
Betul Ke Guna Bahasa Inggeris, Harga Hartanah Boleh Meningkat?
Baru-baru ini tular mengenai penggunaan nama berbahasa Inggeris di beberapa kawasan di Lembah Klang. Hal ini semakin parah apabila nama asal berbahasa Melayu yang sudah mantap secara tiba-tiba ditukar kepada bahasa Inggeris untuk nampakkan lebih komersial. Salah satunya adalah Kampung Kerinci yang ditukar menjadi Bangsar South.
Bukan itu sahaja, agak mengejutkan juga apabila kawasan yang dihuni oleh golongan T20 seperti Mont Kiara sebenarnya bernama Segambut.
Advertisement
Malah ada yang mengatakan, penggunaan bahasa Inggeris terhadap sesuatu kawasan, boleh membuatkan harga hartanah di situ semakin meningkat. Betul ke macam tu?
Tanggapan itu salah kerana masih lagi terdapat kawasan yang menggunakan bahasa Melayu memiliki nilai hartanah yang agak tinggi. Kawasan-kawasan seperti TTDI, Damansara dan Setiawangsa adalah antara contohnya.
Jadi apa yang membuatkan harga hartanah naik jika bukan kerana nama berbahasa Inggeris seperti didakwa sesetengah pihak?
1. Ekonomi
Ekonomi yang stabil akan bikin rakyat semakin banyak duit. Apabila rakyat banyak duit, mereka akan mula berbelanja. Rumah akan ada dalam senarai sebagai pelaburan jangka masa panjang tidak kira untuk mendapatkan wang ataupun tempat tinggal di hari tua.
2. Politik
Perubahan politik di sesebuah negara itu sebenarnya akan memberikan kesan yang cukup besar kepada pasaran hartanah. Andai kata kita dapat kerajaan yang mesra pemaju, pasti harga hartanah akan naik mendadak. Jika sebaliknya pula, harga akan murah tetapi kualiti rumah yang dibina ala kadar sahaja. Jadi kerajaan perlu mesra dengan kedua-duanya untuk pastikan harga rumah masih logik dan pemaju dapat untung.
3. Ekonomi pasaran hartanah
Penawaran dan permintaan memang memainkan peranan penting dalam kenaikan serta penurunan harga. Hartanah juga tidak terkecuali. Senang cerita harga rumah akan naik apabila permintaan melebihi penawaran. Masalah hari ini adalah penawaran melebih permintaan tetapi harga masih lagi tidak mahu turun ke paras yang agak logik. Pengakhirannya, harga rumah tetap juga dapat diturunkan tetapi mereka yang membeli di situ akan menghadapi masalah seperti kawasan tidak strategik dan kadar sewa rendah.
4. Lokasi
Lokasi sememangnya penting untuk anda mengenalpasti harga hartanah di sesebuah kawasan. Lokasi yang sudah matang seperti Mont Kiara dan TTDI pasti menjadi idaman semua orang untuk tinggal di situ.
Masalahnya sekarang harga hartanah dekat dua kawasan itu pasti agak mahal. Jadi kena pilih kawasan seperti Semenyih dan Rawang untuk mendapatkan harga murah. Namun harus berhati-hati agak tidak membeli rumah di atas harga median.
Sebagai contoh, katakanlah harga median rumah di Rawang adalah RM200,000 bagi rumah teres. Anda pula beli rumah yang sama di kawasan sama dengan harga RM400,000. Pada pendapatan harga RM400,000 untuk rumah teres lebih murah berbanding harga sama untuk kondominium di Mont Kiara. Tapi sebenarnya ada kena bayar lebih sebab melanggar harga median.
5. Booster
Booster ini bermaksud kemajuan yang bakal wujud di sesebuah kawasan perumahan di masa hadapan. Sebagai contoh setiap pembeli hartanah di Iskandar Malaysia telah dijanjikan dengan kehadiran akses LRT, MRT dan peluang pekerjaan di masa hadapan sebagai alasan rumah tinggi tapi masih lagi tiada.
Lain pula di Lembah Klang apabila kawasan perubahan baru yang berdekatan dengan MRT pasti memiliki harga begitu tinggi. Jika selepas ini anda merasakan harga rumah terlalu mahal mungkin terdapat pembangunan pengangkutan awam yang bakal dibina di situ.
Kesimpulannya, 5 poin ini cukup untuk menerangkan sebab harga hartanah meningkat bukan kerana bahasa Inggeris. Untuk mengatasi masalah ini, pihak berkuasa tempatan, majlis bandaraya dan majlis perbandaran perlu memastikan pemaju menggunakan bahasa Melayu sebagai nama kawasan perumahan. Jika ada yang katakan perkataan berbahasa Melayu tidak astetik, guna sahaja istilah lama seperti ancala, dasawarsa, mayapada dan lang buana.
RUJUKAN:
Anwar Ridhuan. (2016, April 12). Kerajaan mesti sekat penaklukan Bahasa Inggeris. Berita Harian dipetik daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2016/04/142975/kerajaan-mesti-sekat-penaklukan-bahasa-inggeris
PropertyGuru. (2020, Disember 2). 7 faktor yang mempengaruhi harga pasaran hartanah Malaysia. Dipetik daripada https://www.propertyguru.com.my/property-guides/7-faktor-yang-mempengaruhi-harga-pasaran-hartanah-malaysia-37790