fbpx

Cara Mengukur Tahap Keuntungan Syarikat Menggunakan Nisbah

0 350

Dalam artikel yang sebelum ini, kita telah belajar bagaimana untuk menilai tahap kesihatan kewangan syarikat menggunakan nisbah kecairan. Boleh baca di sini: Menilai Kemampuan Syarikat Membayar Hutang Menggunakan Nisbah Kecairan

 

Kali ini kita akan belajar untuk menggunakan nisbah keuntungan pula dalam menilai sesebuah syarikat. Nisbah ini mengukur kemampuan syarikat menjana keuntungan berdasarkan kos operasi dan aset.

 

Advertisement

Antara nisbah di bawah nisbah keuntungan adalah margin keuntungan bersih, pulangan atas aset (ROA), pulangan atas ekuiti (ROE), margin keuntungan kasar dan nisbah keuntungan operasi.

 

Seperti mana nisbah sebelum ini, ia sesuai digunakan untuk membandingkan syarikat dalam industri yang sama dan syarikat pesaing.

 

Mari kita lihat contoh di bawah. Laporan penuh boleh dapatkan di laman rasmi Serba Dinamik

Penyata Pendapatan Serba Dinamik
Penyata Pendapatan Serba Dinamik

Nisbah Keuntungan Kasar

Nisbah Keuntungan Kasar = Keuntungan Kasar / Pendapatan

Nisbah Keuntungan Kasar = RM810,834 / RM4,528,621 = 17.9%

 

Anda juga boleh menggunakan nisbah untuk membandingkan prestasi syarikat dari suku ke suku. Jika anda lihat nisbah ini turun naik (fluctuates) secara tidak konsisten, berkemungkinan ada masalah dari segi pengurusan atau produk.

 

Nisbah Keuntungan Bersih

Nisbah Keuntungan Bersih = Keuntungan Bersih /  Pendapatan

Nisbah Keuntungan Bersih = RM497,983 / RM4,528,621 = 11.0%

 

Bagi mengira keuntungan bersih, bukan kos barang/perkhidmatan sahaja yang perlu ditolak, tetapi semua perkara perlu diambil kira seperti pembayaran hutang dan cukai. Malah pendapatan dari sumber lain juga turut diambil kira seperti pendapatan daripada pelaburan.

 

Dengan menggunakan nisbah ini, pelabur boleh menilai adakah syarikat ini semakin untung atau tidak, kita tidak mahu pendapatan meningkat tetapi dalam masa yang sama kos pula meningkat pada kadar yang lebih tinggi yang akan menyebabkan margin keuntungan bersih semakin mengecil.

 

Pelabur juga perlu berhati-hati jika tiba-tiba sahaja margin keuntungan meningkat mendadak, boleh jadi ia disebabkan oleh penjualan aset. Tetapi jika kenaikan disebabkan pengurusan yang lebih cekap atau operasi yang lebih efisyen, ia adalah petanda baik.

 

Nisbah Keuntungan Operasi

Nisbah Keuntungan Operasi = Pendapatan Operasi / Pendapatan

Nisbah Keuntungan Operasi = RM691,043 / RM4,528,621 = 15.3%

 

Nisbah ini menunjukkan berapa banyak keuntungan dihasilkan daripada perniagaan terasnya. Dengan ini pelabur boleh menilai adakah pendapatan sesebuah syarikat datang daripada operasi perniagaan atau dari sumber lain seperti pelaburan.

 

Antara contoh popular adalah syarikat General Motor, syarikat automotif di Amerika Syarikat. Sekitar tahun 80-an dan 90-an, sebahagian besar pendapatan GM datang daripada aktiviti pinjaman, bukan daripada hasil menjual kereta. Disebabkan itu nisbah keuntungan operasinya sangat rendah.

 

Pulangan Atas Aset (ROA)

Pulangan Atas Aset = Keuntungan bersih / Jumlah Aset

Pulangan Atas Aset = RM497,983 / RM6,418,010 = 7.8%

 

Untuk setiap RM10 aset yang dimiliki Serba Dinamik, ia mampu menghasilkan RM0.78. Atau dalam bahasa mudahnya berapa banyak keuntungan yang kita boleh jana berdasarkan aset yang kita ada.

 

Lazimnya, nisbah ROA yang tinggi menunjukkan bahawa syarikat tersebut lebih efisyen menggunakan asetnya untuk menghasilkan keuntungan.

 

Contohnya Ali dan Abu mahu memulakan perniagaan makanan, Ali membeli alat untuk membuka gerai burger dengan modal RM3,000, manakala Abu pula ingin menjual nasi lemak dan mengeluarkan modal RM1,000 untuk membeli khemah dan beberapa alatan lain.

 

Selepas beberapa ketika, jumlah keuntungan Ali adalah RM200 manakala Abu RM100. ROA Ali adalah RM200/RM3,000 = 6.7% manakala ROA Abu adalah RM100/ RM1,000 = 10%. Walaupun keuntungan Ali lebih besar namun Abu lebih efisyen dalam menggunakan asetnya.

 

Pulangan Atas Ekuiti (ROE)

Pulangan Atas Ekuiti =  Keuntungan Bersih / Jumlah Ekuiti

Pulangan Atas Ekuiti = RM497,983 / 2,432,725 = 20.5%

 

ROE juga dikira sebagai Pulangan Atas Aset Bersih, hal ini kerana ekuiti bersamaan aset tolak liabiliti. ROE mengukur prestasi syarikat dalam menjana pendapatan berdasarkan modal daripada pelaburan.

 

Dalam bahasa mudahnya, bagi setiap RM10 yang dilaburkan dalam Serba Dinamik, pelabur akan mendapat pulangan sebanyak RM2.05.

 

 

 

 

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.