fbpx

Bila Surirumah Jepun Ingin Kembali Bekerja…

0 80

Semasa menulis buku Dasar Pandang ke Jepun, terdapat banyak sisi buruk negara Matahari Terbit itu didedahkan dari karoshi (mati akibat bekerja terlalu lama) hinggalah kisah burakumin. Penulis menyangka dengan perubahan tampuk kepimpinan dari Shinzo Abe kepada Yoshihide Suga dan Covid-19, ia sepatutnya pencetus perubahan signifikan kepada Jepun. Tetapi tiada perubahan berlaku termasuk mentaliti entiti-entiti korporatnya terhadap golongan suri rumah yang mahu kembali bekerja.

Semasa pentadbiran Abe, beliau memperkenalkan polisi Womenomics yang bertujuan mengetengahkan bakat dan kepimpinan wanita dalam pelbagai bidang termasuk politik dan ekonomi. Tetapi apa yang disasarkan berakhir dengan kegagalan.

Advertisement

Rajah 1: Dasar Womenomics Abe merupakan satu kegagalan di sebalik cubaannya menegakkan benang yang basah.

Untuk keanggotaan ahli parlimen, terdapat seorang ahli parlimen wanita untuk setiap 10 orang ahli parlimen lelaki. Sementara dalam sektor swasta pula, hanya 15% sahaja berpeluang mengisi jawatan senior dalam syarikat-syarikat – kurang separuh daripada sasaran pada 2020.

Bagi masyarakat Jepun, agak sukar bagi mereka menerima perubahan sebegini. Selama berdekad lamanya, apabila seseorang wanita itu melahirkan anak pertama, 60% daripada mereka akan berhenti kerja untuk menjaga keluarga. Justeru, tugas mencari nafkah disandang sepenuhnya oleh suami.

Tetapi dengan krisis ekonomi yang membelenggu Jepun dan perlaksanaan Womenomics, ramai yang memilih kembali menyertai tenaga kerja. Hanya 42.1% sahaja yang berhenti kerja pada 2019. Sementara penyertaan wanita bagi umur 15-64 dan 25-44 tahun pula meningkat kepada 70.9% dan 77.7%,

Bukan tidak ada inisiatif bagi pihak Tokyo untuk menggalakkan syarikat mengambil wanita bekerja. Mereka melancarkan kempen untuk menghapuskan senarai menunggu penjagaan anak dan mengenakan tekanan kepada syarikat untuk mempunyai seorang eksekutif wanita. Tetapi tiada langsung insentif atau penalti dikenakan kepada entiti-entiti yang enggan berbuat demikian.

Tambah memalukan, kebanyakan wanita yang bekerja terperangkap dengan jawatan bergaji rendah atau kerja separuh masa walaupun ada mempunyai kelulusan tinggi. Dan mengikut data Forum Ekonomi Dunia (WEF), pendapatan wanita Jepun 40% lebih rendah berbanding kaum Adam.

Bagi wanita seperti Yumiko Suzuki, keputusan untuk berhenti kerja 15 tahun lepas bukan sesuatu yang mudah. Sebaik menamatkan pengajian di universiti, dia bekerja keras di syarikat lamanya sama seperti rakan sekerja lelaki lain. Ini termasuk bekerja lebih masa semata-mata untuk menunjukkan dirinya berkebolehan.

Rajah 2: Yumiko Suzuki bersama suami dan dua orang anak mereka. Sumber: BBC News

Apabila dia bertemu jodoh dengan suaminya di tempat kerja, kedua-duanya sedar salah seorang harus berkorban jika mahu membina keluarga. Hari ini, wanita Jepun diberi pilihan bekerja mengikut waktu fleksibel, satu kelebihan yang tidak ada bila Suzuki berhenti kerja pada 2006.

Selepas tujuh tahun memainkan peranan sebagai surirumah dan ibu kepada dua orang anak, dia ingin kembali bekerja. Tetapi alangkah terkejutnya Suzuki apabila syarikat-syarikat yang melihat tempohnya sebagai surirumah sebagai kosong dalam setiap resume kerja yang dihantar. Akibatnya, dia langsung tidak berpeluang ditemuduga untuk apa-apa jawatan mahupun pekerjaan.

Pada akhirnya, Suzuki memilih bekerja di Warc Agent, sebuah syarikat baru selepas memperoleh tiga sijil kursus profesional. Kini, dia membantu wanita-wanita lain memulakan semula usaha mendapatkan pekerjaan.

Sistem pengambilan kerja Jepun tidak banyak berubah sejak Perang Dunia Kedua (WWII). Kebiasaannya, syarikat akan merekrut pekerja baru pada setiap musim bunga dengan tempoh pekerjaan bersifat jangka panjang. Sesiapa yang terlepas tempoh berkenaan bakal berdepan kesukaran mendapatkan kerja. Selain itu, syarikat-syarikat ini memberi kenaikan pangkat kepada pekerja mengikut umur dan bukan atas sebab bakat.

Atas sebab itulah, bagi golongan muda termasuk wanita, mereka lebih rela bekerja dengan syarikat-syarikat baru daripada syarikat-syarikat tipikal Jepun. Ini kerana mereka merasakan diri mereka dipersia-siakan dan dipandang sepi oleh pihak pengurusan.

Setakat ini, tidak banyak firma Jepun yang enggan mengulas hal ini. Tetapi untuk mengubah mentaliti ini, usah terkejut syarikat-syarikat multinasional (MNC) mengetuai usaha perubahan.

Contoh paling mudah, firma perbankan dan kewangan Goldman Sach. Firma ini perlu memenuhi sasaran kesaksamaan jantina bila merekrut pekerja. Justeru, bila mereka berdepan isu kekurangan calon wanita yang layak untuk mengisi jawatan kejuruteraan mereka, firma tersebut menganjurkan bengkel-bengkel pengekodan untuk meningkatkan bilangan calon yang layak.

RUJUKAN:

Oi, Mariko. (2021). Japan’s huge army of under-employed ex-housewives. BBC News.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.