fbpx

Cadbury: Tranformasi Air Balang Tepi Jalan Kepada Coklat Premium

0 356

Apabila berkunjung sahaja ke Aeon hatta kedai runcit acheh untuk beli rokok Dblend sekalipun, mata kita pasti akan tertancap ke arah coklat Cadbury. Bukan tiada coklat lain seperti Ferrero Rocher dan Kinder Bueno tetapi ada yang istimewa tentang Cadbury. Rasanya yang premium dan harga agak marhaen semakin menarik perhatian kita untuk membeli coklat tersebut.

Namun begitu tahukah anda, suatu ketika dahulu coklat Cadbury berakar umbi dari kedai tepi jalan yang menjual air balang sahaja. Ya anda tidak tersalah dengar kerana semuanya bermula pada tahun 1824 apabila John Cadbury telah membuka kedai air balang yang menjual minuman seperti teh, kopi, koko dan coklat di Birmigham.

Advertisement

John Cadbury menjual air balang tersebut adalah kerana mahu memecahkan dominasi minuman alkohol yang dikatakan sebagai punca kemiskinan masyarakat. Maka dengan itu, John Cadbury berharap air balangnya mampu menjadi alternatif terbaik buat masyarakat untuk menikmati minuman yang murah dan tidak memabukkan.

Oleh kerana permintaan terhadap minuman berasaskan koko dan coklat yang semakin tinggi, John telah bertindak membeli sebuah kilang di Crooked Lane bagi meningkatkan pengeluaran. Menjelang 1842, John Cadbury telah berjaya menjual lebih kurang 30 jenis minuman berasaskan coklat.

Bagi memastikan gerai air balang tersebut berjalan dengan lancar dan berkembang, John Cadbury telah bertindak mengundang adiknya iaitu Benjamin lantas menubuhkan syarikat Cadbury Brothers. Gabungan tersebut terus membuatkan syarikat Cadbury Brothers semakin berjaya hingga memaksa mereka berpindah ke kilang yang lebih besar di Bridge Street. Berita baiknya, kilang ini miliki akses mudah kepada semua pelabuhan di Britain, bermakna produk Cadbury Brothers akan semakin mudah terjual.

Walau bagaimanapun, John mengambil keputusan untuk bersara ekoran masalah kesihatannya yang makin merosot lantas menyerahkan Cadbury Brothers kepada anak-anaknya iaitu George dan Richard.

Geogre dan Richard tidak perlu menunggu lama apabila berhasil mencipta Cadbury Cocoa Essence iaitu koko berasaskan serbuk pertama seumpama itu di Britain pada tahun 1875. Hal ini telah memudahkan kerja mereka yang sebelum ini terpaksa buat air koko secara manual. Dalam masa singkat sahaja Cadbury Cocoa Essence mendapat permintaan yang sangat tinggi.

Namun begitu terdapat kegusaran dalam hati mereka apabila lebihan koko daripada penghasilan Cadbury Cocoa Essence dibuang begitu sahaja setelah siap diproses. Serentak dengan itu, mereka menggunakan lebihan koko lantas melahirkan satu lagi produk iaitu Cadbury Easter Egg pada tahun 1897.

Berkat kejayaan dalam produk berasaskan koko, Cadbury Brother telah mengambil keputusan untuk berhenti menjual air balang teh dan kopi. Tindakan itu berkesan apabila Cadbury Brother telah berjaya menghasilkan coklat bar pertama mereka iaitu Dairy Milk pada tahun 1905 yang laku keras sehingga ke hari ini.

Bermula sejak itu Cadbury terus mengeluarkan pelbagai jenis produk coklat bar yang menawan dunia. Bukan itu sahaja, Cadbury juga cuba mengabungkan produk mereka dengan cita rasa tempatan seperti Cadbury Dairy Milk + Durian.

Hari ini Cadbury menjadi syarikat yang bernaung dibawah pengurusan Mondelez International bersama Toblerone. Buat pengetahuan anda, Mondelez International juga merupakan pengeluar kepada biskut kegemaran ramai iaitu Oreo. Malah Cadbury telah menjadi syarikat berasaskan coklat kedua terbesar di dunia dengan produknya mudah didapati dilebih 50 buah negara seluruh dunia.

Jadi kepada pembaca semua, sudahkah anda mendapatkan coklat Cadbury daripada kedai yang berhampiran?

RUJUKAN:

Franks, R. (2017, Januari 19). A brief history of Cadbury chocolate. Culture Trip. Dipetik daripada https://theculturetrip.com/europe/united-kingdom/articles/a-brief-history-of-cadbury-chocolate/

English Tea Story. (n.d). History of Cadbury. Dipetik daripada https://www.englishteastore.com/history-of-cadbury.html

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.