fbpx

Beza Wasiat Sultan al-Fateh Dengan Wasiat Harta Pusaka

0 693

Berita berkenaan pertukaran Hagia Sophia daripada muzium kepada masjid telah menarik perhatian global. Lebih-lebih lagi negara-negara jiran yang terdiri daripada Kristian Ortodoks.

 

Sehubungan itu, naiklah semula nama yang pernah menggegar dunia suatu ketika dahulu iaitu Sultan Muhammad al-Fatih.

 

Advertisement

Menelusuri sejarah baginda dapat memahamkan kita akan semangat Islam yang semakin naik di Turki ingin melihat kembali bangunan itu diimarahkan semula dengan solat.

 

Walaupun begitu, isu yang dicetuskan oleh Erdogan ni seakan ada udang disebalik batu dalam seteru politiknya. Tapi, kita tak nak ulas isu itu disini. Apa yang kita nak bawakan ialah berkenaan wasiat baginda.

 

Bukan berkenaan harta, tetapi lebih kepada amanat.

 

Selain Hagia Sophia yang menjadi tempat tumpuan jika anda ke Turki, bangunan lain yang perlu anda lawati adalah Masjid al-Fatih dimana terdapatnya makam baginda di dalam masjid tersebut.

Di depan pintu masjid tersebut terdapat wasiat Sultan Muhammad al-Fatih yang isinya adalah seperti berikut :

  1. Sepuluh orang Hafizul Quran harus ditugaskan untuk membaca Al-Quran setiap hari Jum’at sebelum shalat Jum’at
  2. Dua puluh orang shalih harus ditugaskan untuk mengkhatamkan Al-Quran tiap hari ba’da shalat Subuh
  3. Dua puluh orang shalih harus ditugaskan untuk membaca 70.000 kalimat tauhid tiap hari ba’da shalat Subuh
  4. Sepuluh orang harus ditugaskan untuk membaca 10.000 shalawat atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam ba’da shalat Subuh

 

Dah apa kaitannya pula dengan perihal pengurusan harta?

 

Nak cerita kat sini, amalan wasiat ni telah lama diamalkan. Namun, berlaku salah faham dikalangan orang kita bila mana melibatkan wasiat harta pusaka.

 

Antaranya adalah seperti berikut :

 

Wasiat wajib diikuti ?

Secara tradisinya, kita sudah terbiasa dengan cerita nenek moyang kita bahawa segala apa yang disampaikan sama ada bertulis atau pun tidak, itulah wasiat.

 

Ya, ia adalah amanah. Seperti mana contoh wasiat Sultan al-Fateh yang dikongsikan diatas.

 

Tidak, bila mana wasiat itu dibuat dengan tujuan untuk pengagihan harta pusakanya kepada warisnya sahaja.

 

Inilah norma yang biasa berlaku dikalangan masyarakat kita dimana ibu bapa buat wasiat supaya hartanya diagih kepada waris atau anak-anaknya sahaja.

 

Kenapa pula? Bukankah itu dikira sebagai amanah juga?

 

Hal ini kerana terdapat nas yang jelas mengatakan wasiat tidak harus kepada waris.

Daripada Abi Umamah berkata,

Aku telah mendengar Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassallam bersabda, Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memberikan kepada orang yang berhak haknya, ketahuilah tiada wasiat kepada ahli waris

(Hadis Riwayat Abu Daud)

 

Asas pensyariatan wasiat

Jangan salah faham pula.

 

Ini tidaklah bermakna wasiat ni haram. Kena fahamkan asasnya terlebih dahulu.

 

Pada peringkat awal kedatangan Islam, mewasiatkan kesemua harta kepada ibu bapa dan sanak saudara adalah wajib.

 

Dalilnya bersandarkan pada Surah al-Baqarah ayat 180 :

“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.”

Namun, ayat ini telah dinasakhkan dengan ayat al-mawarith (ayat 11, 12 dan 176 Surah al-Nisa’) yang menerangkan peruntukan bahagian-bahagian yang ditetapkan untuk waris-waris.

 

Dengan turunnya ayat ini, hukum amalan berwasiat tidak lagi diwajibkan.

 

Menurut mazhab sunni yang empat, hukum wasiat dijatuhkan mengikut keadaan-keadaan tertentu seperti berikut :

  • Wajib – jika terdapat tanggungjawab syarie yang perlu dilaksanakan seperti zakat dan haji dan dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan. Begitu juga, jika berkaitan dengan hutang dan wadiah sekiranya pemilik sebenar tidak dikenali oleh orang lain.
  • Sunat – jika berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlukan sedangkan mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Begitu juga berwasiat kepada orang miskin dan untuk tujuan kebajikan pada jalan Allah.
  • Harus – jika berwasiat kepada sahabat handai atau orang kaya yang mana mereka bukan dari golongan yang berilmu dan beramal soleh
  • Makruh – jika pewasiat seorang yang kurang berada dan mempunyai waris-waris yang ramai serta memerlukan harta.
  • Haram – jika berwasiat kepada perkara yang haram

 

Apa fungsi wasiat yang sebetulnya?

Dari sudut bahasa, wasiat ni berasal daripada perkataan ‘wassa’ yang bermaksud meyambung/meyampaikan/memberikan hak pemilikan selepas kematian.

 

Manakala dari perspektif undang-undang pula ianya ditafsirkan sebagai iqrar (pengakuan) seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan mengikut hukum Syarak, selepas seseorang itu mati.

 

Fungsi utama dokumen wasiat ada dua.

 

1. Pelantikan Wasi / Pemegang Amanah

Dalam dokumen wasiat, akan dinyatakan nama yang telah ditetapkan oleh pemilik harta sebagai pemegang amanah.

 

Kat sini juga berlaku banyak salah faham. Ada orang ingat pemegang amanah itulah pewaris harta, padahal dia hanya diamanahkan untuk buat pengagihan. Lebih teruk lagi, si pemegang amanah ni senyap-senyap simpan harta pusaka.

 

Oleh itu, pemilihan wasi perlulah mempunyai kriteria seorang yang amanah, boleh dipercayai dan mempunyai ilmu dalam hal ini.

 

Terdapat kes wasi yang tiada ilmu, berlaku sahaja kematian pewasiat, terus sibuk kira bahagian masing-masing. Padahal, wasi kena pastikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum harta diagihkan seperti :

  • kenalpasti waris-waris
  • selesaikan hutang-hutang pewasiat terlebih dahulu. Ini berdasarkan Surah an-Nisa’, ayat 12 :

    “Sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris)”.

Nak selamat dan mudah, lantik je organisasi seperti MAIS atau Amanah Raya Berhad pun boleh sebagai wasi anda. Tak perlu pening kepala dah.

 

2. Amal Jariah

Disinilah maksudnya harta yang perlu diwasiatkan iaitu tidak melebih 1/3 harta pewasiat kepada bukan waris (bukan Islam pun boleh diwariskan).

 

Ini berdasarkan pada perbualan ayah Saad Bin Abi Waqqas dengan Rasulullah saw :

Daripada Saad bin Abi Waqas r.a, daripada bapanya dia berkata,

Aku telah sakit yang teruk ketika di Mekah. Kemudian aku sembuh dari sakit yang boleh membawa mati.

Maka Rasulullah saw sentiasa datang melawatku, kemudian aku bertanya Rasulullah saw,

“Wahai Rasulullah! Aku mempunyai harta yang banyak dan tidak ada yang akan mewarisiku melainkan seorang anak perempuan. Apakah boleh aku sedekahkan dua pertiga (2/3) daripada hartaku?”

Jawab Rasulullah saw, “Tidak!”.

Aku berkata : Bagaimana kalau separuh (1/2)?

Jawab Rasulullah saw, ‘Tidak!’

Aku berkata, ‘Kalau satu pertiga (1/3)?

Jawab Rasulullah saw, ‘Satu pertiga (1/3) itu sudah banyak.

Sesungguhnya adalah lebih baik kamu meninggalkan anakmu kaya dari meninggalkan mereka miskin, meminta-minta daripada orang lain. Sesungguhnya apa yang kamu belanjakan akan diberi pahala walaupun sesuap makanan kepada isterimu’. “

 

Habis tu, lagi 2/3 tu pergi mana?

 

Inilah yang akan diwariskan kepada waris-waris mengikut kiraan faraid yang telah ditetapkan.

 

Adapun ‘wasiat’ yang dibuat oleh pewasiat untuk waris-waris itu tidak dikira sebagai wasiat. Ia lebih kepada hasrat pewasiat dan tidak wajib diikuti.

 

Jika hendak ikut pun, perlu dapat persetujuan semua waris-waris. Kalau salah seorang waris tidak setuju, secara automatiknya pembahagian harta adalah berdasarkan pembahagian faraid.

 

Mudah-mudahan fahamlah serba sedikit berkenaan wasiat harta pusaka berbanding definisi wasiat yang biasa orang kita faham.

 

Sumber :

  1. Wasiat dan hibah : Hukum dan prosedur
  2. Hibah dan wasiat sebagai instrumen perancangan harta Islam
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.