fbpx

FIFA Bersenang-Lenang Dikala Bola Sepak Sedang Tenat

0 283

Seperti mana-mana industri ekonomi lain, industri sukan terutama bola sepak juga turut terkesan dengan pandemik Covid-19.

Bukan sedikit kelab dan liga global mengeluh dengan situasi kewangan masing-masing hingga terpaksa memotong kos termasuk gaji dan bilangan pekerja.

Advertisement

Namun ada satu kumpulan yang langsung tidak terjejas akibat pandemik iaitu eksekutif-eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

fifa
Kredit: Forza Italian Football

Tatkala liga-liga memikirkan kos menamatkan saingan liga atau menyambung saingan apabila SOP PKP negara-negara mereka dilonggarkan, 37 eksekutif yang menjadi sebahagian daripada majlis pentadbiran FIFA pula ibarat tidak berluluk mengambil cekarau.

Mereka meraih gaji sebanyak AS$250,000 (RM1.01 juta) dengan syarat menghadiri mesyuarat sebanyak tiga kali.

Sementara bagi ahli majlis yang mempunyai tanggungjawab lain dalam organisasi akan mendapat wang yang lebih banyak. Bagi naib presiden FIFA misalnya, organisasi itu membayar mereka sekurang-kurangnya AS$300,000 (RM1.22 juta).

Memunculkan diri dalam mesyuarat pada era pandemik bukan lagi satu masalah. Apa yang diperlukan ialah talian internet kuat dan kerusi empuk untuk bersandar.

Bila ditanya mengapa eksekutif-eksekutif FIFA tidak mengikat perut seperti liga dan kelab lain, seorang jurucakap organisasi itu memberitahu FIFA sudah banyak melakukan penjimatan dengan mengurangkan kekerapan perjalanan dan menganjurkan mesyuarat secara maya.

Bagi sesetengah eksekutif, mereka bukan sekadar mendapat gaji dalam struktur pentadbiran FIFA sahaja.

Sesetengah daripada mereka turut mempunyai jawatan eksekutif dalam persatuan bola sepak serantau yang turut menawarkan kelebihan kewangan tersendiri.

Misalnya, eksekutif UEFA menerima €160,000 (RM793,096) dengan naib presiden UEFA pula mendapat €250,000 (RM1.24 juta).

Greg Clarke
Kredit: Skynews

Hal ini dapat menjelaskan mengapa Greg Clarke mendapat pampasan lebih banyak semasa menjadi naib presiden FIFA berbanding sebagai Pengerusi Persatuan Bola Sepak England (FA).

Clarke dipaksa meletak jawatan beberapa minggu lepas selepas mengeluarkan pelbagai kenyataan kontroversi semasa memberi keterangan tentang situasi sukan bola sepak di Parlimen Britain.

Dalam kalangan FIFA dan enam persatuan bola sepak serantau, hanya UEFA saja yang melaksanakan potongan gaji selama tiga bulan sebanyak 20% awal tahun ini.

Potongan tersebut dibuat selepas kebanyakan liga Eropah digantung berikutan situasi pandemik Covid-19.

Keputusan FIFA yang terus membayar enam angka kepada eksekutifnya dilihat ramai pihak termasuk pemegang taruh sebagai tidak bertanggungjawab dan tamak.

Beberapa minggu lepas, gergasi bola sepak Sepanyol Barcelona mengumumkan langkah pemotongan gaji pemain dengan kos AS$150 juta (RM609 juta). Bagi mereka, FIFA seolah-olah duduk dalam gelembung tatkala orang lain termasuk kelab menderita.

Baca juga Mengapa Pemain Bola Sepak Perlu Dibayar Gaji Tinggi di sini

Begitupun, kuasa ahli majlis pentadbiran FIFA ini dilihat terhad jika dibandingkan dengan kuasa biro Majlis FIFA.

Biro ini dianggotai oleh Presiden FIFA dan enam pengerusi persatuan bola sepak benua dan bertanggungjawab memutuskan semua keputusan berkait bola sepak.

Ahli majlis pula tidak perlu bercakap dan mengikut saja rentak ketua persatuan benua masing-masing.

Walaupun jawatan ini dilihat seperti pak turut saja dalam organisasi, ahli majlis pentadbiran masih menikmati pelbagai kelebihan.

Antara kelebihan yang ditawarkan seperti diterbangkan ke lokasi-lokasi eksotif, kemudahan penginapan mewah dan pampasan kewangan jika tidak dapat pergi ke lokasi mesyuarat.

Selain itu, mereka juga boleh mendapat kerusi terbaik dalam stadium dan tiket perlawanan besar.

Dengan kelebihan sebegini yang menjanjikan kehidupan mewah kepada pemegang jawatan, tidak hairanlah sesetengah eksekutif sanggup melakukan apa saja untuk mengekalkan gaya hidup tersebut termasuk rasuah.

Bagi mana-mana negara yang sanggup berbuat demikian, eksekutif ini ibarat orang disorong bantal.

Oleh sebab itulah, sesiapa saja yang melihat skala kes rasuah FIFA pada 2015 pasti akan menggeleng kepala.

Aktiviti rasuah dilihat rancak berlaku dalam perkara seperti hak tuan rumah Piala Dunia, hak penyiaran perlawanan Piala Dunia dan pemilihan Presiden FIFA.

Antara yang terpalit ialah bekas pengerusi Persatuan Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Carribean (CONCACAF), Jack Warner.

Selepas didedahkan sebagai antara eksekutif FIFA dan CONCACAF yang terlibat dalam kegiatan rasuah pada tahun 2015, Warner bersama beberapa eksekutif lain didakwa atas kesalahan rasuah pada tahun itu.

Nasib sama turut menimpa legenda Perancis, Michel Platini selepas didapati menyalurkan wang kopi kepada presiden FIFA ketika itu, Sepp Blatter. Platini digantung daripada aktiviti bola sepak sehingga 2023.

Michel Platini
Kredit: Glasgow Times

Skandal rasuah 2015 menjejaskan kredibiliti FIFA dan terus menghantui organisasi itu sehingga hari ini.

Walaupun tampuk presiden kini diisi oleh Gianni Infantino, masih kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan reformasi pasca-skandal itu bersifat kosmetik dan ia masih berterusan sehingga hari ini.

Oleh sebab itulah, seorang pegawai bola sepak yang enggan dikenali berkata cara terbaik mereformasikan FIFA ialah dengan mengurangkan bilangan kerusi dalam majlis pentadbiran FIFA.

Namun kaedah terbaik ialah menyingkirkan mana-mana eksekutif yang tidak layak dan mengekalkan individu yang berkemampuan membawa organisasi itu ke hadapan.

Source Panja, T. (2020). Soccer Faces a Cash Crunch. Its Leaders Aren’t Feeling It. The New York Times.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.