fbpx

Cuba Buka Majoriti Sektor Ekonominya

0 118

Cuba baru-baru ini mengumumkan langkah membuka hampir semua sektor ekonominya kepada pihak swasta.

Langkah ini dilihat signifikan bagi negara rantau Carribean yang berfahaman komunis itu.

Advertisement

Dalam pengumuman tersebut, Menteri Buruh Marta Elena Feito berkata senarai aktiviti ekonomi yang boleh disertai pihak swasta bertambah daripada 127 kepada 2,000. Bakinya akan terus ditadbir oleh Havana.

Cuba
Kredit: Time Out

Keputusan diambil Cuba dilihat satu langkah menangani isu inflasi yang meningkat selepas penurunan nilai mata wang, pertama dilakukan selepas revolusi pada 1959.

Havana turut berkira-kira menamatkan subsidi kepada beberapa buah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun ia berpotensi mengakibatkan sesetengah daripadanya jatuh muflis.

Bagi penganalisis politik, langkah terbaru yang diatur pentadbiran Presiden Miguel Diaz-Canel sememangnya berisiko.

Langkah menurunkan nilai mata wang misalnya mengakibatkan kenaikan harga utiliti, barangan dan perkhidmatan walaupun ia turut membawa kepada kenaikan gaji dan pencen.

Seperti negara-negara lain, Cuba juga turut terkesan akibat pandemik Covid-19 terutama dalam sektor pelancongan. Keadaan ini tidak dibantu oleh langkah mengenakan sekatan ekonomi oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 2017.

Pada tahun lepas, Havana menyaksikan ekonominya merosot sebanyak 11% dan turut berdepan krisis kekurangan barangan asas.

Ahli ekonomi Cuba Ricardo Torres menyifatkan langkah pentadbiran Diaz-Canel sebagai satu langkah yang bijak.

Hal ini demikian kerana dengan membuka kebanyakan sektor ekonominya kepada pihak swasta, ia dapat menjana peluang pekerjaan baru dan mengawal inflasi.

Ia turut memberi kebebasan kepada kerajaan menstruktur semula GLC dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Selain itu, inisiatif terbaru Havana dilihat sebagai insentif bagi kerajaan dan AS kini di bawah Presiden Joe Biden untuk kembali ke meja rundingan serta menghentikan beberapa sekatan yang dikenakan semasa pentadbiran Trump.

Bagi Presiden Majlis Ekonomi dan Perdagangan Cuba-AS, John Kavulich, penstrukturan semula ekonomi dilihat peluang terbaik bagi kedua-dua negara kembali berdialog.

Sejak kejatuhan Tirai Besi, Cuba dilihat bergelut untuk membenarkan pihak swasta bergiat dalam sektor ekonomi.

Jika diberi kebenaran sekalipun, pemain-pemain harus mematuhi pelbagai peraturan dan kawalselia yang dikenakan kerajaan.

Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini, pihak swasta diberi akses kepada pasaran sepenuhnya dan dibenarkan terlibat dalam aktiviti import dan eksport.

Begitupun untuk perubahan terbaru ini, mereka harus menggunakan khidmat GLC sebelum mengadakan kerjasama dengan firma-firma asing.

Mereka juga berharap undang-undang yang menjanjikan status mereka sebagai syarikat dan diberi hak setara dengan pemain lain diluluskan oleh Havana. Bagaimanapun, masih belum ada tanda ia akan diluluskan.

Sektor bukan kerajaan (nama lain bagi pihak swasta) terdiri daripada koperasi dan syarikat kecil, pekerja, artisan, pemandu teksi dan peniaga.

Dalam bidang pertanian pula, terdapat ratusan ribu ladang kecil tetapi petani harus mendapatkan input daripada kerajaan dan menjual hasil tanaman mereka kepada entiti yang sama.

Mengikut data Kementerian Buruh Cuba, terdapat 600,000 orang dalam sektor swasta sekaligus membentuk 13% daripada tenaga kerja Cuba. 40% daripadanya bergantung kepada sektor pelancongan atau terlibat dalam pengangkutan awam.

Baca juga Bagaimana Bahrain Membina Ekonominya?

Source BBC. (2021). Cuba opens up its economy to private businesses. Frank, M. (2021). Cuba lifts ban on most private business. Financial Times.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.