fbpx

Bagaimana Untuk Belanja Secara Berhemah Bagi Menyimpan Wang

0 114

Nafsu berbelanja adalah salah satu nafsu yang sangat sukar untuk ditewaskan. Hal ini ditambah lagi dengan kehadiran platform membeli-belah dalam talian seperti Lazada dan Shoppe.

Dengan hanya menekan satu klik, barang akan masuk di troli penghantaran di kedua-dua platform tersebut. Jadi dengan mudah anda dapat berbelanja tanpa menggunakan tenaga yang banyak seperti cara tradisional.

Advertisement

Oleh sebab itu, kita perlu berhemah untuk berbelanja bagi memastikan kantung kewangan kita terus bernafas. Bahkan ianya juga adalah untuk mengelakkan kita membeli barang-barang yang tidak signifikan dan hanya mengikut trend semata-mata.

Persoalannya, bagaimana mahu menghentikan nafsu berbelanja yang sangat rakus pada hari ini? Berikut adalah cara berbelanja secara berhemah untuk menyimpan wang.

1. Anggarkan Perbelanjaan

Jika anda terlalu mudah layu kepada nafsu berbelanja, anda perlu menguruskan kantung kewangan dengan anggarkan perbelanjaan untuk sebulan.

Jadi anda boleh bahagikan wang untuk digunakan, disimpan dan dana kecemasan. Dengan bajet telah dibuat, anda dapat menguruskan perbelanjaan lebih berhemah dan mengetahui berapa banyak duit yang masih tinggal.

2. Usah Atasi Tekanan Dengan Membeli-Belah

Ramai orang yang menjadikan membeli-belah sebagai salah satu aktiviti yang boleh meredakan tekanan lantas membuatkan mereka berbelanja lebih daripada biasa.

Tidak salah untuk jadikannya sebagai cara melepaskan tekanan tetapi itu hanyalah sebuah kegembiraan yang sementara sahaja.

Sampai masa kantung kewangan dalam ketandusan, kita akan mula terfikir sejenak untuk apa membeli beberapa barangan pada masa lalu tetapi kurang berikan manfaat.

Jadi, anda perlu tahu kawal tekanan bagi mengelakkan anda terus berbelanja. Jika tidak mampu, anda boleh mencuba beberapa hobi baru yang bermanfaat seperti membaca dan menonton filem.

3. Membeli-Belah Dengan Bijak

Setiap kali hati anda meronta-ronta untuk mendapatkan sesuatu, tanya dahulu kepada diri sendiri adakah produk itu memberi manfaat ataupun tidak untuk masa hadapan.

Walau bagaimanapun, soalannya itu hanya mudah diucapkan tanpa diaplikasikan di dunia realiti kerana kita akan khayal ketika membeli. Jadi, anda perlu programkan otak untuk berdisiplin dan hanya membeli barangan yang diperlukan.

Tahukah anda, kebanyakan kedai miliki beberapa taktik untuk menarik anda menghabiskan duit di sana terutamanya melibatkan premis fesyen dan sukan.

Aspek-aspek kecil seperti warna produk juga digunakan untuk anda terus masuk ke premis itu untuk membeli. Ianya menjadi semakin membarah apabila premis melakukan promosi besar-besaran yang segera membuat kita terlopong.

Bagi mengelakkan anda terjerumus, pastikan anda menjauhkan diri dan tidak memegang barangan di kedai tersebut. Secara tak langsung daya ketarikan terhadap sesebuah produk itu akan luntur.

Perkara paling penting sekali adalah senantiasa bersyukur dengan apa yang anda miliki. Jika senantiasa bersyukur, anda tidak akan tergugat dengan barangan yang dipaparkan di premis-premis perniagaan.

4. Susun Semula Barangan Yang Diperlukan

Bagi mempraktikkan diri menabung dan kurang membeli-belah, anda boleh membuat sedikit nota sebagai panduan. Dalam nota tersebut, anda boleh senaraikan semua barang yang dimiliki lalu dipecahkan kepada beberapa kategori.

Setelah itu, anda boleh menyusun kembali barang-barang yang anda perlukan. Bagi barang yang tidak diperlukan, anda boleh sahaja buang ke tempat pembuangan sampah.

Awas, jika ada beberapa barangan yang masih elok, anda boleh menjual kembali melalui beberapa platform dalam talian. Secara tidak langsung ianya akan membantu meningkatkan sedikit kantung kewangan anda.

Dengan itu, fikiran anda tidak lagi serabut dengan begitu banyak barangan di rumah di samping nafsu beli-belah yang senantiasa meningkat.

Source Haotanto, A. (2020, Disember 1). How to stop overspending and save more money. Free Malaysia Today.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.