fbpx

Bagaimana ‘Dotcom Bubble’ Berlaku

0 661

Dotcom bubble juga dikenali sebagai internet bubble merupakan satu fasa di mana nilai (value) syarikat-syarikat teknologi di Amerika Syarikat naik dengan mendadak pada hujung 90-an.

 

Daripada 1995 hingga 2000, indeks Nasdaq yang didominasi saham teknologi meningkat daripada 1,000 mata hingga 5,000 mata. Akhirnya buih dotcom pecah pada tahun 2001 hingga 2002.

 

Advertisement

indeks nasdaq
Sumber: Trading View

 

Indeks yang naik 5 kali ganda (daripada 1,000 ke 5,000) jatuh dari paras tertinggi 5,048.62 mata pada 10 Mac, 2000 ke paras terendah 1,139.90 mata pada 4 Oktober, kejatuhan sebanyak 76.81%.

 

Kejatuhan ini bukan sahaja memberi kesan kepada syarikat-syarikat kecil, malah syarikat blue chip seperti Cisco, Oracle dan Intel juga jatuh sehingga 80%. Ia mengambil masa 15 tahun bagi Nasdaq untuk kembali ke paras tertingginya semula.

 

Bagaimana Dotcom Bubble Berlaku

Dotcom bubble terjadi akibat beberapa faktor seperti pelaburan yang bersifat spekulatif, bilangan pelaburan yang besar ke dalam syarikat pemula teknologi dan kegagalan syarikat teknologi dalam menghasilkan keuntungan.

 

Ketika ini, pelabur melabur dalam syarikat pemula dengan harapan satu hari nanti syarikat ini akan menghasilkan keuntungan. Teknologi internet adalah satu perkara baru ketika ini, maka ramailah pelabur daripada venture capital menabur duit dan berlumba-lumba untuk mencari syarikat teknologi bakal menguasai pasaran.

 

Apa sahaja syarikat yang ada ‘dotcom’ dalam nama syarikat pasti akan menarik perhatian pelabur. Sedangkan syarikat tersebut belum  pun lagi membuktikan model perniagaannya boleh berjaya. Memandangkan internet adalah satu perkara baharu ketika ini, mungkin tidak ramai yang mahir dalam membuat penilaian terhadap model bisnes syarikat.

 

Tanpa mengendahkan kedudukan kewangan, syarikat pemula membelanjakan sebahagian besar modal mereka ke dalam pemasaran, hanya untuk menaikkan jenema mereka berbanding pesaing. Malah ada syarikat yang membelanjakan sehingga 90% daripada bajet untuk pemasaran.

 

Dari tahun 1997 hingga 1999, 39% daripada pelaburan venture capital dilaburkan dalam syarikat internet. Pada tahun 1999 pula, 295 daripada 457 IPO adalah syarikat berkaitan internet.

 

Baca juga: Cara Beli Saham IPO

 

Walaupun syarikat yang IPO ini belum pun lagi menghasilkan keuntungan, malah ada yang belum ada produk untuk dijual pun lagi, tetapi harga sahamnya naik sehingga dua hingga empat kali ganda dalam sehari.

 

Begitulah bagaimana terjadinya Dotcom Bubble, kerana pelaburan bersifat spekulatif terhadap perkara yang tidak pasti.

 

Jika anda perhatikan, situasi ini turut berlaku dalam pasaran sekarang. Semenjak Covid-19 melanda, kita ada glove mania di Malaysia, syarikat-syarikat berkaitan semuanya naik beratus malah beribu kali ganda.

 

Syarikat yang sebelum ini tidak terlibat dengan industri getah mula nak menceburi industri getah. Yang terbaru, berkaitan vaksin pula. Tiba-tiba banyak pula syarikat yang mahu menerokai pembuatan vaksin.

 

Contohnya Bintai Kiden yang mengumumkan akan menerokai pembuatan vaksin dengan kerjasama syarikat farmasi AS, sahamnya naik sehingga 600% dalam masa tidak sampai 2 minggu. Itu baru umumkan kerjasama nak hasilkan vaksin, belum pun terhasil lagi vaksinnya.

bintai

Secara asasnya, nak hasilkan vaksin yang betul-betul selamat digunakan dan boleh dipasarkan secara meluas mengambil masa lebih kurang 10 tahun. Boleh baca lanjut di sini: Saham Sektor Kesihatan Sudah Tiba Di Kemuncaknya?

 

Kesimpulannya, apabila anda mahu melabur, melabur setelah anda membuat analisa sendiri, jangan melabur kerana terikut-ikut dengan orang ramai. Semak dahulu kedudukan kewangan syarikat, jangan beli sebab berita atau ikut orang semata-mata.

 

Baca juga: 2 Cara Membuat Analisa Saham

 

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.