fbpx

Covid-19, Rahmat Dalam Bencana: Tabung Kecemasan

0 99

Pandemik Bukan Masa Untuk Panik

 

Dunia dilanda pandemik buat pertama kalinya dalam tempoh satu abad – 100 tahun. Boleh dikatakan, tidak ramai manusia yang pernah melihat krisis pada skala sebesar ini seumur hidup.

 

Advertisement

Wabak ‘Spanish Flu’, atau dikenali juga sebagai pandemik flu 1918, adalah pandemik influenza pembunuh yang luar biasa. Selama hampir 2 tahun sehingga 1920, ia dikatakan memberi kesan kepada sekitar 500 juta manusia – satu per tiga populasi manusia pada ketika itu.

 

100 tahun kemudian, satu lagi virus menyerang dunia. Kali ini, kecanggihan teknologi perubatan dan kesiapsiagaan dari pengalaman lepas membantu negara-negara dunia untuk berhadapan dengan pandemik ini dengan lebih baik.

 

Tetapi, sehingga vaksin akhirnya berjaya dicipta, cara terbaik untuk melawan perang ini hanyalah melalui penjarakan sosial (social distancing) dan kawalan pergerakan (lockdown).

 

Negara-negara di seluruh dunia yang terkesan dengan wabak ini terpaksa mengambil keputusan untuk menghadkan dan mengawal pergerakan masyarakat dalam usaha untuk mengurangkan penyebaran virus ini dalam kalangan masyarakat. Walaupun usaha ini berjaya untuk membendung masalah kesihatan daripada terus menular, ia membawa kesan buruk yang lain pula kepada negara dan rakyat – ekonomi dan kewangan.

 

Ramai yang mula terkesan dengan pandemic ini dari sudut ekonomi dan kewangan. Perniagaan tidak lagi mampu untuk berjalan seperti biasa, dan orang ramai mula mula kehilangan pekerjaan akibat daripadanya.

 

Dalam situasi terbaik, keadaan bakal pulih dalam enam bulan yang akan datang. Sebaliknya, ia mungkin mengambil masa sekitar 1-2 tahun untuk keadaan pulih semula kalau situasi tidak memihak kepada kita.

 

Sejujurnya, tidak banyak yang kitab oleh lakukan untuk mengubah keadaan yang telah berlaku. Jadi, apa yang terbaik adalah untuk kita menarik nafas dan muhasabah dengan segala ketentuan.

 

Memilih untuk menjadi panik tidak akan membawa kita ke mana mana. Sebaliknya, kita seharusnya buka mata kita seluas-luasnya dan melihat musibah yang berlaku ini dari pelbagai perspektif untuk kita kaji dan belajar. Dalam setiap kegelapan, ada cahayanya. Sambil menanti pelangi untuk tiba selepas ribut badai melanda, kenapa tidak kita mempelajari ilmu kewangan untuk masa depan yang lebih baik?

 

Tabung Kecemasan

Kita selalu mendengar tentang ungkapan ‘tabung kecemasan’ ini, tetapi apa yang kita tahu mengenainya? Kita menabung untuk apa, dan bila waktu yang sesuai untuk kita guna tabung itu? Dan persoalan yang lebih besar, bagaimana kita mendefinisikan sesuatu kecemasan itu.

 

Sebenarnya, kecemasan adalah sesuatu yang sering diperbahaskan. Kalau kereta rosak, adakah ia dikira sebagai kecemasan dan kita boleh guna duit tabung kecemasan? Ada jualan penghabisan sesuatu barang yang memang kita nak sangat beli, adakah ia dikira sebagai detik cemas? Bagaimana pulak dengan berhenti kerja? Berhenti kerja mestilah boleh guna duit tabung kecemasan kan?

 

Tiada masa yang lebih baik untuk belajar tentang kecemasan berbanding semasa krisis. Tabung kecemasan, atau simpanan kecemasan, adalah simpanan untuk…kecemasan. Mudah bukan?

 

Ini kerana, perbelanjaan signifikan mungkin akan berlaku apabila sesuatu yang di luar jangka berlaku. Sebuah tabung atau dana adalah perlu untuk memastikan wang yang secukupnya tersedia apabila musibah atau bencana berlaku.

 

Berapa banyak pula nak disimpan untuk dana kecemasan ini? Kalau mengikut ‘rule of thumb’ atau peraturan ibu jarinya, simpanan sehingga 6-12 bulan pendapatan adalah yang terbaik. Untuk permulaan, boleh letakkan sasaran untuk simpan sekurang-kurangnya 3-6 bulan gaji kita dahulu.

 

Ini semua adalah definisi buku teks. Tetapi apabila kita bercakap tentang realiti, kita mungkin akan mendefinisikan kecemasan secara berbeza mengikut kiraan masing-masing.

 

Walaupun agak kelakar kedengarannya untuk meletakkan jualan penghabisan stok atau ‘sale’ sebagai kecemasan, realitinya ini yang berlaku. Oleh itu, meletakkan definisi yang melayakkan sesuatu situasi yang berlaku untuk dikira sebagai satu kecemasan adalah amat penting sebelum kita melangkah ke perkara yang lebih lanjut.

 

Sebagai permulaan, jualan atau ‘sale’ tadi tidak sama sekali boleh dikira sebagai satu kecemasan.

 

Walaupun kerosakan kereta boleh dikira sebagai sebuah kecemasan, perancangan kewangan yang lebih tersusun boleh diambil untuk mengasingkan ‘kecemasan kecil’ seperti ini daripada kecemasan sebenar.

 

Tabung ‘kecemasan kecil’ sekitar RM1,000 adalah permulaan yang baik untuk digunakan. Sekiranya kerosakan adalah melebihi RM1,000, kebiasaannya ia akan dilindungi oleh insurans kenderaan kita – jadi pastikan kenderaan kita diinsuranskan sebaiknya. Insurans juga adalah satu cabang pengurusan risiko kecemasan.

 

Ia membantu kita untuk membaiki kenderaan tanpa kita perlu memecahkan tabung kecemasan kita. Sambil menyelam, minum air. Yang dikendong dapat, yang dikejar pun tak berciciran.

 

Berhenti kerja atau diberhentikan kerja adalah satu lagi ‘kecemasan’ yang perlu kita definisikan sebaiknya. Berhenti kerja boleh jadi pilihan yang ada di tangan kita, manakala diberhentikan kerja adalah satu kejadian yang tak diduga.

 

Tabung kecemasan 6-12 gaji atau pendapatan boleh membantu kita untuk teruskan kehidupan sehingga satu tahun lamanya jika kita tidak mampu untuk bekerja. Walaubagaimanapun, ada beberapa sebab yang membolehkan kita untuk berada dalam pengangguran.

 

Pemberhentian kerja yang tidak diduga akibat faktor yang tidak dapat dielakkan adalah satu contoh terbaik bagaimana tabung kecemasan boleh membantu kita untuk meneruskan kehidupan.

 

Berhenti kerja sebaliknya datang dengan beberapa perspektif. Sekiranya kita terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ibu bapa kita, maka ia juga adalah alasan yang baik untuk kita pecahkan tabung kecemasan kita tadi.

 

Jika kita berhenti kerja hanya kerana jiwa tak sesuai atau kita tak berkenan dengan boss, maka ada pertikaian samada ia boleh dikira sebagai kecemasan atau sebaliknya. Mungkin, krisis pada skala sebesar Covid-19 ini boleh mengajar kita ap aitu erti kecemasan yang sebenar.

 

Kesimpulannya, walaupun duit adalah tetap duit kita (selepas ditolak zakat dan cukai) dan terpulanglah kepada kita bagaimana untuk menggunakannya, pandemik ini adalah vaksin terbaik untuk kita belajar tentang diri kita sendiri.

 

Untuk kita belajar menilai apa yang dikira sebagai kecemasan dan apa yang tidak. Untuk kita belajar menghadapi situasi yang berlaku dalam hidup dengan lebih adil, secara kewangannya.

 

Covid-19 adalah satu rahmat untuk kita semua, jika kita menerimanya sewajarnya.

 

Azraei Muhamad adalah penulis Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima dan pengasas segmen #RingIt. Beliau membantu anak muda untuk mengambil tanggungjawab terhadapan kewangan peribadi dan menguruskannya dengan baik.

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.