fbpx

Betul Ke Sifat Malas Penyebab Kemiskinan?

0 279

“Dik, tongkek RM5 ya. Tengok abang tu dah besar tapi kerja dekat pasar malam. Mummy nak lepas ni Mustaqim jangan malas belajar supaya tak jadi macam abang tongkeng ni”

Dialog ini adalah antara salah-satu contoh sikap kita yang beranggapan sifat malas adalah punca kemiskinan. Hal ini timbul kerana kita beranggapan untuk menjadi kaya perlulah bekerja keras dan mereka miskin kerana kurang bekerja.

Advertisement

Betul ke tanggapan sebegitu?

Sebenarnya buat pengetahuan semua, rakyat di negara Mexico bekerja lebih keras berbanding rakyat Amerika Syarikat berdasarkan purata masa bekerja seminggu. Kalau begitu kenapa pula rakyat Mexico tidak menjadi lebih kaya berbanding rakyat Amerika Syarikat, apa sebabnya?

Jawapannya adalah kedudukan ekonomi sesuatu negara itu juga memainkan peranan dalam menentukan tahap kemiskinan dan kekayaan rakyat. Sebagai contoh, kualiti tanah yang kurang baik di beberapa negara membangun bikin ramai petani menghabiskan masa begitu lama hanya untuk menanam sahaja. Itu belum lagi tentang peranan orang tengah yang membeli dari petani pada harga rendah dan jual kembali dengan harga tinggi.

Selain itu jika mereka merupakan seorang pekerja kilang di bandar-bandar besar, mereka perlu buat dua hingga tiga kerja bagi menampung kehidupan. Bayangkan daripada pukul 7 pagi hingga 7 malam bekerja di kilang, waktu malam anda menjadi freelance writer dan hujung minggu pula bekerja sebagai rider foodpanda. Adakah dengan tiga pekerjaan ini mampu bikin anda jadi kaya-raya?

Masalah mula timbul apabila anda sudah berkahwin dan kos pula akan bertambah. Perkara seperti ini secara tidak langsung mendorong anak-anak akan turut membantu ibu-bapa untuk bertahan hidup. Kesannya pula, anak-anak ini tidak dapat menikmati pendidikan yang sepatutnya dan perlu mewarisi kemiskinan dari generasi ke generasi.

Oleh sebab itu, jangan terkejut jika anda terlihat anak seorang miskin mampu menjadi genius sedangkan bapanya buta huruf.

Sekarang ini kita lihat pula adakah benar dengan bekerja keras, kita akan jadi kaya-raya. Ya mungkin benar seseorang itu bekerja siang dan malam untuk menjadi kaya. Tetapi tidak semua menjadi kaya hanya kerana bekerja keras sahaja. Bagaimana pula dengan mereka yang lahir sahaja sudah berada di dalam dulang emas, adakah boleh kita katakan kekayaan itu hadir kerana kuat bekerja? Pastinya tidak.

Senang cerita, kerja keras bukan asbab utama yang menjadi seseorang itu kaya ataupun miskin. Di Malaysia sendiri begitu banyak contoh yang boleh kita lihat mengenai orang bekerja keras tetapi masih dihimpit kemiskinan. Ada juga yang malas tetapi kerana ibu bapanya kaya, maka dia turut jadi kaya.

Jadi macam mana kita nak bantu mereka yang dikatakan jadi miskin disebabkan malas?

Di sinilah zakat, cukai dan sedekah berfungsi. Melalui zakat dan cukai, kerajaan dapat menggunakan wang tersebut untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Tapi kalau asyik bagi duit dekat orang miskin nanti mereka makin malas. Sepatutnya kena bagi nasihat macam nak simpan wang apa semua tu.

Ya betul tapi sekarang mereka mahu hidup pun tak cukup duit. Adakah dengan memberi nasihat kepada mereka tentang menyimpan wang akan keluarkan mereka daripada kemiskinan? Tidak, perlu bagi duit dahulu sehingga mereka mampu hidup dan barulah mulakan nasihat untuk menyimpan.

Kesimpulannya kepada mereka yang sudah menjadi kaya, bantulah orang sekeliling untuk hidup lebih terjamin. Ingat kita menjadi kaya hari ini bukan semata-mata untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk sama-sama bangunkan masyarakat ke tangga ekonomi lebih elok.

RUJUKAN:

Normington, M. (2018, April 27). ‘They’re poor because they’re lazy’. Dipetik daripada https://marknormington.medium.com/theyre-poor-because-they-re-lazy-ee2b79d585f5

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.