fbpx

Cryptocurrencies: Mata Wang Digital

0 546

Digitalisasi adalah salah satu kata kunci utama buat peradaban dunia, jika umat manusia zaman ini mahu menuju ke era modenisasi total; yang mana berdasarkan realiti semasa, boleh dikatakan bahawa generasi kita sudah pun berada di atas laluan yang tepat.

Lahirnya matawang digital atau nama lainnya; matawang kripto (cryptocurrencies) adalah manifestasi kepada era pendigitalan.

Advertisement

Matawang zaman moden ini turut dianggap sebagai sebuah alternatif baharu yang mampu bersaing dengan matawang konvensional berpusat (centralized), seliaan sistem monetari dan institusi-institusi kewangan di sesebuah negara.

Anda juga boleh baca: https://theoutlook.asia/6-perkara-menarik-yang-anda-tidak-tahu-mengenai-bitcoin/

Bitcoin sebagai contoh, mula memasuki pasaran global pada awal tahun 2009; sejurus selepas berlakunya krisis kewangan antarabangsa yang berpunca daripada ‘kebobrokan’ sistem kewangan negara ekonomi terbesar dunia; Amerika Syarikat pada tahun 2007 hingga 2008.

Sebagai info, Satoshi Nakamoto adalah nama kepada pengasas Bitcoin. Pun begitu, identiti sebenar beliau masih tidak dapat dikenalpasti sehingga ke hari ini, sekali gus menjadikan Bitcoin sedikit unik berbanding jenama matawang kripto lain atas faktor ke-misteri-an Satoshi.

Mungkin anda berminat nak kenal pengasas Bitcoin: https://theoutlook.asia/misteri-siapa-satoshi-nakamoto/

Berbeza dengan matawang konvensional seperti Ringgit, Yen, Dollar, Pound Sterling, Euro, Rupiah dan Yuan, Bitcoin atau mana-mana matawang kripto lain adalah ‘decentralized’. Erti kata lain, matawang ini tidak terikat dengan mana-mana peraturan kewangan, setakat hari ini.

100 peratus transaksi Bitcoin dibuat secara atas talian, iaitu menerusi sebuah sistem perakaunan asas yang digelar sebagai lejar terbuka (open ledger). Tidak ada satu pun entiti rasmi yang menguruskan Bitcoin, apatah lagi hendak mencari ibu pejabat mereka di mana.

Cara pemerolehan Bitcoin adalah agak rumit. Secara asasnya, anda perlu mendaftar akaun ‘cryptocurrency exchange’ terlebih dahulu. Selepas itu, akaun tersebut perlu dihubungkan dengan mana-mana akaun bank atau kad debit atau kad kredit bagi membuat pembayaran pembelian Bitcoin.

Kadar pembayaran akan dikenakan mengikut tempahan Bitcoin yang dibuat. Bitcoin yang telah dibeli kemudiannya akan dimasukkan ke dalam ‘digital wallet’, yang dilindungi dengan kod serta kata laluan (password) yang anda letakkan. Setelah itu, transaksi Bitcoin boleh dijalankan.

Nama lain bagi transaksi Bitcoin ialah ‘block’ dan pengistilahan ‘blockchain’ akan terpakai sekiranya kesemua transaksi Bitcoin itu dihimpunkan secara bersama.

Dalam kes pembelian sesuatu barangan menggunakan Bitcoin, sistem ini memerlukan beberapa maklumat penting seperti ‘public key’ atau ‘private key’ milik pembeli dan penjual. Kedua-duanya berperanan sebagai identiti digital, namun kekal ‘anonymous’.

Sebarang bentuk transaksi (block) akan ‘diuruskan’ sepenuhnya oleh pihak ketiga, sama ada pihak itu merupakan seorang individu tunggal ataupun bergerak secara berkumpulan. Golongan ini lebih dikenali sebagai Pelombong Bitcoin atau bahasa Inggerisnya; ‘Bitcoin Miners’.

‘Miners’ menjalankan kerja-kerja penyahsulitan (decryption) Bitcoin dalam bentuk formula matematik kompleks. Jika sesuatu proses itu berjaya, mereka akan mengesahkan ‘block’ tersebut untuk dijadikan sebagai rekod umum yang boleh diakses oleh mana-mana pemilik Bitcoin.

Mereka kemudiannya akan diberikan imbuhan berbentuk Bitcoin. Imbuhan ini turut digelar sebagai; ‘Block Reward’ dan akan diberi mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh sistem semasa.

Pada tahun 2009 misalnya, setiap ‘Miners’ yang mampu menyelesaikan ‘block’ telah diberikan imbuhan sebanyak 50 unit Bitcoin.

Angka tersebut dikurangkan sebanyak 50 peratus untuk setiap 210 000 unit Bitcoin baharu yang berjaya dijana oleh ‘Miners’ dalam tempoh masa tertentu; iaitu 25 Bitcoin bermula pada tahun 2012, diikuti 12.5 Bitcoin (2016) dan 6.25 Bitcoin (2020).

Penurunan itu (Bitcoin Halves) dibuat seiring dengan kehendak model asas ekonomi; ‘supply and demand’, yang mana pengeluaran Bitcoin pada hari ini agak terhad berbanding permintaannya yang amat tinggi. Ini menjadikan harga Bitcoin melambung.

Dalam pada itu, bukan mudah untuk menjadi ‘Miners’ kerana setiap proses ‘Bitcoin Mining’ itu memerlukan kelengkapan berbentuk ‘super-computer’ yang dilengkapi dengan teknologi ‘Application Specific Integrated Circuits’ (ASICs).

ASICs menggunapakai tenaga elektrik pada kadar yang amat tinggi, di samping kos pemerolehan serta penyelenggaraannya yang agak mahal.

Antara jenama ‘Bitcoin Mining Farm’ terkemuka di dunia pada hari ini ialah Antpool, F2Pool, BTCC, Eligius, Genesis Mining dan Bitfury.

Bagi mengelakkan berlakunya fenomena ‘inflasi’ persis sistem matawang konvensional yang boleh dicetak mengikut kehendak pentadbir, Satoshi telah menetapkan had pengeluaran Bitcoin pada angka 21 juta unit sahaja. Ia tidak boleh lebih daripada jumlah itu.

Menurut rekod terkini, lebih daripada 18.7 juta Bitcoin telah berada di pasaran global. Oleh hal yang demikian, hanya tinggal kira-kira 2.26 juta Bitcoin sahaja lagi yang boleh dijana oleh ‘Miners’ menerusi setiap ‘block’ baharu.

Untuk rekod, proses penyahsulitan sesuatu ‘block’ dilaporkan mengambil masa lebih kurang 10 minit. Kira-kira 144 ‘block’ baharu direkod pada setiap hari atau 6 ‘block’ dalam masa sejam. Daripada jumlah itu, dianggarkan lebih 900 unit Bitcoin baru akan dijana dalam sehari untuk tempoh masa empat tahun; 2020 hingga 2024.

Formula mudahnya; 144 ‘Block’ didarabkan dengan 6.25 ‘Block Reward’. [144×6.25=900].

Berdasarkan kiraan semasa, kitaran ‘Bitcoin Halves’ akan berakhir pada tahun 2140. Jika sekarang ‘Block Reward’ berjumlah 6.25 Bitcoin untuk setiap ‘block’, angka tersebut akan berkurang menjadi 3.125 Bitcoin memasuki tahun 2024. Menjelang tahun 2140 kelak, ‘Block Reward’ akan mengecil sehingga 0.0000000116 Bitcoin sahaja.

Jom kenal siapa jutawan bitcoin pertama: https://theoutlook.asia/kembar-winklevoss-antara-billionaire-bitcoin-yang-pertama/

Jika anda telah membeli 10 unit Bitcoin dengan harga RM1392.52 seunit pada 20 November 2015, hari ini anda adalah seorang jutawan dengan nilaian keseluruhan berjumlah melebihi RM1.5 Juta. Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10530 peratus (%).

Walau bagaimanapun, rata-rata penganalisis kewangan global masih berasa skeptikal dengan Bitcoin. Ada juga sesetengah pihak yang mengatakan bahawa matawang kripto ini ‘halusinasi’ semata-mata.

Hal ini dikatakan demikian kerana, nilai Bitcoin tidak disandarkan kepada mana-mana komoditi berharga seperti Emas dan lain-lain, melainkan hanya ‘algorithm’ komputer dengan kepercayaan dan keyakinan para pelabur.

Selain Bitcoin, terdapat beberapa jenama matawang kripto lain seperti Dogecoin, Ethereum, Theter, Binance Coin, Cardano, XRP dan pelbagai lagi.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.