
Fenomena Kerajaan China Melenyapkan Selebriti-selebriti China
Selepas memberi tekanan kepada sektor teknologinya, China kini mengalihkan tumpuan kepada budaya peminat selebriti pula. Bila ditanya alasan untuk berbuat demikian, pihak kerajaan melihat budaya sebegini semakin lama semakin teruk dan perlu ditangani dengan segera. Dua nama yang mula mendapat kesan akibat langkah ini ialah selebriti Zhao Wei/Vicki Zhao dan pelakon Zheng Shuang.
Pada Jumaat lepas, Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) mengeluarkan dua notis pemberitahuan. Pertama, ia boleh mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan peminat selebriti yang menyebarkan maklumat merbahaya di ruang siber. Tindakan ini termasuk menutup saluran-saluran diskusi dalam talian milik kumpulan berkenaan.
Advertisement
Kedua, CAC mengumumkan rancangan draf undang-undang pengawalan algoritma cadangan internet. China mahukan firma-firma teknologi menghentikan algoritma yang menggalakkan pengguna berbelanja besar atau berbelanja dalam cara yang boleh mencetuskan kekecohan di khalayak. Firma-firma ini juga harus menjadikan proses mencipta akaun palsu bertambah sukar dan memudahkan pengguna untuk menutup sistem cadangan mereka.
Algoritma-algoritma cadangan ini biasanya digunakan oleh saluran beli-belah dari rumah, laman sesawang berita, laman media sosial dan platform penyiaran digital. Draf ini akan dibincangkan sehingga pertengahan September ini.
Jadi, apa kena-mengena budaya peminat selebriti dengan kempen sebegini? Bagi kerajaan China, budaya peminat selebriti merupakan sebahagian daripada pengaruh sektor teknologi yang perlu dikawal. Mereka melihat sektor ini tidak teragak-agak melanggar privasi pengguna dan menggalakkan budaya buruk dalam masyarakat termasuk individualisme.
Bukan sedikit selebriti yang terkena akibat usaha ini. Ikon pop China dan bekas anggota kumpulan EXO, Kris Wu ditahan selepas lebih 30 orang wanita mendakwa menjadi mangsa rogolnya. Walaupun Wu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mereka, ini mengakibatkan banyak rancangan yang menampilkannya digugurkan dan dipadam terus dari internet. Selain itu, banyak jenama antarabangsa dan tempatan memilih menggugurkannya sebagai duta jenama mereka.
Pelakon Zhang Zhehan berdepan nasib sama selepas gambar beliau bergambar di Kuil Yasukuni dan menghadiri majlis perkahwinan di Kuil Nogi mencetuskan kemarahan warga China. Kedua-dua kuil dianggap kontroversi kerana ia merupakan tempat memberi penghormatan kepada pegawai-pegawai tentera dan penjenayah-penjenayah perang Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Walaupun sudah memohon maaf, namanya telah disenaraihitam oleh Persatuan Pengamal Seni China.
Dan terbaru, pelakon dan jutawan Zhao Wei pula berdepan nasib serupa. Selain semua filem dan drama lakonannya yang disiarkan di platform-platform digital digugurkan dari internet. Malah, drama yang pernah mengangkat namanya pada tahun 90-an iaitu My Fair Princess menyaksikan namanya dipadam daripada senarai pelakon terlibat.
Tidak diketahui mengapa Wei disasarkan sebegitu rupa. Tetapi ada berpandangan ia ada kaitan dengan siasatan ke atas seorang pegawai kerajaan Hangzhou bernama Zhou Jiangyong. Jiangyong dikatakan mempunyai hubungan baik dengan pengasas Alibaba, Jack Ma dengan Hangzhou merupakan ibu pejabat firma e-dagang China yang terkenal itu. Ma sendiri dikenakan tekanan oleh Beijing selepas sebelum itu mengkritik sistem kawal selia kewangan negara itu.
Nama Zheng Shuang mungkin asing bagi penonton di luar China. Tetapi beliau memegang rekod sebagai pelakon wanita yang menerima bayaran gaji termahal di dunia. Shuang menerima bayaran sebanyak RMB160 juta (RM103.4 juta) untuk menyertai produksi drama A Chinese Ghost Story untuk tempoh penggambaran selama 77 hari.
Bagaimanapun, namanya mula tercalar selepas terlibat dalam kontroversi anak-anaknya yang dilahirkan dengan cara ibu tumpang yang tercetus pada awal tahun ini. Kini, Shuang berdepan denda sebanyak RMB299 juta (RM193.4 juta) kerana didapati bersalah mempunyai pendapatan melampau dan mengelak membayar cukai. Kisah beliau mengingatkan ramai pemerhati industri tentang nasib sama yang menimpa pelakon terkenal Fan Bingbing.
Bingbing yang pernah membintangi filem X-Men: Days of Future Past dan I Am Not Madame Bovary dikenakan denda lebih AS$100 juta (RM419.5 juta) pada 2017 selepas didapati bersalah mengelak membayar cukai. Bagi pemerhati industri, dengan memberi hukuman sebegitu kepada beliau, ia merupakan ingatan kepada industri untuk tidak melakukan perkara serupa.
Susulan itu, bukan sedikit syarikat yang berusaha menambahbaik soal pembayaran cukai mereka, merundingkan semula kontrak dengan pelakon dan krew serta mengelak daripada menggunakan wilayah yang menawarkan pengecualian cukai. Ini bukan kali pertama China melakukan perkara ini kepada industri hiburannya.
Sebelum ini, China turut menggerakkan kempen mengehadkan bayaran tinggi untuk pelakon-pelakon yang membintangi drama televisyen. Bagi memastikan mesej mereka difahami oleh produksi-produksi, pihak berkuasa mengenakan hukuman ke atas pelakon-pelakon yang pernah melanggan pelacur atau ada rekod dadah. Untuk pelakon yang lain, mereka diugut dengan penggantungan seumur hidup sekiranya enggan menyokong inisiatif berkenaan.
Firma penyiaran digital iQiyi turut mengumumkan tidak lagi menyokong rancangan-rancangan pencarian bakat baru selebriti. CEO syarikat Gong Yu menyifatkan rancangan sebegitu sebagai tidak sihat. Bagaimanapun, ada menyifatkan gerakan sebegini sebagai cara menghapuskan mana-mana sumber kuasa dan pengaruh dalam masyarakat seperti media dan teknologi daripada mencabar hegemoni Parti Komunis China (CCP) ke atas China.
Ini bukan kali pertama Wei berdepan kontroversi sepanjang kariernya sebagai pelakon dan ahli perniagaan. Pada 2018, Wei dan suaminya Huang Youlong dikenakan penggantungan daripada bursa saham selama lima tahun kerana memberi maklumat palsu dalam urusan pengambilalihan korporat.
Beliau juga dikritik kerana mengumpul kekayaan melebihi AS$1 bilion (RM4.19 bilion) selepas memperoleh saham dalam produksi filem Alibaba, Alibaba Pictures. Saham tersebut diperoleh atas nasihat peribadi Ma.
Pada 2016 pula, Wei dituduh menyokong usaha pemisahan Taiwan menerusi filem No Other Love yang turut menampilkan pelakon Taiwan, Leon Dai. Walaupun sudah memohon maaf dan pihak studio bersedia menukar Dai dengan pelakon lain, ia masih mencetuskan kemarahan kelompok nasionalis di China.
RUJUKAN:
Frater, Patrick. (2021). Celebrities Disappear From Internet as China Moves Against Fan Culture. Variety.
Sumber gambar: Instagram rasmi Kris Wu, Zhao Wei dan Zhang Zhehan