fbpx

Bank Mengenakan Caj RM1 Setiap Pengeluaran Tunai

0 310

Kesempitan hidup bukanlah satu perkara yang main-main. Sepanjang tempoh pandemik, ramai berasa kurang selamat (job insecurity)… apatah lagi golongan yang hilang pekerjaan.

Dan sepanjang tempoh itu juga, pihak bank menikmati keuntungan berlipat ganda meskipun dengan tawaran moratorium yang melanjutkan tempoh pembayaran balik hutang.

Advertisement

Keuntungan bagi tahun 2020 dan 2021 meskipun berkurangan masih mencecah angka bilion. Tetapi sekarang sistem perbankan akan mengembalikan caj RM1 bagi setiap pengeluaran wang tunai melalui sistem MEPS.

Untuk semua… seringgit saja.

Caj ini dijangka akan bermula pada Februari 2022. Pengguna Maybank jika ingin keluarkan wang daripada ATM CIMB akan kena caj RM1 (The Star, 2021). Tetapi kalau keluarkan daripada ATM Maybank, tiada masalah. Puncanya bukan sebab keluarkan wang. Tetapi sebab guna sistem MEPS (interbanking).

Besar kemungkinan, caj ini diperkenalkan untuk menyerap kos penyelenggaraan mesin ATM.

Pihak bank perlu mengeluarkan belanja banyak untuk penghantaran tunai dalam mesin tersebut, yang hanya golongan profesional sahaja boleh kendalikan. Kos insurans untuk menjaminkan keselamatan tunai ini lagi.

Kalau di Amerika Syarikat, purata kos sebuah ATM adalah AS$6,000 hingga AS$8,000 sebulan (Lieberman Companies, n.d.).

Tidak pasti kos sebenar untuk operasi ATM Malaysia. Yang pasti, kos tetap ada. Cara terbaik untuk menyerap kos ini adalah dengan memungut daripada pengguna sendiri, iaitu rakyat.

Caj transaksi sebanyak RM1 untuk menampung kos penyelenggaraan. Logik juga kalau fikirkan… tetapi ada satu angle yang mungkin menarik dibincangkan.

Keperluan Sistem Alternatif

Pengembalian caj transaksi ini membimbangkan sebenarnya. Bukan semua tempat ada semua jenis ATM. Kalau bandar raya, mungkin mudah. Tetapi penduduk bandar (terutamanya di pinggir) memang susah.

Orang kampung lagilah. Ada yang perlu ke bandar (terletak sekurang-kurangnya 20 minit). Penduduk kampung paling susah. Zaman sekarang agaknya semua sudah tahu bahawa pasar raya menerima pembayaran guna kad. Mustahil orang tidak tahu, melainkan golongan yang baru mengenali dunia pembayaran.

“Nak pin ka peywef (PayWave)?”

Cuma banyak perniagaan enggan menerima pembayaran kad oleh kerana caj yang perlu ditanggung sendiri. Caj tersebut tidak boleh serap daripada pengguna. Dan golongan peniaga pula tidak boleh mengenakan sebarang prasyarat.

Sebelum ini banyak peniaga menetapkan bayaran minimum RM50 atau RM100. Tetapi peraturan Visa berkata, “a merchant must not establish a minimum or maximum transaction amount as a condition.” (tiada jumlah minimum atau maksimum sebagai syarat transaksi).

Tidak boleh mengenakan minimum, peniaga akhirnya buat keputusan untuk tidak terima bayaran kad terus.

Benda ini berlaku di kawasan bandar. Banyak peniaga menyediakan alternatif pembayaran nirtunai (cashless) seperti Boost, GrabPay, MAE dan banyak lagi.

“Jangan kau cuba imbas pakai MySejahtera.”

Jadi ini memang tawaran menarik untuk keluar daripada belenggu tunai, sekali gus elak caj transaksi keluar wang RM1.

Kelemahan Pelaksanaan Nirtunai

Kerajaan harus memastikan jaringan bayaran nirtunai ada di setiap tempat terutamanya di kawasan kampung. Isi minyak sekarang pun jadi mudah dengan aplikasi Setel. Letak wang dalam dompet. Pergi stesen. Pilih pam. Isi dan bayar. Tidak perlu fikir pasal apungan tunai (cash floating) RM200 macam sistem sedia ada. Asal isi saja, bank akan tolak RM200. Padahal isi RM30. Selang beberapa jam atau hari, RM170 masuk balik. Jadi renyah dibuatnya kalau wang dalam akaun tinggal nyawa-nyawa ikan.

Maka bayaran nirtunai melalui dompet elektronik adalah alternatif sangat baik. Kelemahannya sekarang adalah jaringan sahaja. Memandangkan majoriti besar rakyat Malaysia ada akses Internet mudah alih (mobile data), peluang ini tidak boleh disia-siakan.

RUJUKAN:

Lieberman Companies. (n.d.). How much does it cost to buy an ATM machine?

The Star. (2021, Disember 15). RM1 interbank ATM withdrawal fee to resume in February.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.