fbpx

Bagaimana China Menjadi Kuasa Ekonomi Kedua Terbesar Dunia?

0 543

Ekonomi mempunyai fungsi yang agak rumit. Bukan semua negara mampu mengecapi tahap ekonomi hingga boleh menentukan pendirian rantau. Sebagai contoh, dunia pernah mengambil kedudukan unipolar.

Banyak negara enggan mencari pasal dengan Amerika Syarikat atau Kesatuan Soviet. Apabila blok komunis jatuh, hampir semua negara menghala ke Amerika Syarikat. Sementara itu, banyak negara Eropah menjaga hubungan dengan Jerman.

Advertisement

Dan sekarang, semua orang menjaga hati China supaya tidak mengundang masalah. Ada banyak contoh bukan kerajaan boleh dijadikan iktibar.

Brad Pitt misalnya dibenci pentadbiran China kerana berlakon dalam Seven Years in Tibet (Makinen, 2015). Pendirian China perlu dipandang serius. Kerana itulah sebab World War Z tidak mendapat sekuel hingga hari ini (Armitage, 2020).

Kena faham satu benda. Satu-satunya punca kenapa filem sekarang mudah mendapat angka bilion adalah kerana China. Rakyat China sekarang serba kaya. Semua kerana China menjalankan program pembangunan ekonomi yang mapan.

Faktor perkembangan China adalah kerana tiga perkara: 1) pelaburan berskala besar untuk memastikan 2) pertumbuhan produktiviti, yang akhirnya merangsangkan 3) perkembangan ekonomi.

Ketiga-tiga perkara ini senang kata menyokong antara satu sama lain. Pertama sekali, China sebenarnya sudah menjadi stabil selepas Mao Zedong meninggalkan tampuk pemerintahan.

Walaupun ada perpecahan sosial, negaranya masih stabil melainkan kalau ekonomi kekal dalam kancah kemiskinan. Kuasa pemerintahan akhirnya sampai dalam tangan Deng Xiaoping. Dalam masa 11 tahun, beliau memastikan China berada pada jalan perkembangan yang mapan.

Deng Xiaoping.

Xiaoping menghapuskan program komunisme tulen, dengan pendapat bahawa ekonomi harus dijana melalui perniagaan.

Dengan cara ini, beliau menggerakkan jentera fikrah untuk bergabung semula dengan wilayah-wilayah bersejarah China seperti Hong Kong dan Taiwan.

Kerana fahaman Xiaoping, akhirnya China mendapat berkat perkembangan. Kerana Xiaoping tahu – China memiliki segalanya untuk menjadi kuasa pasaran. Apabila menguasai pasaran, barulah China mampu mendominasi dalam ekonomi global.

Dan Xiaoping berjaya melaksanakan pembaharuan ini tanpa menjadi seorang pemimpin bermandat pun. Xiaoping bukan “head of state”, mahupun “head of government”. Sebaliknya, beliau adalah tonggak kepada kepimpinan pasca-Zedong.

Teori ekonomi beliau diguna pakai dalam setiap aspek politik negara. China mempunyai rizab simpanan wang yang sangat banyak. Pada tahun 1979, KDNK China berada pada paras AS$180 bilion, dengan simpanan hampir AS$60 bilion.

Bermakna rizab simpanan saja mencecah 30 peratus daripada KDNK negara (Balaz, et al., 2019). Dana yang sangat banyak ini dijana rantaian GLC yang dimiliki kerajaan. Maka China mula melaburkan wang ini untuk memastikan ekonomi dapat dirangsang, bagaikan seorang pesakit yang pulih dan kemudian pergi kerja.

Untuk memarhaenkan lagi penjelasan mengenai pertumbuhan ekonomi China, bayangkan ada 10 orang dalam satu kumpulan. Semua bekerja keras dengan kebolehan yang ada. Abdul (Amerika Syarikat) melabur dalam industri perniagaan yang kemudian berjaya. Jo (Jerman) pun sama tetapi selepas dua kali kena tumbuk Abdul (dua perang dunia) oleh kerana mulut celupar tidak sedar bertangan pendek.

Sementara itu Cahaya (China) pula adalah gadis yang baru saja sembuh daripada kanser (perpecahan dalaman, perang saudara, keruntuhan politik, kebuluran dsb.). Tetapi Cahaya masih bekerja dan tidak berharap pada bantuan JKM. Dan apabila sembuh, Cahaya menggunakan wang simpanan untuk membuka perniagaan yang kemudian bersaing dengan Abdul.

Program pemulihan dan perkembangan China tentu sekali lebih rumit daripada kiasan yang diberikan. Kerana China tetap bertukar tangan dalam kalangan pemimpin. Namun motif mereka tetap sama: grow, trade, grow, trade.

Dan hari ini, China bertakhta dengan prinsip yang perlu diubah sedkit sebanyak supaya dapat mengekalkan konsistensi.

RUJUKAN:

Armitage, H. (2020, Mei 13). World War Z 2 release date, cast and everything you need to know. Digital Spy.

Balaz, P., et al. (2019). China’s Expansion in International Business: The Geopolitical Impact on the World Economy. Springer Nature. Halaman 193.

Makinen, J. (2015, Mac 5). Filmmaker Jean-Jacques Annaud goes from outcast to ally in China. Los Angeles Times.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.