fbpx

Banerjee, Duflo Dan Kramer – Pemenang Nobel Ekonomi 2019

0 69

Usaha membasmi kemiskinan merupakan satu usaha yang berterusan oleh mana-mana negara/peradaban sepanjang lipatan sejarah.

 

Hal ini demikian kerana kemiskinan bukan saja menjejaskan pertumbuhan ekonomi malah mengakibatkan pertumbuhan produktiviti sumber manusia juga terbantut.

 

Advertisement

Atas sebab itulah, usaha Abhijit Banerjee, Esther Duflo dan Profesor Michael Kramer dalam melawan kemiskinan diiktiraf sebagai penerima Hadiah Nobel Ekonomi 2019.

Kredit: The Conversation

Banerjee dan Duflo dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dan Kramer (Universiti Harvard) berkongsi hadiah kemenangan berjumlah sembilan juta krona Sweden (RM4.25 juta).

 

Jawatankuasa akademi sains Sweden menyatakan keputusan menganugerahkan ketiga-tiga individu dengan hadiah tersebut berikutan sumbangan mereka yang signifikan dalam memerangi kemiskinan secara amali.

 

Bagi Duflo, 47, kejayaan ini lebih manis kerana ini menjadikan beliau pemenang Hadiah Nobel Ekonomi kedua dari golongan Hawa dan termuda dalam sejarah penganugerahan hadiah Nobel sejak 50 tahun lepas.

 

Semasa ditemubual media, beliau langsung tidak menyangka diumumkan sebagai pemenang memandangkan mengikut tradisi, hadiah Nobel dianugerahkan kepada cendekiawan-cendekiawan yang lebih berpengalaman.

 

Duflo berkata, “Anugerah ini jelas menunjukkan tiada yang mustahil bagi seseorang wanita itu berjaya dan menerusi pengiktirafan ini, saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain di luar sana untuk terus bekerja dan mendapat penghormatan yang selayaknya diterima mereka.”

 

Selain Hadiah Nobel Ekonomi, Duflo juga pernah memenangi Pingat John Bates Clark pada 2010.

 

Dalam penghakiman mereka, pihak jawatankuasa berpandangan ketiga-tiga individu telah membentangkan kajian yang memerlukan pendekatan baru dalam melawan kemiskinan berdasarkan ujian lapangan dan bukan berdasarkan prejudis atau kaedah yang terbukti gagal pada masa lalu.

 

Satu contoh terbaik yang dinyatakan jawatankuasa ialah keputusan satu kajian membabitkan usaha membanteras buta huruf dalam kalangan kanak-kanak miskin.

 

Tambahnya, “Hasil salah satu kajian mereka menunjukkan lebih lima juta pelajar sekolah di India meraih manfaat daripada program tutorial pemulihan.

 

“Dengan 700 juta orang merupakan penduduk miskin tegar dan ramai kanak-kanak meninggalkan sekolah tanpa pendidikan asas, akademi merasakan amat penting untuk kajian mengenalpasti punca sebenar kemiskinan agar dapat mengenalpasti sebab dan melaksanakan polisi yang berkesan. Kaedah penyelidikan eksperimen mereka kini mendominasi ekonomi pembangunan,” katanya.

 

Duflo dan suaminya Banerjee sebenarnya meneruskan eksperimen-eksperimen Kremer di mana menurut pihak akademi telah dikembangkan ke skala yang lebih besar.

 

Tambah Duflo, mereka amat berdedikasi dengan usaha mereka kerana mahu memastikan usaha membasmi kemiskinan berdasarkan bukti-bukti saintifik.

 

“Orang miskin dikatakan bodoh, terdesak, pemalas atau tiada semangat keusahawanan. Namun kita tidak mahu memahami punca dasar, akar kepada masalah yang saling berkait. Jadi, apa yang kita cuba lakukan ialah mengupas setiap masalah secara satu persatu bagi memahami sebab di sebalik setiap masalah. Apa yang berkesan, apa yang tidak berkesan dan kenapa,” ujarnya.

 

Kebanyakan hasil kerja trio ini dipantau oleh isteri Kremer, Rachel Glennerster yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengarah Makmal Tindakan Kemiskinan Jameel Abdul Latif (JPAL).

 

Beliau bertanggungjawab mengatur 181 penyelidikan para cendekiawan di seluruh dunia sebelum bercuti pada tahun lepas untuk menjadi ketua pakar ekonomi Jabatan Pembangunan Antarabangsa.

 

Pada tahun 2016, Kremer dan Glennerster menerusi buku Strong Medicine: Creating Incentives for Pharmaceutical Research on Neglected Diseases berhujah lebih banyak vaksin boleh diperoleh oleh negara-negara miskin dengan syarat jualan dijamin oleh agensi-agensi pembiaya kewangan.

Source Inman, P. (2019). Economics Nobel prize won by academics for tackling poverty. The Guardian.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.