fbpx

Garis Kemiskinan Tidak Sesuai Sebagai Alat Selaras Gaji Minimum

0 106

Semua sedia maklum kerajaan baru-baru ini mengumumkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) terbaru iaitu RM2,208 berbanding RM980 yang dibuat pada tahun 2005. Ada yang melihat sudah tiba masanya gaji minimum ketika ini diubah selaras dengan PGK baru ini.

 

Antara yang menyarankan semakan ini ialah Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat. Cadangan itu dikemukakan kerana had gaji minimum pekerja ketika ini masih lagi di bawah PGK baharu.

 

Advertisement

Beliau berkata, berdasarkan nilai baharu PGK ini, seramai 405, 441 isi rumah di negara ini dilaporkan berada pada paras kemiskinan.

Kredit: Mstar

“Jika kita lihat gaji minimum di sektor swasta ketika ini ditetapkan pada paras RM1,200 sebulan, sementara gaji permulaan asas penjawat awam tanpa mengambil kira elaun juga RM1,200 sebulan. Ini bukan sesuatu yang harus dibanggakan jika gaji yang diterima golongan pekerja masih lagi di bawah PGK baharu.

 

“Ada yang bekerja berbelas tahun tetapi gaji yang dinikmati mereka masih lagi di bawah atau sama dengan nilai PGK baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan beberapa minggu lepas.

 

Tambahnya, sekiranya dibuat perbandingan dengan nilai PGK baharu ini, dapat disimpulkan bahawa gaji minimum yang ditetapkan di Malaysia sebenarnya di bawah PGK.

 

Tidak kira sama ada mereka bekerja di sektor awam atau swasta, kedua-dua golongan pekerja tersebut merupakan rakyat Malaysia yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

 

“Namun, CUEPACS tidak mahu mengemukakan apa-apa cadangan mengenai nilai atau had gaji minimum yang baru dan patut ditetapkan kerajaan berdasarkan nilai PGK baru ini kerana bimbang ia akan disalah erti oleh pihak-pihak tertentu. Cuma kami berpandangan adalah wajar kerajaan menilai semula gaji minimum golongan pekerja di negara ini terutama melibatkan penetapan had gaji minimum sekiranya kita menjadikan PGK itu sebagai rujukan,” katanya.

 

Namun bagi Bank Dunia, sebarang tindakan menyemak semula gaji minimum berpandukan PGK baru disifatkan satu kesilapan.

 

Hal ini demikian kerana menurut Ahli Ekonomi Kanannya, Kenneth Simler, purata PGK sebanyak RM2,208 itu bertujuan memudahkan kerajaan menyalur bantuan dan keperluan asas kepada purata satu isi rumah berkenaan.

 

Dalam satu-satu keluarga atau isi rumah yang lazimnya di Malaysia adalah seramai kira-kira empat orang, berkemungkinan memiliki lebih daripada seorang pencari nafkah. Tidak semua bekerja mengikut gaji minimum sedangkan PGK diukur untuk keseluruhan isi rumah.

 

“Ia mungkin isi rumah yang lebih kecil, atau mungkin ada banyak pencari nafkah di dalam isi rumah berkenaan. Dan jika seseorang adalah satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga empat orang, maka mereka akan memerlukan sesuatu yang lebih baik daripada pekerjaan gaji minimum. Ia berbalik kepada latihan, peningkatan kemahiran, dan akses yang lebih baik untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan bayaran lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

 

Kadar gaji minimum di Malaysia ketika ini ialah RM1,200 sebulan berbanding RM1,100 sebelum tetapi ia hanya membabitkan di 57 bandar utama di seluruh negara manakala yang lain masih kekal pada kadar sama.

 

Pelaksanaan itu susulan pembentangan Belanjawan 2020 dan keputusan Jemaah Menteri pada 6 Disember 2019 berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan di kawasan wilayah bandar utama.

 

Tambah Simler, implikasi paling asas disebabkan oleh kajian semula PGK itu kepada dasar awam ialah pengiktirafan besar bahawa kemiskinan tegar masih wujud di Malaysia di sebalik kepercayaan meluas bahawa ia sudah dibasmi.

 

Justeru, tumpuan dasar kepada golongan B40 adalah penting untuk memberi perhatian terhadap keperluan keluarga berpendapatan rendah tetapi pada masa sama meningkatkan tumpuan kepada mereka yang hidup dalam kemiskinan.

 

“Langkah kemiskinan mutlak baharu ini dapat digunakan bersamaan dengan petunjuk pendapatan relatif dalam reka bentuk, dan juga pemantauan dan penilaian, dasar dan program untuk meningkatkan kesejahteraan orang yang kurang bernasib baik di Malaysia.

 

“Dasar-dasar untuk mengurangkan kemiskinan dan memupuk perkongsian kemakmuran Malaysia yang lebih besar akan memanfaatkan dengan menerapkan beberapa perhatian terhadap perincian yang dimasukkan ke dalam metodologi garis kemiskinan.

 

“Semasa mengira kadar kemiskinan 5.6%, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak membandingkan pendapatan setiap isi rumah dengan PGK RM2,208 yang sering disebut itu kerana ia hanyalah purata. Sebaliknya, PGK yang berbeza dikira untuk setiap isi rumah bergantung kepada berapa banyak orang yang tinggal bersama dan kos tempatan untuk barang dan perkhidmatan asas yang sangat berbeza di seluruh Malaysia,” katanya.

Source Hussain, Hasniza. (2020). Cuepacs cadang had gaji minimum berpandukan PGK baharu. Sinar Harian. Mohamad, Hazwan Faisal. (2020). Garis kemiskinan bukan ukuran gaji minimum - Bank Dunia. Berita Harian.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.