fbpx

Aset TH Perlu Diurus Berhemah

0 386

Semua maklum dalam tempoh 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH), bukan sedikit aset kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilupuskan atas alasan mengurangkan bebanan hutang negara.

 

Keadaan ini mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai terutamanya orang Melayu dan orang Islam memandangkan kebanyakan aset yang dilupuskan merupakan aset Bumiputra.

 

Advertisement

Antara aktiviti penjualan aset yang menjengkelkan ramai ialah penjualan banyak aset milik Lembaga Tabung Haji (TH). Bukan sedikit aset TH dijual termasuk tanah-tanah TH di Tun Razak Exchange (TRX) berjumlah RM400 juta dan penjualan aset perhotelan TH.

 

Apabila ditanya alasan penjualan sebegini, alasan-alasan seperti aset tidak menguntungkan atau membayar hutang digunakan.

 

Mengambil kira sentimen orang ramai terhadap isu ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata tidak sepatutnya wujud penyelewengan dalam pengurusan dana TH kerana ia membabitkan simpanan orang ramai.

 

“Kami telah menganalisis dan menilai rungutan orang ramai berkaitan penyelewengan dalam pengurusan aset. Saya sendiri memeriksa beberapa dokumen penting dalam penjualan aset strategik TH seperti didakwa. Saya sudah memaklumkan kepada pengurusan TH untuk lebih berhati-hati dalam pengurusan dana dan aset selain melaporkan kepada pejabat Menteri atau Timbalan Menteri apa-apa perkara berkenaan penjualan aset.

“Kami faham akan kegusaran dan rungutan orang ramai mengenai isu berbangkit, sebarang rungutan dengan bukti dan berasas akan diambil tindakan sewajarnya. Aset Tabung Haji adalah aset orang ramai, aset komuniti Islam dan ia perlu diuruskan dengan telus,” katanya.

 

Tambah Ahmad Marzuk lagi, kerajaan akan memastikan aset TH akan diuruskan dengan berhemah tanpa menyebabkan sebarang kerugian pada masa hadapan kepada penyimpan.

 

Satu arahan telah dikeluarkan kepada pengurusan TH untuk mengadakan sesi perjumpaan dengan pemegang taruh dan mereka yang telah melaporkan (dalam mana-mana platform) mengenai penyelewengan pengurusan aset TH.

 

“Pertemuan itu bagi membincangkan mengenai apa yang sebenarnya berlaku dalam pengurusan aset seperti didakwa. Jika terdapat sebarang elemen salah laku dalam pengurusan aset yang telah menyebabkan kerugian kepada penyimpan, kami akan lakukan yang terbaik untuk menyelesaikannya dengan cekap,” katanya.

 

Komen beliau dilihat satu reaksi tepat kepada gesaan beberapa pihak agar penyelewengan aset TH semasa era pentadbiran kerajaan lepas disiasat dengan segera termasuk saranan penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

 

Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan menerusi siasatan termasuk penubuhan RCI, ia diharap bukan saja membongkar dakwaan penyelewengan dalam TH tetapi juga mengembalikan semula keyakinan para penyimpan dan integriti TH sendiri sebagai pelabur penting ekonomi umat Islam.

Source Azil, Firdaus. (2020). Perikatan Nasional perlu buktikan Tabung Haji tidak korup - Pemuda UMNO. Astro Awani. Bernama. (2020). Aset Tabung Haji perlu diurus dengan berhemah. Berita Harian.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.