fbpx

Banduan Akhir Saman Kerajaan Jepun

0 594

Dua orang banduan akhir memfailkan saman terhadap kerajaan Jepun beberapa hari lepas. Saman tersebut berkenaan amalan pemberitahuan hukuman mati yang perlu dijalani mereka beberapa jam sebelum hukuman dijalankan.

Bagi mereka, ia merupakan satu amalan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan serta tidak memberi peluang kepada banduan untuk membantah. Saman ini merupakan saman pertama difailkan dalam sistem kehakiman Jepun. Menerusi saman yang difailkan di mahkamah Osaka, mereka memfailkan tuntutan pampasan ¥22 juta dan menuntut perubahan kepada prosedur hukuman mati.

Advertisement

Bukan sekali Jepun dikritik kerana amalan ini. Pada 2009, Amnesty International menuduh Tokyo memberi layanan buruk terhadap banduan akhir. Ini termasuk pemberitahuan hari hukuman untuk tempoh singkat dan dipenjarakan dalam sel pengasingan untuk tempoh lama. Jepun juga turut dituduh menghukum mati individu yang mempunyai masalah mental dan memenjarakan individu yang terencat akal.

Peguam dua banduan yang memfailkan saman tersebut, Yutaka Ueda mempersoalkan alasan yang diberi untuk notis singkat hari hukuman. Pihak kerajaan menyatakan ia dibuat bagi mengurangkan penderitaan banduan sebelum dihukum. Tetapi Ueda menyifatkan alasan tersebut sebagai mengarut dan mendakwa Tokyo cuba menyembunyikan hal ini daripada diketahui komuniti antarabangsa.

Kebiasaannya, hukuman mati di Jepun terpakai kepada pelaku jenayah ganas yang mengakibatkan banyak kematian. Sokongan orang ramai terhadap hukuman mati amat tinggi terutama bila membabitkan serangan pengganas atau kes jenayah berprofil tinggi. Salah satu kes di mana pelakunya dihukum mati ialah serangan gas sarin dalam keretapi bawah tanah Jepun membabitkan sebuah kultus pada 1995.

Rajah 1: Serangan gas sarin ke atas keretapi bawah tanah Jepun pada 1995 merupakan antara kes yang menjadi asas sokongan rakyat Jepun terhadap hukuman mati. Sumber: Associated Press.

Ketika ini, terdapat 112 orang banduan akhir yang sedang menunggu tarikh hukuman. Pada tahun lepas, Jepun tidak melaksanakan hukuman mati – pertama kali sejak tahun 2011. Dan setakat artikel ini ditulis, tiada banduan yang belum menjalani hukuman mati untuk tahun ini.

Ada sebab mengapa sesetengah pengamal undang-undang meragui kesahihan pendakwaan sistem kehakiman Jepun. Pada 2014, Iwao Hakamada dibebaskan selepas 45 tahun bergelar banduan akhir atas kesalahan membunuh. Ini selepas mahkamah mengarahkan perbicaraan semula diadakan selepas wujud dakwaan polis memalsukan bukti bagi menyokong kes mereka.

Rajah 2: Iwao Hakamada pada 2014. Sumber: Reuters.

Hakamada sebelum ini ditahan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati pada 1968. Ini selepas mahkamah mendapati dia bersalah atas tuduhan membunuh seorang presiden syarikat, isteri dan dua orang anak pasangan itu.

RUJUKAN

BBC News. (2021, 7 November). Japan death row inmates sue over same-day executions.

McCurry, Justin dan agensi-agensi berita. (2021, 5 November). Death row inmates sue over Japan’s brief notice of execution. The Guardian.

 

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.