
Firma China Rekrut Jurutera Jepun Untuk Jadi Gergasi Automotif Dunia
Bukan satu rahsia Jepun kini berdepan pelbagai kemelut ekonomi sejak kebelakangan ini seperti deflasi dan kekurangan tenaga kerja. Kekurangan tenaga kerja mula dirasai dalam pelbagai sektor termasuk sektor automotif. Sebahagian daripada mereka seperti Masato Katsumata memilih berhijrah ke China bagi membantu firma-firma automotif China termasuk pembuatan kenderaan elektrik.
Nama Katsumata mungkin asing di mata orang ramai. Tetapi di syarikat lamanya Toyota, beliau bertanggungjawab menyelia projek penambahbaikan model Camry dan membantu melancarkan beberapa projek syarikat di luar negara. Dengan tempoh perkhidmatan selama 30 tahun, beliau merupakan aset bernilai kepada mana-mana syarikat automotif dari segi pengetahuan dan pengalaman.
Advertisement
Tetapi selepas dilepaskan Toyota, khidmatnya segera disambar oleh Kumpulan Automobil Guangzhou (GAC). Apabila Katsumata diperkenalkan dalam satu acara untuk pelabur baru-baru ini, beliau diperkenalkan sebagai ketua jurutera pengurusan teknikal di jabatan kajian dan penyelidikan (R&D) syarikat.

Katsumata merupakan sebahagian daripada gelombang pekerja Jepun yang direkrut oleh syarikat-syarikat automotif China susulan tindakan firma-firma automotif Jepun melepaskan ramai pekerja mereka. Trend ini tidak hanya berlaku kepada pekerja berpengalaman tetapi turut membabitkan pekerja-pekerja muda.
Selain Katsumata, rakan lamanya dari Toyota Yoshitsugu Miyashita dibawa menyertai firma Xpeng pada 2019 sebagai pengarah kanan kualiti pengilangan. Sebelum ini, Miyashita pernah berkhidmat sebagai pengarah jaminan kualiti dan pengurusan untuk firma kerjasama Toyota dan GAC, GAC Toyota Motor. Seperti Katsumata, beliau juga berkhidmat dengan Toyota selama 40 tahun.
Kebiasaannya, mereka dijanjikan gaji lumayan dan pelbagai kelebihan sekiranya ingin menyertai firma-firma ini. Bukan satu rahsia ada yang ditawarkan gaji sebanyak enam angka, kadang-kadang sehingga AS$300,000. Ada syarikat turut menawarkan khidmat penterjemah atau pemandu selepas mereka sah menyertai firma tertentu.
Di Jepun, mereka hanya perlu memantau beberapa orang pekerja sahaja. Tetapi di China dalam kes Katsumata, beliau bertanggungjawab untuk memantau dan melatih puluhan pasukan pekerja. Sesetengah mereka merupakan ubi muda tetapi itu tidak menjadi masalah kepadanya. Malah, itu juga menjadi sebab Katsumata menerima tawaran GAC.
Jepun kini menjadi lubuk kepakaran yang diburu banyak negara termasuk China yang berdepan kekurangan pakar-pakar automotif. Salah satu sebab mereka sibuk merekrut pakar-pakar Jepun ialah tindakan Beijing menjadikan kenderaan elektrik sebagai industri teras utama.
Bagi menggalakkan firma-firma tempatan terlibat dalam usaha ini, puluhan juta yuan dibelanjakan dalam bentuk subsidi jualan sebagai ganjaran untuk mereka terus berkembang. Bagi syarikat-syarikat baru, ini merupakan satu prospek menarik.
Tetapi mereka tidak mempunyai pakar-pakar pembuatan yang dapat memudahkan usaha pengembangan syarikat. Ini mendorong mereka merekrut ramai pakar automobil dari pelbagai negara termasuk Jepun untuk merealisasikan matlamat itu.
Di Jepun, sesetengah syarikat terpaksa mengurangkan bilangan pekerja mereka dengan pelbagai cara termasuk skim persaraan awal dan pemberhentian sementara. Honda baru-baru ini membenarkan 2,000 orang pekerja mereka mengambil persaraan awal selepas skim berkenaan dibuka pada April lepas. Sementara Nissan telah mengurangkan 19,000 orang pekerja sejak dua tahun lalu.
Situasi yang melanda industri automotif Jepun ini ibarat ulangan skrip yang menimpa industri semikonduktor Jepun. Semasa tahun 80-an, ia merupakan pemain industri utama. Bagaimanapun, menjelang 90-an, kebanyakan firma semikonduktor Jepun berdepan masalah kewangan yang serius.
Ini mendorong ramai jurutera Jepun angkat kaki. Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh gergasi elektronik Korea Selatan untuk merekrut mereka sebagai tenaga pakar dalam bidang tersebut. Hari ini, Samsung berupaya mendominasi pasaran terima kasih kepada tenaga import Jepun mereka.
RUJUKAN:
Kawakami, Takashi. (2021). Japanese engineers find greener pastures with Chinese automakers. Nikkei Asia.
Sumber gambar: Aly Song/Reuters