fbpx

ETS Ke Johor Bakal Beri Lonjakan Ekonomi?

0 532

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkongsi pengalamannya menaiki perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) KTMB dari Kuala Lumpur ke Kampar.

 

Menerusi perkongsiannya di Instagram, Datuk Seri Ka Siong menulis, “ETS yang dinaiki saya bertolak dari KL Sentral pada 9.20 pagi dan tiba di Stesen Kampar pada 11.16, tiga minit lebih awal daripada jangkaan waktu ketibaan.

 

Advertisement

“Perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam dilihat amat selesa dan kami tiba di destinasi tepat pada masanya. Kementerian Pengangkutan dan KTMB berazam untuk mengembangkan operasi ETS ke wilayah selatan Semenanjung Malaysia selain menambahbaik kualiti perkhidmatan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara.”

Laluan ETS ketika ini merangkumi Kuala Lumpur dan laluan ke sebelah utara Semenanjung Malaysia termasuk Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.

 

Sebenarnya, rancangan Datuk Seri Ka Siong boleh direalisasikan apabila projek Landasan Berganda Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) dilihat berada pada landasan tepat untuk siap pada Oktober 2022.

 

Apabila EDTP siap, ia bukan saja membolehkan lebih banyak keretapi melalui landasan berkenaan. Pada masa sama, ia membenarkan KTMB menukar keretapi berkuasa diesel kepada keretapi berkuasa elektrik.

 

EDTP juga membolehkan landasan di sebelah selatan tanah air bersambung dengan landasan sedia ada sehingga ke Padang Besar, Perlis.

 

EDTP bukan sekadar menaiktaraf kemudahan landasan tetapi juga menaiktaraf 12 stesen sedia ada di sepanjang landasan berkenaan.

 

Malah, projek ini turut mendedahkan pembinaan sebuah stesen keretapi baru berhampiran bandar Senai bagi memenuhi keperluan penduduk dan pembangunan industri di kawasan berkenaan.

 

Jika ETS direalisasikan di sebelah selatan Semenanjung Malaysia, ia dapat mengurangkan perjalanan yang signifikan. Jika anda mengambil keretapi dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru ketika ini, perjalanan tersebut mengambil masa lapan jam. Namun dengan ETS, perjalanan tersebut boleh dicapai dalam tempoh empat jam.

 

Kewujudan ETS di koridor ini juga dilihat satu alternatif terbaik kepada pengguna yang tidak mahu menaiki bas ekspres. Bagi yang biasa pulang ke kampung dengan bas, pasti maklum perjalanan memakan masa 4 ½ jam walaupun tanpa kesesakan trafik.

 

EDTP Gemas-JB juga dilihat boleh merangsang pembangunan ekonomi Johor terutama di bahagian tengah negeri berkenaan. Ini kerana bila ia beroperasi sepenuhnya, penduduk boleh berulang-alik ke JB setiap hari pada hari bekerja.

 

Jika KTMB menambah kekerapan operasi seperti yang dibuatnya untuk perkhidmatan komuter di Lembah Klang, ia sudah pasti memberi satu pilihan menarik kepada penduduk dan pelancong termasuk dari Singapura.

 

EDTP Gemas-JB dijangka meningkatkan kapasiti pengangkutan kargo secara signifikan terutama membabitkan kargo berskala besar. Hal ini merupakan berita baik kerana boleh memudahkan pengangkutan kargo berskala besar antara dua pelabuhan utama negara, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

 

Bagi pemain industri pula, projek EDTP ini turut membolehkan mereka mencari kawasan-kawasan baru untuk dibangunkan sebagai loji atau kilang baru mereka. Hal ini memandangkan tanah di kawasan sekitar Johor Bahru semakin mahal.

 

Justeru dengan mensasarkan kawasan sepanjang laluan seperti Kulai, Segamat dan Kluang, ini membolehkan mereka berpindah lokasi dan merangsang peluang pekerjaan baru kepada penduduk tempatan.

 

Penambahbaikan kapasiti keretapi dilihat dapat merangsang semula pembangunan Pelabuhan Darat Segamat (SIP). Dengan jarak sama seperti jarak Pelabuhan Klang-Pelabuhan Tanjung Pelepas, SIP bagaimanapun dihentikan operasi pada tahun 2006 berikutan keupayaan pengangkutan kargo yang terhad dari rangkaian satu landasan.

 

Pada tahun 2015, kerajaan mengumumkan rancangan menghidupkan kembali pelabuhan kering tersebut. Dengan Segamat kini menjadi sebahagian daripada Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada tahun 2018 dan SIP dihidupkan semula menerusi EDTP, ia boleh saja menjadi hub pengangkutan ke Pantai Timur dan selatan Pahang.

 

Bagaimanapun, wujud cabaran membabitkan EDTP dan ETS yang perlu diambil perhatian kerajaan. Pertama, kenderaan persendirian masih menjadi pilihan warga Malaysia untuk pergi ke mana-mana dan pengangkutan awam masih dipandang sepi orang ramai.

 

Tanpa kelibat pengangkutan awam sebagai penghubung kilometer terakhir penumpang, agak sukar untuk potensi sesebuah hab pengangkutan dicapai.

 

Perkara ini cuba ditangani kerajaan negeri menerusi pengenalan Bas Muafakat Johor yang menghubungkan hab pengangkutan dengan kawasan-kawasan perumahan.

 

Bagaimanapun, kekerapan operasi dan liputan terhad dilihat sesuatu yang mengecewakan. Jika kerajaan negeri mahu merealisasikan potensi EDTP, maka perkara ini harus ditangani segera termasuk kekerapan operasi seiring dengan operasi keretapi.

 

Selain itu, faktor kos tiket ETS harus diambil kira. Bagi ramai penduduk yang pulang ke kampung, bas ekspres menjadi pilihan kerana lebih murah berbanding menaiki keretapi.

 

Jika ETS dilaksanakan sekalipun, kosnya dijangka dua kali ganda berbanding tiket bas KL-JB. Justeru, KTMB harus menawarkan diskaun untuk perjalanan bukan waktu puncak bagi menambah bilangan penumpang.

 

Namun paling penting ialah isu projek Trek Berganda Elektrik Lembah Klang (KVDT). Ketika ini, kapasiti pengangkutan kargo ke Pelabuhan Klang terkesan kerana keretapi hanya menggunakan satu landasan berganda dan terpaksa mematuhi had laju ditetapkan semasa projek penaiktarafan berjalan.

 

KVDT dijangka beroperasi pada tahun 2026, satu tempoh lama untuk merealisasikan potensi EDTP sebagai hab pengangkutan kargo utama negara.

 

Maka, kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri harus melihat apa perkara yang boleh ditambahbaik sebelum merealisasikan ETS dan meningkatkan potensi EDTP. Dengan situasi Covid-19, projek sebegini dilihat boleh menambah lagi kemakmuran ekonomi negeri Johor dan secara tidak langsung, meningkatkan lagi kekuatan ekonomi negara.

Source E. Hutchinson, Francis dan Zhang, Kevin. (2020). Benefits and challenges of the Gemas-Johor Baru Railway Electrified Double-Tracking Project. The Star. The Star. (2020). ETS to expand to the south of Peninsular Malaysia.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.