Selepas bersara dari politik, Dr. Mahathir didendangkan sebagai seseorang yang tidak takut ketika bersuara. Barisan sokongannya pun sentiasa memetik kenyataan-kenyataan panas yang dijadikan bahan api demi populariti seorang idola. Macam-macam beliau cakap. Dalam suatu ucapan bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), beliau pernah mengatakan bahawa kaum Yahudi menguasai dunia melalui proksi yang membuatkan orang lain mati demi mereka (Ressa, 2003). Kritikan tidak terhenti di situ sahaja.
Advertisement
Maka apabila beliau kembali ke tampuk pemerintahan susulan kemenangan mengejut dalam Pilihanraya Umum Ke-14, sudah pastinya beliau akan bersikap begitu lantang juga. Sebelum bertanding di Langkawi lagi, semua masih ingat sindirannya terhadap seorang pesaing politik berkaitan Bugis. Kelantangan tidak diperlukan ini mengundang murka Sultan Ibrahim Iskandar.
Dalam sekejap selepas menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, Malaysia terus menutupkan Pusat Raja Salman untuk Keamanan Antarabangsa (KSCIP) dan mengundurkan bekalan ketenteraan di Yaman (Adam, 2018). Sekitar waktu itu juga, Dr. Mahathir membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah kerana tidak mampu dan tidak perlu buat masa itu. (Harits, 2018). Pembatalan ECRL diulangi beberapa bulan kemudian dengan alasan faedah RM500 juta setahun (Sinar Harian, 2019) yang sebenarnya hanyalah 3.25% sahaja (FMT, 2018).
Tidak cukup menarik tali bersama China, Dr Mahathir juga mempunyai kelantangan terhadap Hong Kong. Diminta pendapat, beliau membalas bahawa ketua kerajaan Carrie Lam perlu meletakkan jawatan untuk menenangkan keadaan (Sukumaran, 2019). Apabila Huawei disekat Amerika Syarikat, beliau turut berlaku lantang mengatakan kerelaannya untuk bersama China yang kaya berbanding Amerika Syarikat yang tidak tetap (Jaipragas, 2019). Ucapannya terhadap Yahudi sekali lagi diulangi di Forum Pemimpin Dunia memetik pasal tragedi Holokus pula (Cortellessa, 2019).
Dan sebelum 2019 tamat, Malaysia sekali lagi terheret ke kancah krisis diplomasi melibatkan Arab Saudi. Sudahlah menutup KSCIP dan menarik diri dari Yaman, Dr. Mahathir membuat Persidangan Kuala Lumpur untuk membicarakan isu-isu Islam (tanpa menyentuh Rohingya dan Uighur). Dan hadirin juga melibatkan Hassan Rouhani, Recep Tayyip Erdogan dan Tamim Hamad, tiga pemimpin yang tidak mesra Saudi. Masalah mula meruncing apabila Raja Salman dan Imran Khan dilihat memboikot – dan OIC sendiri tidak bersetuju dengan KL Summit itu sendiri.
Walaupun Malaysia berhak membuat persidangan sesuka hati tanpa perlu menepati citarasa luar, cara pengendalian perlulah diteliti juga. Dan tidak cukup dengan itu, Dr Mahathir sekali lagi membuat hal dengan komen berkaitan pembunuhan Qasem Soleimani. Kata beliau, “kalau seseorang mengutuk atau berkata apa yang tidak disukai, tidak mengapa pula untuk orang dari negara lain hantar dron dan mungkin tembak sesuka hati (Azura, 2020).”
Soleimani sebenarnya tidak sekadar mengutuk atau berkata apa-apa. Beliau merupakan ketua operasi sulit yang bertanggungjawab di sebalik serangan terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad. Dan Ali Khameini pun tidak bertindak sebagai pendamai.
Selepas serangan di kedutaan, Donald Trump mengatakan bahawa Iran akan bertanggungjawab sepenuhnya – dan Khameini pula membalas, “orang itu twit yang mereka nampak Iran bertanggungjawab atas serangan di Baghdad dan mereka akan bertindak terhadap Iran. Pertama sekali, tiada apa pun dia boleh buat, dan kedua, kalau dia berfikir logik – yang dia tidak mampu – dia akan nampak jenayah-jenayahnya di Iraq, Afghanistan… telah buat negara-negara lain benci dia.” (Khaemeni.Ir, 2020).
Senarai panjang ini belum lagi menyentuh pasal pendapat Dr. Mahathir terhadap India, berkaitan pula dengan Dr. Zakir Naik. Pergesaran antara hubungan diplomasi telah memanaskan India. Sekarang mereka menghasut industri penapisan supaya memboikot Malaysia selepas Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan terhadap undang-undang kewarganegaraan India (FMT Reporters, 2020).
Kebebasan Bersuara Pemimpin
Tidak dinafikan bahawa setiap pemimpin bebas bersuara. Namun pentas dunia jika terlalu besar boleh dipermudahkan. Seramai 195 pelajar ditempatkan dalam suatu sekolah. Dan di sekolah itu terdapat seorang yang kecil dan kurus. Dia berniaga sesuatu yang diperlukan beberapa pelajar di sekolah tersebut. Namun kliennya juga mempunyai sisi buruk. Ada yang pembuli, kaki pukul, batu api dan sebagainya.
Maka apabila pembuli bergaduh dengan kaki pukul, bijakkah jika pelajar berniaga ini masuk campur? Apabila si batu api ada masalah dengan mat jambu pula, pendapat pelajar berniaga tidak diperlukan pun. Amatlah tidak masuk akal jika Malaysia ingin menarik pelabur dan rakan dagang, pada masa sama sedang mengacukan senapang kritikan terhadap semua pihak tanpa membenarkan masa untuk sejuk dulu.
Persoalannya kenapa Dr Mahathir berbuat sedemikian? Sama ada itu ialah caranya.
Ataupun beliau mempunyai agenda tersendiri. Beliau tidak lama di tampuk pemerintahan. Mungkin tiga tahun atau lengkap satu penggal. Tidak mungkin beliau bertanding lagi sebagai calon Perdana Menteri untuk Pilihanraya Umum Ke-15 (walaupun bukan mustahil secara undang-undang).
Sama ada beliau sengaja menuang minyak untuk menyukarkan kerja Anwar Ibrahim… ataupun beliau tahu meja akan dilap bersih selepas beliau letakkan jawatan untuk calon pengganti pilihannya. Namun apa yang pasti ialah 365 hari ialah tempoh yang lama, apatah lagi sampai hujung penggal. Sementara beliau mengkritik negara-negara lain, Malaysia sendiri bergelumangan dengan masalah-masalah pengurusan, sosial, budaya, ekonomi dan sebagainya.
Bak kata pepatah, jangan dihutangi orang baru kaya dan ditandangi orang lepas nikah. Diplomasi sangatlah penting. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semuanya kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.