fbpx

Bagaimana Nak Elak Kena Tipu Dengan Coach Business Jual Air Liur?

0 1,919

Bukan sekali laman media sosial dibanjiri dengan testimoni-testimoni kejayaan alumni yang pernah menyertai kursus pakar perniagaan. Kononnya mereka berjaya kerana mengikut teknik yang diajar pakar sedemikian. Bagi sesiapa yang ingin menyertainya, mereka perlu membayar sejumlah besar wang kepada penganjur.

Bagi para penganjur, apa yang ditawarkan kononnya berbaloi dan mampu mengubah hidup para peserta. Benar, ada yang berjaya. Tetapi hakikatnya, ramai membazirkan banyak wang belajar dengan ‘pakar-pakar’ sebegini padahal ia boleh saja dipelajari secara percuma. ‘Pakar-pakar’ ini lebih berminat mendapatkan wang peserta daripada benar-benar membantu mereka.

Advertisement

Jadi, ramailah yang terkejut bukan kepalang di mana sesetengah ‘pakar’ perniagaan dalam talian ini menipu kelulusan akademik mereka termasuk memalsukan sijil pengajian mereka. Ada pula sanggup memalsukan pencapaian mereka agar kelihatan berjaya di mata orang. Bila tembelang mereka sudah diketahui, nasi sudah menjadi bubur. Pada ketika itu, ramai yang rugi dari segi masa dan duit kerana terpedaya dengan perkara-perkara sebegini.

Justeru, bagaimana nak mengelak daripada menjadi mangsa penipu-penipu tak bermaruah ini? Berikut beberapa tips untuk membantu anda bila diuji dengan janji manis mereka.

  • Dapatkan jaminan peribadi daripada individu yang pernah menghadiri kursus atau latihan jurulatih sebegini. Tanya rakan-rakan sama ada mereka mempunyai pengalaman menyertai kursus-kursus latihan perniagaan. Rujuk orang yang arif dalam soal ini termasuk pakar kewangan bagi mengelak diri anda tertipu.
  • Lihat sama ada jurulatih atau pakar perniagaan ini mendapat pengiktirafan daripada institut atau badan bertauliah. Antara helah biasa digunakan ialah menjaja pengiktirafan daripada badan tertentu. Ini bagi menarik orang ramai menyertai kursus yang dianjurkan. Pemeriksaan dengan badan-badan sebegini amat membantu mengelak daripada diperdayakan mereka.
  • Jangan hadkan pencarian ilmu perniagaan dengan berguru dengan pakar semata-mata. Ini kerana terdapat kursus atau teknik perniagaan yang diajar kepada orang ramai secara percuma atau pada harga berpatutan. Tetapi hati-hati dan jangan terpedaya dengan tawaran-tawaran percuma sesetengah laman sesawang latihan/kursus. Tawaran-tawaran ini sebenarnya satu bentuk promosi jualan untuk mendorong pengguna untuk berbelanja lebih untuk kursus mereka.
  • Carilah sebanyak mana ilmu perniagaan dalam pelbagai medium dari buku dan majalah perniagaan hinggalah audio siar dan video. Tetapi pastikan semua medium yang dinyatakan sememangnya dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang mereka dan diiktiraf di dunia sebenar. Paling penting, ia tidak memakan kos yang banyak jika dibandingkan dengan kos sesetengah kursus anjuran ‘pakar-pakar’ yang memang cekik darah.

Tak salah mencari orang yang pakar dalam membantu memulakan atau mengembangkan perniagaan. Cuma, pastikan anda mendapat orang yang betul dan bukannya orang yang mata duitan. Jadikan orang yang terpedaya sebagai pengajaran buat masa hadapan. Jika tidak, tahanlah diri anda mendengar bait lagu ini bila anda berada di tempat mereka, “Tipah tertipu lagi…”

RUJUKAN:

Collamer, Nancy. (2021). Don’t Get Scammed by Online Business ‘Coaches’. Forbes. Diambil dari https://www.forbes.com/sites/nextavenue/2013/01/21/dont-get-scammed-by-online-business-coaches/

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.