fbpx

Babi Bantu Tingkat Keselamatan Penerbangan Di Amsterdam

0 777

Kita jarang mendengar berita pesawat dilanggar burung atau termasuk dalam enjin. Jika ada, ia sudah pasti mencetuskan keributan seperti pesawat yang terpaksa mendarat di Sungai Hudson pada 2009 selepas dilanggar burung. Di Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, Belanda, cara terbaik menghentikan insiden sebegini ialah babi. Ya, babi!

Projek perintis yang dilaksanakan selama enam minggu itu menyaksikan sekumpulan babi diletakkan di plot tanah seluas dua ekar. Kerja mereka mudah sahaja, makan bit gula yang ditinggalkan ladang-ladang berhampiran di situ. Ini bagi mengelakkan burung-burung termasuk angsa berkumpul di plot yang terletak di antara dua landasan lapangan terbang itu.

Advertisement

Mungkin bagi sesetengah orang, ia kelihatan kerja sia-sia. Tetapi pihak berkuasa hanya perlu diingatkan beberapa insiden yang hampir meragut nyawa krew penerbangan dan penumpang. Pada 2019, penerbangan KLM Boeing 747 terpaksa berpatah balik ke Schiphol selepas mengesyaki pesawatnya dilanggar burung.

Dan siapa tidak boleh lupakan insiden pesawat mendarat di Hudson pada 2009. Pada tahun tersebut, Kapten Chesley Sullenberger terpaksa menggunakan seluruh pengalamannya untuk mendaratkan pesawat dengan selamat selepas kedua-dua enjin pesawat US Airways itu tidak berfungsi. Penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) percaya kedua-dua enjin gagal berfungsi selepas dilanggar burung.

Di Schiphol sahaja, 565 insiden dilaporkan pada tahun 2018-2019 dengan peningkatan insiden berlaku pada musim panas. Bilangan tersebut berkurangan kepada 259 kes berikutan bilangan penerbangan yang kurang akibat situasi pandemik Covid-19. Tetapi dengan sekatan dilonggarkan dan pintu sempadan antarabangsa dibuka, pihak berkuasa Belanda sedar bilangan insiden pesawat dilanggar burung akan kembali meningkat.

Ini kerana kedudukan Schiphol dikelilingi oleh kawasan alam semulajadi yang menarik perhatian binatang-binatang liar. Pemilik lapangan terbang, Royal Schiphol Group sudah menggunakan pelbagai cara untuk mengusir burung-burung ini pergi seperti laser dan bunyi tetapi tidak berhasil. Kini menerusi projek ini, mereka melihat babi sebagai cara terbaik mengatasi masalah ini.

Stan Gloudemans menerusi ladangnya Buitengewone Varkens membekalkan 19 ekor babi untuk projek ini mendapati ia telah mengurangkan insiden perlanggaran burung dengan pesawat. Ini kerana apabila babi-babi ini memakan bit gula yang ditinggalkan, ia menghalang burung-burung terutama angsa daripada berkumpul.

Dengan data yang dikumpulkan pada peringkat awal memberangsangkan, Royal Schiphol Group bersedia mempertimbang melaksanakan projek sama pada skala yang lebih besar. Projek ini dijalankan dengan kerjasama kementerian infrastruktur dan pengurusan sisa Belanda, agensi pembekal produk pertanian RVR Loonbedrijf dan Buitengewone Varkens.

Tetapi timbul persoalan sama ada projek sebegini memberi kesan kepada babi yang digunakan. Bagi penyelidik Herman Vermeer, pada peringkat awal, ia mungkin terkejut dengan bunyi bising seperti bunyi kapal terbang berlepas atau mendarat. Tetapi ia boleh beradaptasi dalam mana-mana situasi dan boleh memberi reaksi normal. Jika ia tidak gembira dengan persekitarannya, ia boleh saja menunjukkan isyarat menerusi ekornya seperti anjing.

RUJUKAN

Boztas, S. (2021, 24 November). Pig patrol: Amsterdam airport’s innovative approach to flight safety. The Guardian.

Sumber gambar: Roger Cremers

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.