fbpx

Five Jenama Terbaru Minyak Petrol Malaysia

0 2,158

Selalunya bila kita ke stesen minyak, jenama yang selalu dilihat sama ada Petronas, Shell, BHP atau Petron. Hari ini, satu lagi pemain bakal memasuki industri peruncitan minyak tempatan iaitu FIVE Petroleum Malaysia Sdn Bhd atau FIVE.

 

Pengerusi syarikat Datuk Juhari Abdul Ghani memberitahu syarikat telah menerima lesen operasi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 15 Januari 2020. FIVE membuka stesen minyak mereka yang pertama di Selangor pada 7 Mac 2020.

 

Advertisement

“Awal tahun ini, FIVE sedang sibuk memperincikan pelan pembinaan selepas mendapat lesen apabila pandemik melanda. Sebagai mematuhi undang-undang negara, FIVE memperlahankan usaha pembinaannya. Begitupun, kami tidak pernah berhenti meraih kemajuan bagi memastikan kami membawa produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya pada upacara perlancaran jenama secara dalam talian yang berlangsung pada 17 Oktober lalu.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

 

FIVE mensasarkan menjadi pemain industri peruncitan petrol tempatan yang berdaya saing di Malaysia, mengenal pasti lokasi sesuai untuk stesen-stesen minyak berteknologi tinggi dan memberi pengalaman isian minyak yang berbaloi kepada warga tempatan.

 

“Disebabkan faktor seperti kepadatan penduduk, lokasi, aktiviti ekonomi, jenama petrol jarang mempertimbangkan kawasan luar bandar sebagai lokasi stesen minyak mereka. Atas sebab itulah, penduduk luar bandar selalu mengalami kekurangan bekalan petrol.

 

“FIVE diasaskan untuk mengatasi isu ini. Kami berharap dapat mendirikan lebih banyak stesen minyak di lokasi-lokasi lain supaya penduduk di luar bandar dapat menikmati teknologi dan kemudahan ditawarkan FIVE,” tambahnya.

 

Pengarah urusan syarikat Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui menambah FIVE juga merupakan penyokong inisiatif pendigitalan Malaysia.

 

Bagi merealisasikan inisiatif pendigitalan, FIVE melengkapkan setiap stesen minyak dengan kecerdasan buatan (AI) dan kemudahan pendigitalan seperti pengenalan nombor plat kenderaan.

 

“Kami bukan sekadar mendigitalkan bagaimana peruncitan minyak dilakukan, kami mendigitalkan keseluruhan bisnes dari sistem awan tempat jualan, platform kesetiaan bergerak dan memudahkan teknologi pembayaran digital melalui AI – pembayaran tanpa tunai, untuk dibawa ke seluruh Malaysia,” ujarnya.

 

Datuk Seri King menambah FIVE juga sedang menyediakan pelan hala tuju bagi usahawan yang berminat, sekaligus membuka jalan kepada pemilikan stesen minyak yang lebih mudah.

 

“FIVE akan menawarkan laluan lebih pantas dan mudah untuk usahawan yang berminat. Dengan mengurangkan syarat pemilikan, lebih ramai orang dapat menyertai industri sekaligus menguntungkan pengguna,” katanya.

 

Sementara itu, Datuk Seri Alexander menyifatkan FIVE sebagai satu jenama tempatan yang harus disokong selaras dengan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

 

Hal ini demikian kerana dengan menyokong jenama tempatan seperti FIVE, ia merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dan mengurangkan aliran keluar wang dari Malaysia.

 

FIVE kini sedang merancang membuka 200 stesen minyak baru di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun dan berharap dapat membawa prospek baru dalam industri peruncitan minyak tempatan menerusi inovasi dan teknologi terkini.

Source Bernama. (2020). FIVE makes debut as one-stop petrol retailer for Malaysians. The Edge.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.