fbpx

Cara Labur Unit Trust Menggunakan i-Invest KWSP

0 8,915
80%
Awesome
  • Design

28Sejak dilancarkan i-Invest oleh KWSP dimana pencarum boleh labur ke unit trust terus tanpa melalui ejen dengan caj jualan serendah 0-0.5% , sudah nampak masing-masing tunjuk untung pelaburan mereka di sosial media.

Yang tak tahu pasal pelaburan ni pun rasa cemas kerana nak juga dapat untung macam kawan mereka buat tu. Sabar, jangan gopoh. Ini semua biasa, bila untung kita akan rasa nak ‘show off’ padahal itu semua kebetulan.

Advertisement

Sebab apa saya cakap kebetulan ? Kebetulan benda ni dilancarkan, bila semak tengok-tengok untung. Apa lagi, inilah kesempatan untuk tunjuk hebat. Pelaburan unit trust ni tak setiap masa untung, ada masa ia jatuh atau rugi. Cuba waktu tu tengah rugi, ada dia nak tunjuk. Memang tidaklah jawabnya.

Bagi meredakan kegusaran ni, suka saya ajak para pembaca untuk tukar cara fikir kita. Sebelum buat apa-apa pelaburan, jangan tengok untung dulu. Ambil tahu risiko kerugian sesuatu pelaburan tu terlebih dahulu.

Sebab apa ?

Ini kerana pelaburan unit trust memang jenis pelaburan jangka masa panjang. Kalau anda jenis tak boleh nak hadap unrealized loss -10% , anda mungkin ambil keputusan untuk tarik diri. Padahal itu adalah unrealized loss. Maksudnya rugi tu atas kertas sahaja. Anda tidak akan rugi selagi anda tak jual. Jika anda faham pelaburan yang anda buat, anda tidak akan resah pun tengok kerugian atas kertas tu. Anda tahu matlamat anda adalah jangka masa panjang, jadi anda teruskan dengan strategi anda.

Tak ada strategi ? Tak tahu melabur ? Jangan risau, artikel kali ini akan beritahu cara-cara labur unit trust yang betul.

 

Login ke Portal KWSP

Pertama sekali, anda kenalah login ke portal KWSP. Bagi mereka yang kali pertama nak login, anda kena daftar dulu di mana-mana mesin kiosk KWSP atau hubungi terus KWSP untuk aktifkan pendaftaran online.

Kemudian, anda semak kelayakan anda sama ada boleh melabur atau tidak. Kalau tak layak, tak boleh melabur lah jawabnya. KWSP telah tetapkan pengiraan jumlah yang dibenarkan untuk melabur.

Caranya, klik ‘WITHDRAWAL’ seperti gambar dibawah ni.

Klik ‘ CALCULATOR ‘ à Isikan umur anda tahun ni (kalau belum sampai tarikh lahir lagi tahun ni, boleh masuk umur kurang setahun) à Klik ‘ CALCULATE ‘. Akan terpampang jumlah yang boleh anda laburkan.

Dah layak melabur ? Jom kita belajar cara pilih dana pula.

Klik ‘ INVESTMENT ‘. Bagi yang dah pernah melabur, anda akan lihat prestasi pelaburan anda sekarang ni. Seperti mana yang orang sekarang tayang kat sosial media.

Pergi ke butang ‘ FUND TOOLS ‘ à Klik ‘ Fund Selector ‘.

Seterusnya, akan terpampang seperti diatas ni. Kita akan fokus bahagian Fund Category. Selebihnya, anda boleh tanya mereka yang pakar atau tutorial (di bahagian Learn More) dalam platform yang disediakan  KWSP ini.

Seperti yang anda lihat, ada 5 kategori dana. Kita akan fokus 3 daripadanya iaitu Equity, Money Market dan Mixed Asset. Kategori dana ini adalah berkait langsung dengan risiko yang mampu anda ambil.

Dalam hal ini, Equity mempunyai risiko paling tinggi, manakalah Money Market mempunyai risiko paling rendah. Mixed Asset pula adalah sederhana kerana ia terhasil daripada gabungan antara Equity dan Money Market.

Cakap pasal risiko, yang biasa orang dengar adalah jika tinggi risiko, maka tinggilah pulangannya. Tak juga, jika kefahaman kita rendah dalam pelaburan, pulangan Equity yang tinggi pun boleh jadi kerugian paling besar dalam pelaburan kita. Kuncinya adalah ilmu. Jika kurang ilmu, jangan ambil yang risiko tinggi. Ambillah yang sederhana atau rendah.

Dalam tutorial ini, saya akan pilih ‘ All ‘ sebagai pembelajaran. Oh ya, jangan lupa pilih Syariah ya.

Maka terpampanglah seperti gambar diatas ni. Pening dah tengok terma-terma pelaburan ni? Sabar, benda boleh bawa bincang. Kita akan bincangkan satu persatu.

 

1. Annualised Return


Ini adalah keuntungan tahunan yang sudah dikira siap-siap. Nama panjang dia, Compound Annual Growth Rate (CAGR). Pulangan ini yang biasa kita tengok untuk bandingkan dengan pulangan pelaburan lain.

Cara nak tengok datanya adalah, tengok pada tahun-tahun yang ada. Ada 1,3,5,7, dan 10 tahun.

Ambil contoh yang 5 tahun. Anda klik bahagian ‘ 5 years’ (B), dia akan susun dari pulangan terendah ke tertinggi. Tekan lagi sekali untuk susun pulangan tertinggi ke terendah.

Contohnya, saya ambil Eastspring Investment Dinasti Equity. Pulangan tahunannya untuk 5 tahun adalah 10.35%. Tinggi kan? Tapi bukan setiap tahun dia bagi 10%.

Untuk maklumat lanjut dana, klik sahaja pada nama dana dikehendaki. Akan keluar seperti gambar dibawah ni.

Annualised ni lebih kurang maksudnya average atau purata. Ini bermakna, secara purata untuk 5 tahun, dana ini memberi pulangan 10%. Ada tahun dia jadi -17% (2018), ada tahun dia jadi +34% (2017) tapi secara purata untuk 5 tahun dia bagi 10% (sila rujuk Calendar Year Return).

Faham ke ni?

Kalau dah faham, anda pasti mengerti kenapa saya kata nak melabur jangan tengok untung dulu. Kalau anda jenis tak boleh tahan dia jatuh sampai 20%, lebih baik cari dana yang lebih rendah risikonya. Saya dah melabur dana ni lama, memang dah rasa masa dia jatuh gila, masa dia naik gila.

Tapi bila kita faham strategi kita dan tahap risiko kita, kita tak akan buat ‘panic selling’. Pasal strategi, saya akan terangkan akhir sekali. Jadi, teruskan lah membaca ya.

Nak tengok tahun mana satu ?

Memandangkan pelaburan Unit Trust ni memang untuk jangka masa panjang, saya biasa tengok 5 tahun sahaja. Namun, ia bergantung pada matlamat anda. Kebiasaannya orang melabur guna KWSP ni untuk persaraan. Jadi, kalau tengok bahagian 10 tahun pun boleh. Adapun orang yang melabur gunakan duit tunai, tempoh matlamatnya lebih pendek. Boleh tengok tempoh yang lebih pendek seperti 3-5 tahun.

Untuk tidak memeningkan dan sebagai permulaan, anda tengoklah bahagian 5 tahun. Bila dah pakar, nak tengok setahun punya pun tak ada masalah. Yang penting kena ada ilmu.

Tepuk dada, tanya selera. Anda jenis ambil risiko atau tidak ?

Kalau tidak, tengok bahagian 5-10 tahun sahaja. Nak tahu risiko dana tu tinggi ke tidak, boleh tengok bahagian ‘Fund Volatility’. Makin tinggi nilainya, makin tinggilah risikonya. Sekali lagi saya ingatkan, tinggi risiko tak semestinya tinggi pulangannya. Dalam ilmu pelaburan, ada banyak indikator untuk kita tengok sama ada risiko yang diambil berbaloi atau tidak untuk pulangan yang kita dapat.

Lagi satu, pulangan ini adalah menunjukkan prestasi yang lepas. Ia tidak menjanjikan prestasi untuk akan datang. Paling tidak, anda dah buat analisa dana yang mempunyai prestasi yang bagus sepanjang 5 tahun yang lepas.

Saja nak cucuk anda, kalau anda tengok bahagian setahun, dana tertinggi adalah AmPrecious Metal Fund dengan pulangan 36%. Jangan pandang rendah pada unit trust, kalau kena cara, memang boleh buat untung. Dengan memahami ekonomi semasa, anda akan faham kenapa dana ini naik.

Sekali lagi, itu pulangan untuk setahun yang lalu. Ia tidak menjanjikan pulangan untuk masa akan datang.

2. Cumulative Return

Cumulative return adalah pulangan terkumpul. Contohnya, saya pilih 5 tahun. Bermakna, pulangan terkumpul selama 5 tahun. Misalnya Eastspring Investment Dinasti Equity, pulangan terkumpul adalah 63.63% untuk 5 tahun. Kalau kita bahagi 5, setahun jadi 12.73%.

Tapi bukan annualised dia 10% ke tadi?

Sebab tu saya cakap annualised ni lebih kurang macam average return. Sebab annualised ada formulanya. Mana satu lebih tepat ? Sudah semestinya annualised return. Jadi, kalau ada ejen buat kiraan purata macam ni untuk mempengaruhi anda, bolehlah lari jauh-jauh.

3. Performance Table (Calendar Year)

Untuk bahagian ni pula adalah untuk tengok sejarah pulangan bagi setiap dana. Tahun lepas (2018) seperti mana kita tahu, ekonomi secara global perlahan. ASB mengungguli carta pada tahun lepas. Jika anda tengok pada tahun 2017 pula, Eastspring Investment Dinasti Equity Fund mengungguli carta dengan pulangan sebanyak 37%. Malangnya, tahun lepas jatuh teruk. Saja nak cerita bahagian ni, nak beritahu pentingnya diversification dalam portfolio pelaburan anda. Jangan letak semua telur dalam satu bakul.

Setakat ni faham ke?

Kalau tak faham, paling kurang fahamkan bahagian akhir yang saya nak sampaikan ni. Nak pilih dana untuk labur pula.

Kenali Tahap Risiko

Nak kenal risiko masing-masing senang sahaja. Pertama sekali, tengok umur. Kalau dah umur 50, nak bersara umur 55, anda hanya ada 5 tahun lagi. 5 tahun terlalu singkat dan tak sesuai untuk pelaburan yang berisiko tinggi. Sebab sekali dah jatuh, nak naik semula memang ambil masa yang lama.

Kemudian, tanya diri sendiri. Sanggup tak hadapi kerugian 20% ? 10% ? Dari situ anda dapat kenal tahap risiko anda.

Pilih Jenis Keuntungan

Dalam unit trust, ada dua jenis keuntungan.

Pertama, pengagihan tahunan. Orang kita faham benda ni macam dividen tahunan. Kedua, kenaikan harga (capital gain). Contohnya, beli unit harga 70 sen, jual masa harga unit jadi RM1. Perbezaan tu kita panggil capital gain.

Ada dana, strateginya untuk dapat dividen tahunan. Ada dana, strateginya untuk dapatkan kenaikan harga. Ada dana, yang ada kedua-duanya.

Bagi mereka yang mempunyai tahap risiko rendah, anda tidak digalakkan untuk labur dalam dana yang strateginya adalah kenaikan harga. Anda pilihlah dana yang konsisten bagi dividen tahunan.

Cara nak tengok dia konsisten bagi dividen atau tidak adalah seperti berikut :

Klik Nama Fund yang anda kehendaki. Contohnya, saya klik Eastspring Investment Dana Al-Ilham. Maka,akan terpampang seperti berikut :

Cari Historical Income Distribution, kemudian klik ‘ Details’.

Akan terpampang seperti gambar diatas. Nampak tak, setiap tahun dia isytihar pengagihan pendapatan atau dividen. Perlu diingatkan, dana-dana amanah saham tak jamin akan bagi dividen setiap tahun. Ada tahun dia bagi, ada tahun dia tak bagi. Ikut keadaan pelaburan setiap dana.

Analoginya, kalau sesebuah syarikat tu setiap tahun bagi bonus, syarikat tu bagus tak? Begitulah dana amanah saham. Kalau konsisten bagi dividen, maksudnya dana ni stabil untuk jangka masa panjang. Walaupun jatuh, anda tak risau kerana memang akan dapat dividen. Lagi bagus, waktu jatuh tu anda tambah pelaburan kerana anda tahu anda akan dapat dividen.

Untuk strategi dana kenaikan harga, susah saya nak cerita kat sini. Tapi, nak tak saya kongsikan dana yang ada kedua-dua manfaat ni? Risiko sederhana, konsisten dividen tahunan, pulangan pun memberangsangkan.

Dana Makmur Pheim. Klasifikasi dana ini adalah Mixed Assets, iaitu portfolionya terdiri daripada ekuiti dan juga money market. Dari segi klasifikasi, kita sudah tahu risikoya telah diagihkan. Sesuai untuk sejagat awam, tua atau muda.

Kemudian, pulangan tahunan untuk 10 tahun adalah 8.39%. Dikira bagus untuk labur jangka masa panjang. Sebenarnya lebih tinggi, tapi sebab tahun lepas jatuh 9%. Anda scroll bawah sikit, anda boleh lihat pulangan pada tahun 2017 adalah 20%! Dan sekarang, YTD (Year To Date) Return, pulangan bertempoh dari 1 Jan 2019 sehingga hari ni adalah 10.26%.

Risiko rendah, tapi kenaikan cepat macam dana ekuiti. Tambahan, dana ini konsisten bagi dividen setiap tahun. Ini kerja rumah untuk anda semak sejarah dividen dana ini.

Dengan ciri-ciri yang saya terangkan, jatuh macam mana pun, anda tambahlah pelaburan anda. Beli pada harga murah, dan tunggu harga naik disamping dapat dividen lebih banyak berbanding orang yang tak buat apa-apa ketika harga jatuh.

Sebab apa?

Sebab anda beli unit pada harga murah. Kini anda ada unit yang lebih banyak. Tambahan, dividen unit trust dikira berdasar jumlah unit yang anda ada. Selepas dapat dividen, nilai dividen tu akan ditukarkan kepada unit. Jadi, setiap kali anda dapat dividen, unit anda makin bertambah. Inilah yang dinamakan compounding atau berganda.

Beginilah caranya untuk labur dalam amanah saham. Anda kena ada strategi untuk kumpul unit sebanyak mungkin. Dengan unit yang banyak, kenaikan harga yang sikit pun sudah memberikan impak yang sangat besar.

Fuh, mencabar betul nak ajar dalam bentuk tulisan. Alangkah bagusnya dapat ajar anda semua secara depan-depan. Ada banyak lagi strategi. Kalau nak lagi mantap ikut perancangan kewangan sebenar, kena tengok standard deviation, beta, treynor, sharpe ratio lagi. Kemudian, kena diversify, seimbangkan portfolio anda, dan perlu buat pertukaran dana dari masa ke semasa. Bukannya hanya peram sepanjang masa, tambah pelaburan bila pelaburan jatuh seperti yang biasa anda dengar.

Kalau ada demand, mungkin pihak MyTwoCents boleh supply kelas pelaburan amanah saham ni. Apa lagi, dah baca silalah SHARE sampai lebam. Kalau ada soalan, silalah komen, kita wujudkan perbincangan yang ilmiah.

 

*Penafian : Penulis dan pihak mytwocents.asia tidak bertanggungjawab atas segala keputusan yang anda buat melalui pembacaan ini. Segala risiko adalah atas tanggungan masing-masing.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.