fbpx

Minyak: Emas Hitam Yang Menguasai Dunia

0 504

Menurut portal oilprice.com, dalam jangka masa 69 tahun (1950 – 2019); jumlah keseluruhan pengeluaran minyak mentah (crude oil) di peringkat global adalah sebanyak 1.457 trilion tong atau 231.644 trilion liter.

Dengan saiz pasaran (market cap) industri minyak dan gas yang mencecah nilaian USD $2.184 Trilion pada tahun 2018, maka tidak hairanlah komoditi terpenting peradaban dunia itu pernah digelar sebagai emas hitam (black gold).

Advertisement

Pada tahun 2019, dunia merekodkan kadar pengeluaran minyak mentah kira-kira 100.69 juta tong sehari. Jika angka itu didarabkan dengan 365 hari (setahun); jumlahnya akan mencecah 36.75 bilion tong.

Angka tersebut menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun 2018 (36.79 bilion tong); berdasarkan data yang dipetik daripada ‘Energy Information Agency’ (EIA) yang berpusat di Amerika Syarikat.

Daripada jumlah itu (100.69 juta tong), hampir 19 peratus atau 19.51 juta tong minyak mentah dihasilkan oleh Amerika Syarikat, selaku negara pengeluar terbesar minyak bagi tahun 2019; diikuti Arab Saudi (11.81 juta), Russia (11.49 juta), Kanada (5.50 juta) dan China (4.89 juta).

Malaysia berada pada kedudukan ke-27 terbesar dunia, dengan kadar pengeluaran sebanyak 0.651 juta tong sehari.

Selain negara pengeluar minyak utama (top oil producer), kita juga perlu tahu tentang negara-negara yang diiktiraf sebagai pengguna minyak terbesar di dunia (top oil consumption).

Untuk rekod, Amerika Syarikat selaku negara ekonomi nombor satu dunia; dinobatkan sebagai negara pengguna minyak terbesar global dengan rekod 19.96 juta tong sehari atau hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan.

China berada di kedudukan kedua dengan jumlah penggunaan domestik sebanyak 13.57 juta tong sehari, diikuti India (4.34 juta), Jepun (3.92 juta), Russia (3.69 juta) dan Malaysia di tangga ke-25 (0.838 juta).

Antara lain, setakat tahun 2020; Venezuela adalah negara yang memiliki simpanan minyak mentah terbesar dunia dengan rekod sebanyak 304 bilion tong (17.5%), diikuti Arab Saudi (298 bilion / 17.2%), Kanada (170 bilion / 9.8%), Iran (156 bilion / 9%) dan Iraq (145 bilion / 8.4%).

Secara asasnya, negara-negara pengeluar minyak peringkat global terbahagi kepada dua kumpulan utama, iaitu; ‘OPEC’ dan ‘non-OPEC’.

OPEC adalah singkatan terminologi; ‘Organization of the Petroleum Exporting Countries’, iaitu nama kepada sebuah organisasi ‘intergovernmental’ yang ditubuhkan pada 14 September 1960, persis ASEAN, NATO dan Kesatuan Eropah (EU).

Organisasi berasaskan minyak itu dianggotai oleh 13 buah negara anggota, antaranya; Arab Saudi, United Arab Emirates, Iran, Iraq, Venezuela, Nigeria, Libya, Kuwait, Algeria, Angola, Congo, Gabon dan Equatorial Guinea.

Setakat tahun 2021, kesemua negara anggota OPEC memiliki kapasiti pengeluaran minyak sebesar 34.65 juta tong sehari (44 peratus), manakala negara-negara ‘non-OPEC’ pula menghasilkan 66.04 juta tong.

Untuk rekod, terdapat lebih daripada 150 buah indeks penanda harga yang digunapakai dalam menentukan harga jualan minyak mentah di seluruh dunia.

Antara penanda aras harga utama yang digunapakai secara meluas adalah; ‘Brent Crude’, ‘West Texas Intermediate Crude’ (WTI) dan ‘OPEC Basket’. Manakala, minyak mentah keluaran Malaysia pula menggunakan indeks harga yang dikenali sebagai ‘Tapis Crude’.

Berdasarkan catatan harga terkini, harga jualan minyak Brent Crude berada pada kadar USD $70.94 / tong, diikuti WTI ($68.63), OPEC Basket ($70.52) dan Tapis Crude ($71.50).

Seperti yang kita sedia maklum, harga minyak mentah global pernah jatuh menjunam sehingga melebihi paras 40 peratus pada tahun 2014; iaitu daripada USD $112 / tong (Jun 2014) turun kepada USD $62 / tong (Disember 2014).

Kejatuhan itu semestinya menjejaskan pendapatan negara-negara pengeluar, khususnya Malaysia; yang bergantung harap kepada bayaran cukai serta dividen berasaskan petroleum.

Oleh hal yang demikian, pendapatan kerajaan pusat sedikit menyusut ekoran daripada penurunan kadar keuntungan yang diraih oleh syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) waktu itu.

Kadar harga minyak global kemudiannya kekal berada pada paras yang agak rendah, iaitu sekitar $48.66 / tong pada tahun 2015, diikuti $43.29 (2016), $50.80 (2017), $65.23 (2018), $56.99 (2019) dan $39.68 (2020); sekali gus perkadaran itu dianggap sebagai ‘new normal’.

Walau bagaimanapun, Petronas selaku syarikat milik kerajaan (GLC) yang dipertanggungjawabkan dalam mengurus hal ehwal petroleum milik rakyat Malaysia masih mampu bertahan meskipun perlu berhadapan dengan cabaran harga minyak global yang agak rendah.

Jika dirujuk laporan kewangan tahunan Petronas (Annual Financial Report), pada tahun 2020; syarikat petroleum yang diasaskan pada tahun 1974 itu merekodkan kerugian bersih (net-loss) selepas cukai sebanyak RM21 Bilion.

Angka itu jelas berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, yang mana Petronas sentiasa mencatatkan keuntungan bersih (net-profit); 2019 (RM40.5 Bilion), 2018 (RM55.31 Bilion), 2017 (RM45.5 Bilion), 2016 (RM23.8 Bilion), 2015 (RM39.8 Bilion) dan 2014 (RM69.2 Bilion).

Pun begitu, Petronas berjaya membawa nama baik Malaysia ke persada dunia setelah dinobatkan sebagai syarikat multinasional ke-186 terbaik global di dalam penyenaraian berprestij tinggi terbitan majalah bisnes; Fortune Global 2020.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.