fbpx

Di Masa Depan Nanti, Peguam Anda Mungkin Robot!

0 108

Dalam era teknologi yang semakin canggih, kecerdasan buatan (AI) semakin sinonim dalam kehidupan seharian. Ia digunakan dalam pelbagai jenis aplikasi dari menghasilkan pelbagai calon vaksin Covid-19 hinggalah kenderaan pemanduan kendiri. Tetapi pernahkah anda terfikir kemungkinan AI juga boleh menjadi peguam di mahkamah?

Bagi Joshua Browder menerusi aplikasinya DoNotPay, aplikasi ini boleh dianggap sebagai peguam robot pertama di dunia. Secara ringkas, aplikasi ini membantu pengguna membuat draf surat-surat perundangan. Caranya ialah memberitahu chatbot tentang permasalahan yang dihadapi. Dari situ, ia akan mencadangkan apa bentuk bahasa perundangan yang patut digunakan pada masalah yang dinyatakan.

Advertisement

Rajah 1: Joshua Browder

Browder dan syarikatnya kini berpangkalan di Silicon Valley, California. Tetapi asal-usul sebenar firma itu bermula di London pada 2015 semasa beliau baru barusia 18 tahun. Browder mengakui semasa zaman remajanya, beliau merupakan seorang pemandu yang teruk sehingga kerap disaman.

Tetapi hasil penyelidikan dan pencarian maklumat yang banyak menyebabkan banyak saman yang diterima dapat diselesaikan. Browder melihat daripada menyalin dokumen yang sama setiap kali perbicaraan, lebih baik satu perisian dibangunkan untuk ini. Jadi, apabila beliau menghasilkan DoNotPay pada 2015, ia bertujuan untuk mengagumkan ahli keluarga dan rakan yang mengenali.

Sejak itu, aplikasi berkenaan mula digunakan secara meluas di Britain dan Amerika Syarikat. Kebanyakan pengguna menggunakannya untuk permohonan seperti permohonan visa pelancong, surat aduan kepada perniagaan atau pihak berkuasa dan membatalkan keahlian gimnasium. Browder menambah sejak pandemik Covid-19 bermula, permohonan pembayaran semula dan pembatalan keahlian gimnasium merupakan permohonan terbanyak yang diuruskan DoNotPay.

Ketika ini, DoNotPay mempunyai 150,000 pelanggan yang melanggan aplikasi berkenaan. Walaupun aplikasi ini dikritik kerana menawarkan nasihat perundangan yang tidak memuaskan, ia masih mendapat pengiktirafan dalam kalangan komuniti undang-undang. Pada tahun lepas, DoNotPay diberi anugerah oleh Persatuan Peguam Amerika Syarikat kerana meningkatkan akses perundangan kepada pengguna.

Mungkin ada menganggap dengan kewujudan AI, ia akan merampas prospek kerja peguam. Tetapi bagi Sally Hobson, seorang peguam dari firma perundangan The 36 Group melihat ia amat membantu terutama bila mengendalikan kes-kes yang rumit.

Baru-baru ini, beliau diamanahkan oleh firma untuk mengendalikan perbicaraan kes bunuh yang rumit. Kebiasaannya, dengan dokumen yang banyak yang dihantar pasukan pendakwa atau dalam kes ini 10,000 helai dokumen, firma akan mengupah seseorang untuk menyemak dan menganalisis dokumen yang diterima.

Tetapi dengan bantuan AI, proses tersebut dapat dijimatkan empat minggu lebih awal berbanding kebiasaan. Selain itu, firma juga dapat menjimatkan wang perbelanjaan sebanyak £50,000. Bagi CEO firma yang menghasilkan pembantu AI ini Eleanor Weaver, pembantu guaman AI kini dianggap satu norma dan banyak membantu peguam seperti Hobson.

Rajah 2: Pembantu guaman AI kini merupakan satu norma berbanding dianggap sebagai keanehan satu ketika dahulu.

Firma Luminance yang diwakilinya mendedahkan lebih 300 firma undang-undang di 55 negara menggunakan AI buatan mereka. Malah, ia boleh memahami 80 jenis bahasa yang digunakan oleh firma-firma yang dinyatakan.

AI bukan sekadar membantu peguam meneliti dokumen kes. Ia boleh juga digunakan untuk membantu peguam menyediakan dan menstruktur kes mereka serta mencari sebarang duluan perundangan yang relevan dengan kes. AI sebegini sudah dibangunkan oleh firma Israel Litigate dan digunakan oleh firma undang-undang UK Taylor Wessing.

Laurence Lieberman yang mengetuai usaha program pendigitalan kes pertikaian undang-undang memberitahu ia berfungsi dengan cara peguam memuatnaik ringkasan kes dan rayuan dalam program. Dari situ, ia akan mengenalpasti pihak-pihak yang terlibat, menghubungkan kaitan pihak yang terlibat, membina kronologi peristiwa dan penerangan tentang apa yang berlaku mengikut tarikh yang dinyatakan dalam fakta kes.

Sementara sistem perisian TAX-I yang digunakan oleh Deloitte Legal pula boleh menganalisis data kes mahkamah bagi kes-kes rayuan cukai. Deloitte dalam satu kenyataan memberitahu ia dapat meramal 70% peluang kejayaan sesebuah rayuan bila difailkan di mahkamah. Menurut Bruce Braude, ketua pegawai teknologi Deloitte Legal, ramalan peratusan peluang kejayaan yang dibuat TAX-I membantu para peguam memikirkan langkah seterusnya di mahkamah.

Dengan semua kemudahan yang ditawarkan, adakah ini bermakna AI juga boleh menjadi peguam atau hakim di mahkamah? Bagi Weaver, ia masih lagi mustahil untuk perkara itu dicapai. Tetapi bagi Profesor Richard Susskind yang mengetuai kumpulan penasihat Ketua Hakim England untuk AI, itu tidak mustahil berlaku.

Rajah 3: Profesor Richard Susskind

Ini kerana di negara-negara yang mempunyai lambakan kes tertangguh seperti Brazil, mustahil ia dapat diselesaikan dalam tempoh masa singkat. Di Brazil saja, dilaporkan terdapat lambakan 100 juta kes perbicaraan yang menanti untuk diselesaikan.

Prof Susskind melihat dengan kehadiran AI, apa yang dianggap mustahil mengikut kudrat manusia dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang cepat dan dengan ketepatan hasil melebihi 95%. Dan ini sesuatu yang harus difikirkan lebih-lebih lagi sekiranya bilangan tunggakan kes semakin bertambah di negara-negara berkenaan.

RUJUKAN:

Belton, Padraig. (2021). Would you let a robot lawyer defend you?. BBC News.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.