fbpx

Bagaimana Sukan Kriket Boleh Bangkit Di Oman

0 69

Sebut sukan kriket, ramai membayangkan kuasa-kuasa besar sukan itu seperti England, India, Pakistan dan Sri Lanka.

Namun siapa sangka di Oman, sukan tersebut mula menjadi ikutan lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai ekspatriat dari Asia Selatan. Salah satu faktor yang menyumbang kebangkitan ini ialah kemunculan keluarga Khimji.

Advertisement

Kriket mula mendapat perhatian kerana usaha bapa kriket negara itu, mendiang Kanaksi Khimji.

Kanaksi Khimji
Kredit: The Gulf Indians

Kanaksi antara penggerak utama penubuhan Lembaga Kriket Oman (OC) pada tahun 1979 dan mendapat sokongan kerabat diraja Oman.

Beliau terus menyemarakkan minat warga Oman sebagai pengerusi OC sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun Khamis lepas.

Mungkin ada menyangka keluarga Khimji ini sekadar pentadbir sukan kriket semata-mata.

Hakikatnya, keluarga Khimji sudah lama bertapak di Oman sejak 150 tahun lalu menerusi datuk Kanaksi, Ramdas Thackersey. Semasa tiba di Muscat ketika itu, beliau tiba sebagai peniaga teh, rempah ratus dan bijirin.

Sejak itu, perniagaan keluarga Khimji berkembang pesat sehingga membentuk konglomerat Khimji Ramdas Group of Companies hari ini.

Khimji Ramdas Group
Kredit: Logos Discovery Engine

Syarikat ini mempunyai hubungan baik dengan India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta mempunyai minat mendalam terhadap sukan kriket. Kini, minat Kanaksi diteruskan oleh puteranya yang juga pengarah OC, Pankaj Khimji.

Baca juga 4 Faktor Menjadikan UAE Sebuah Negara Terkuat

Walaupun Oman mempunyai populasi seramai empat juta orang, itu bukan halangan kerana wujud komuniti besar ekspatriat Asia Selatan. Ianya termasuklah 500,000 ekspatriat India yang menetap dan bekerja di Oman.

Menerusi bakat-bakat import inilah, negara itu bangkit sebagai kuasa kriket dan sentiasa menduduki kedudukan 20 teratas kejohanan kriket ODI dan T20I.

Begitupun, kebanyakannya bukan pemain profesional tetapi sekadar pemain amatur dan mereka diberi elaun oleh OC.

OC juga sedar mereka tidak boleh selamanya bergantung kepada tenaga import dan memerlukan pemain tempatan untuk terus mengharumkan nama Oman dalam sukan ini.

Untuk itu, OC menguatkuasakan peraturan sekurang-kurangnya seorang pemukul bola berdarah Oman dalam setiap pasukan kriket liga tempatan.

Usaha ini tidak terhenti di situ saja. Wujud pelbagai cadangan untuk memartabatkan lagi sukan itu di peringkat kebangsaan termasuk menjadikan ia sebagai salah satu aktiviti sukan sekolah dan biasiswa pendidikan kepada pemain berbakat.

Pankaj berharap menerusi cadangan-cadangan yang dikemukakan ini, ia bakal merealisasikan impian Oman mempunyai tiga atau empat pemain kriket tempatan dalam pasukan kebangsaan.

Satu lagi kelebihan Oman ialah mereka juga mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bersaing dengan negara jiran, UAE.

Hal ini termasuklah menyediakan kemudahan stadium kriket sesuai untuk penganjuran kejohanan kriket antarabangsa.

al-amerat cricket stadium
Kredit: Wikipedia

Ianya termasuk juga Stadium Akademi Kriket Oman di Al Amerat, 15 km di tenggara Muscat. Semua ini tidak akan tercapai tanpa sokongan padu yang diberi kerabat diraja negara itu.

Misalnya, pada bulan lepas, Zimbabwe sedang mencari lokasi sesuai untuk penganjuran perlawanan kriket antara pasukan negara itu dengan Afghanistan.

Pada masa sama, Afghanistan pula mencari lokasi terbaru sebagai pangkalan tuan rumah pasukan mereka selepas sebelum ini berpangkalan di utara India dan UAE. Pencarian perlu dibuat bagi mengelak situasi tidak menentu yang berlaku di India.

Walaupun tewas kepada UAE dalam perebutan hak sebagai tuan rumah kejohanan, Afghanistan memilih Oman sebagai lokasi pangkalan tuan rumah pasukan mereka.

Prestij yang dimiliki negara itu membolehkan ia menewaskan lobi yang dibuat Malaysia dan Qatar untuk hak lokasi tuan rumah Afghanistan.

Kebangkitan mendadak Oman sejak tahun 2014 turut melonjakkan nama Pankaj dalam arena kriket antarabangsa. Malah, beliau juga mengetuai kempen pemilihan lembaga Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) pada bulan lepas tetapi tidak berhasil.

Bila diminta mengulas pemilihan kontroversi ICC pada tahun lepas, Pankaj hanya menyebut satu formula mudah yang menjadi resepi kejayaan OC: orang kriket kendalikan kriket dan pentadbir bagi sumber untuk menjayakannya.

Bila kedua-duanya bercampur-campur, ia boleh menjadi resepi kegagalan sesebuah persatuan sekaligus membunuh sukan kriket itu sendiri.

Resepi OC ini turut disokong oleh minat mendalam ahli lembaga OC terhadap sukan itu sendiri. Mereka tidak didorong oleh insentif kewangan, sebaliknya keinginan untuk melihat sukan kriket terus berkembang di Oman.

Source Lavalette, T. (2021). The Wealthy And Influential Family Fueling Oman’s Cricket Rise. Forbes.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.