertengahan 50-an.

Pada tahun 1962, Ahmed Zaki dilantik sebagai Menteri Minyak Arab Saudi menggantikan pengasas Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan menteri sebelumnya, Abdullah Tarki.

Lantikan sebegini dianggap satu kejutan ketika itu kerana kebiasaannya, jawatan kabinet diisi oleh ahli-ahli kerabat diraja Saudi.

Namun menerusi lantikan ini, ia dilihat manifestasi keinginan Putera Faisal untuk memodenkan Arab Saudi seiring dengan perkembangan semasa.

Pada tahun 70-an, Ahmed Zaki mula menjadi tumpuan media antarabangsa atau lebih tepat, sasaran kebencian negara-negara Barat.

Hal ini demikian kerana pada tahun 1973, Arab Saudi bersama ahli-ahli OPEC dari Timur Tengah melaksanakan sekatan minyak ke atas negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat kerana menyokong negara haram Israel.

oil crisis 1973
Kredit: History

Sejak itu, harga minyak naik mendadak di pasaran dari AS$3 setong kepada AS$12 setong. Keadaan ini memaksa AS melaksanakan catuan minyak dan memperkenalkan had kelajuan 55 batu sejam di jalan raya.

Baca juga Krisis OPEC 1973

Dalam satu temubual bersama CNN pada 2010, matlamat mereka ketika itu bukan untuk mencetuskan krisis ekonomi tetapi memberi kesedaran kepada komuniti antarabangsa tentang konflik Israel-Palestin.

Mereka berharap menerusi sekatan ini, ia memaksa rejim berundur dari wilayah Palestin yang diduduki.

Malangnya, peningkatan harga minyak mula memberi keuntungan kepada semua ahli OPEC seperti diakui Ahmed Zaki.

Perkara ini mendorong mereka berusaha menaikkan harga minyak seberapa pantas yang boleh sekaligus mengakibatkan mereka membayar harga yang mahal akibat ketamakan mereka.

Walaupun mengakui tidak merasa kesal melaksanakan sekatan itu, Ahmed Zaki merasakan usaha OPEC mengawal harga minyak ketika itu sebagai usaha mengarut dan akan memakan diri pada jangka masa panjang.

Apa yang dibimbangi beliau akhirnya menjadi kenyataan.

Tidak mahu lagi pisang berbuah dua kali, pentadbiran presiden-presiden AS mula menggerakkan polisi tidak lagi mahu bergantung kepada sumber minyak asing dan meningkatkan pengeluaran minyak di peringkat domestik.

Menjelang 2019, AS menjadi antara pengeluar minyak terbesar di dunia dengan pegangan pasaran OPEC kini berlegar sekitar 30%.

the largest oil producer in the world
Kredit: Statista

Semasa mengetuai Kementerian Minyak Arab Saudi, negara itu hanya pengeluar minyak bertaraf sederhana.

Namun dalam tempoh sedekad, semua itu berubah dengan beliau membantu Riyadh meningkatkan pemilikan dan pendapatan dalam syarikat petroleum Aramco. Saudi menjadi pemilik penuh syarikat pada tahun 1980.

Bagaimanapun, tahun 1975 dianggap tahun penuh trauma buat Ahmed Zaki. Pertama pada 25 Mac 1975, bos dan mentornya Raja Faisal ditembak mati oleh anak saudaranya Putera Faisal bin Musad.

Hasil soal siasat pihak berkuasa mendapati putera tersebut menyangka Ahmed Zaki juga kembali ke negeri cacing dalam insiden berkenaan.

Wujud teori pembunuhan tersebut didalangi pihak Barat yang tidak senang dengan pendirian Raja Faisal dan menteri minyaknya itu terutama dalam isu Palestin.

Pada Disember 1975 pula, Ahmed Zaki bersama menteri-menteri minyak OPEC di Vienna dijadikan tebusan oleh kumpulan militan yang ada kaitan dengan Pergerakan Pembebasan Popular Palestin (PFLP) diketuai Carlos the Jackal.

Mengikut rancangan, Carlos akan membawa 42 tebusan daripada 63 tebusan asal ke Baghdad dengan penerbangan berhenti di Algiers dan Tripoli.

Daripada semua tebusan, dua daripadanya akan dihukum bunuh iaitu Ahmed Zaki dan rakan sejawatnya dari Iran, Jamshid Amuzegar.

Pada awalnya, sebahagian besar tebusan dilepaskan di Algiers dan Tripoli sebelum pesawat kembali semula ke Algiers. Selepas berunding dengan Presiden Algeria, Houari Boumédienne, Carlos mengambil keputusan melepaskan baki tebusan.

Tidak lama selepas serangan itu, ahli-ahli kumpulan yang bersubahat dengan Carlos mendedahkan ia dirancang oleh pengasas PFLP, Wadie Haddad dan mendapat sokongan seorang presiden Arab.

Ramai mengesyaki pembiaya operasi tersebut ialah Presiden Libya ketika itu, Muammar Gaddafi.

Carlos kemudiannya ditangkap di Khartoum, Sudan pada 1994 dan kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Perancis.

Pada tahun 1986, Ahmed Zaki disingkirkan sebagai Menteri Minyak Arab Saudi kerana gagal memenuhi permintaan Raja Fahd untuk meningkatkan kuota minyak dan menetapkan harga kepada AS$18.

Beliau digantikan oleh Hisham Nazer yang kemudiannya menjadi pengerusi pertama Saudi Aramco.

Sejak itu, walaupun aktif dalam bidang tenaga, Ahmed Zaki turut menunjukkan minat terhadap bidang kesusasteraan, pemuliharaan teks-teks Islamik dan jam tangan.

Dalam temubual sama dengan CNN pada 2010, beliau melihat minyak akan terus menjadi sebahagian daripada gabungan tenaga yang digunakan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, pada masa sama, beliau turut mengakui ia tidak akan bertahan lama.

Source Lister, T. (2021). 'I was behind it.' The man responsible for the 1973 oil shock has died. CNN Business.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.