fbpx

Cara Kreatif Pawagam Luar Negara Jana Pendapatan

0 86

Semua sedia maklum berikutan perlaksanaan terbaru PKP 2.0 sejak pertengahan Januari lepas, ramai pengusaha pawagam negara terpaksa menutup operasi sehingga hari ini.

Seperti biasa, wujud rungutan dalam kalangan mereka tentang menanggung kerugian sepanjang PKP dan pandemik Covid-19. Mungkin mereka harus melihat bagaimana pengusaha pawagam di luar negara kreatif dalam menjana pendapatan.

Advertisement

Di Korea Selatan, pawagam menanggung kerugian akibat had kapasiti sebanyak 50% yang dikenakan kerajaan dan tidak banyak filem disiarkan di situ untuk menarik pengunjung.

CGV
Kredit: Celluloid Junkie

Justeru, bagi rangkaian pawagam terbesar di negara itu, CGV mengambil keputusan menyewakan auditorium kepada pemain-pemain permainan video sebagai cara terbaru menjana pendapatan.

Sewa berbeza mengikut waktu yang dipilih pemain. Sekiranya mereka datang ke pawagam sebelum pukul 6.00 petang, mereka hanya dikenakan sewa AS$90 selama dua jam.

Namun selepas waktu tersebut, sewa akan naik kepada AS$135. Pengguna juga perlu membawa permainan mereka, konsol dan alat kawalan bersama.

Baca juga Filem Asia Pecah Panggung Kerana Covid-19

Skim sewa yang dipanggil Azit-X itu (azit dalam Bahasa Korea bermaksud tempat persembunyian) tidak menjana pendapatan yang banyak seperti tayangan filem di pawagam.

Azit-X
Kredit: The Verge

Namun begitu, ia mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengguna Korea Selatan dengan auditorium CGV sudah disewa sebanyak 130 kali. Sejak dilancarkan pada Januari 2021, keluarga dan pasangan turut sama menyertai skim sewa tersebut.

Perkara sama turut dilakukan rangkaian pawagam Amerika Syarikat yang berpangkalan di Memphis, Malco Theatres.

Mereka menawarkan perkhidmatan sewa pawagam sejak November 2020 di 36 pawagam milik mereka di Arkansas, Kentucky, Louisiana, Mississippi, Missouri dan Tennessee.

Perkhidmatan yang dipanggil Malco Select itu mengenakan caj AS$100 untuk dua jam dan AS$150 untuk tiga jam.

Bagi sesetengah rangkaian pawagam lain, ada menawarkan khidmat sewa pawagam untuk tayangan persendirian. Perkhidmatan ini ditawarkan oleh AMC dan Cinemark.

Selain sewa pawagam, CGV turut menawarkan perkhidmatan menjual dan menghantar makanan kepada pengguna yang rindukan makanan semasa menonton wayang. Antara makanan yang ditawarkan ialah calamari, bertih jagung dan nacho.

Baca juga Cara Kreatif Syarikat Penerbangan Jana Pendapatan Semasa Covid

Di United Kingdom pula, pawagam Genesis di timur London membenarkan kafenya terus beroperasi bagi membolehkan orang ramai membeli makanan untuk dibawa pulang.

Industri pawagam global amat terkesan dengan pandemik Covid-19. Misalnya, dari segi jualan tiket, jualan tiket pawagam global merosot sebanyak 71% daripada AS$42.5 bilion pada 2019 kepada AS$12.4 bilion pada 2020.

Tahun 2020 turut menyaksikan AMC mendapatkan suntikan tunai sebanyak AS$917 juta untuk mengelak situasi mendapatkan perlindungan kemuflisan.

Source Je-seung, L. (2021). The cinemas now hiring out their screens to gamers. BBC News
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.