fbpx

Geopolitik Top 5 (16-30 Jun 2020)

0 411

5. Semenanjung Korea: Percanggahan Adik-Beradik Kim

Advertisement

Susulan daripada “insiden belon” di mana dua kumpulan pelarian (defectors) dari Korea Utara ke Korea Selatan telah mengedarkan sejumlah 500,000 risalah propaganda anti-rejim Kim Jong-un menerusi sempadan Zon Bebas Tentera Korea (DMZ) pada 31 Mei.

 

Kim Yo-jong, adik Kim Jong-un telah meletupkan Pejabat Perhubungan Korea Utara-Selatan di Kaesong (di Korea Utara) pada petang 16 Jun.

 

Pejabat tersebut diwujudkan selepas perjumpaan bersejarah antara Kim Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in pada April 2018 yang meredakan ketegangan antara dua Korea.

 

Tindakan Kim Yo-jong seolah-olah memberi isyarat bahawa tempoh bulan madu antara dua Korea telah pun tamat dan kini dua Korea kembali berseteru.

Pejabat Perhubungan Korea Utara-Selatan sebelum dan selepas diletupkan

Namun seminggu selepas itu, agensi berita rasmi Korea Utara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kim Jong-un telah menggantungkan sebarang operasi ketenteraan yang selanjutnya.

 

Tindakan U-turn ini membingungkan ramai tentang niat sebenar Kim Jong-un. Adakah wujud persaingan antara Kim Jong-un dan adiknya? Adakah Kim Yo-jong memainkan peranan “bad cop” manakala abangnya memainkan peranan “good cop”? Atau sebenarnya masalah tiada Whatsapp group?

 

4. AS-China : Pertemuan Pompeo-Yang

Pada 17 Jun, Setiausaha Negara (Menteri Luar) AS, Mike Pompeo telah berjumpa dengan Yang Jiechi (bekas Menteri Luar China dan kini pengarah Suruhanjaya Hal Ehwal Luar China) di Hawaii.

 

Ianya merupakan perjumpaan pertama antara pegawai tinggi AS dan China sejak perjanjian perdagangan AS-China pada 15 Januari 2020 Pertemuan ini menandakan perubahan dalam hubungan AS-China yang menjadi semakin tegang akibat isu COVID, 5G dan Hong Kong.

 

Yang Jiechi juga dikenali sebagai tokoh China yang lebih mesra AS. Jadi pemilihannya sebagai wakil China bagi pertemuan ini juga menandakan kesungguhan pihak China untuk meredakan ketegangan dua hala.

 

Namun pertemuan selama 7 jam itu tidak membawa hasil yang konkrit. Malah pada hari yang sama Trump telah meluluskan Akta Dasar Hak Kemanusiaan Uyghur 2020 yang ditujukan kepada dasar China terhadap Uyghur di Xinjiang.

 

Susulan daripada itu, China juga meluluskan Undang-Undang Keselamatan Negara bagi Hong Kong pada 30 Jun, mengundang reaksi tegas daripada AS.

 

Masa menjadi semakin suntuk bagi Trump untuk menyelesaikan masalah AS-China menjelang pemilihan presiden pada November nanti.

 

3. AS-Jerman: Penarikan Tentera AS

Pada 15 Jun, Presiden AS, Donald Trump telah mengumumkan pelannya untuk menarik keluar sebahagian besar tentera AS di Jerman, mengurangkan jumlah tentera AS dari 34,500 kepada 25,000.

 

Jerman merupakan negara yang menempatkan paling ramai tentera AS selain Jepun (ada dalam 55,000 tentera AS). AS menempatkan tenteranya di Jerman Barat sejak selepas Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945 disebabkan Jerman berada di barisan paling hadapan yang berdepan dengan ancaman komunis Kesatuan Soviet.

Jerman mempunyai paling ramai tentera AS di Eropah, diikuti oleh Itali, UK dan Sepanyol

Kehadiran tentera AS juga kira win-win bagi Jerman. Jerman tidak perlu berfikir banyak pasal soal pertahanan, berfokus kepada pembangunan ekonomi.

 

Negara jiran pun tak perlu risau tentang kekuatan ketenteraan Jerman yang mencetuskan Perang Dunia Pertama dan Kedua.

 

Namun fikiran Trump lain sikit. Sebelum jadi presiden lagi Trump telah mengadu pasal “ketidakadilan” yang wujud dalam perjanjian pertahanan antara AS dan sekutunya termasuk Jerman.

 

AS berbelanja 3.4% daripada nilai KDNK-nya untuk menanggung perbelanjaan NATO sedangkan Jerman hanya berbelanja 1.4% daripada KDNK-nya. Sumbangan AS bersamaan dengan 70% daripada perbelanjaan keseluruhan NATO.

 

Jadi Trump sering mengugut untuk menarik keluar tentera AS dari Jerman sekiranya Jerman tidak menaikkan perbelanjaannya kepada 2% daripada KDNK-nya.

 

Sekiranya Trump betul-betul melaksanakan pelannya, ia akan memberi kesan jangka pendek kepada perpaduan pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan kesan jangka panjang kepada hubungan Jerman dan negara-negara jiran (seperti Perancis dan Poland yang sentiasa sangsi dengan Jerman), sekiranya Jerman terpaksa bergantung pada diri untuk tujuan pertahanan

 

2. Mesir-Ethiopia: Perebutan Air Sungai Nil

Pada 20 Jun, Mesir telah menghantar surat ke Majlis Keselamatan PBB untuk menyuarakan bantahannya terhadap projek empangan Grand Ethiopian Renaissance Dam (GERD) di Ethiopia yang hampir siap dan akan mula mengisi air pada bulan depan.

 

Sementara itu Mesir juga mengerah tenteranya sebagai siap siaga jika terpaksa bertembung dengan Ethiopia.

 

GERD yang dilancarkan oleh kerajaan Ethiopia pada April 2011 menjadi punca ketegangan Mesir-Ethiopia kerana Mesir amat bergantung kepada sumber Sungai Nil.

 

Disebabkan kedudukan Mesir di hilir sungai, GERD akan mengalihkan air sungai dari batang Sungai Nil Biru (Blue Nile) dan mengurangkan bekalan air ke Mesir, dengan itu mengancam sektor pertanian dan kelangsungan hidup harian rakyat Mesir.

Projek GERD juga mendapat sokongan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang ada perjanjian dengan Ethiopia untuk mengimport elektrik dari janaan hidro.

 

Disebabkan kerajaan Presiden Sisi terpaksa rapat dengan Saudi-UAE, jadi Mesir tak ada taring sangat dalam perundingannya dengan Ethiopia dan terpaksa merujuk kepada PBB.

 

Namun selepas seminggu ketegangan, Mesir dan Ethiopia telah menyambung semula perundingan untuk menyelesaikan GERD.

 

Samada taktik Sisi berjaya menggertak Ethiopia, atau Ethiopia tidak mahu masalah ini dipanjangkan dan mengganggu cita-citanya untuk mentransformasi ekonominya melalui GERD.

 

1.China-India: Krisis Sempadan di Kashmir

Pada 16 Jun, 3 askar India telah terbunuh dalam standoff antara tentera India dan China yang berlanjutan sejak 5 Mei dekat Galwan Valley yang berada di antara Ladakh (salah satu kawasan Kashmir yang dikuasai India) dan Aksai Chin (kawasan Kashmir yang dikuasai China).

 

Pihak India kemudian berdakwa bahawa angka kematian yang sebenar adalah 43 askar India dan 20 askar China.

 

Kawasan Galwan Valley adalah hotspot yang sering membawa kepada konflik India-China, antaranya Perang India-China pada tahun 1962 yang mengorbankan ribuan askar dari kedua-dua pihak.

 

Jadi ramai risau pertembungan India-China kali ini juga akan membawa kepada Perang Dunia Ketiga memandangkan kedua-dua negara adalah kuasa besar pemilik senjata nuklear.

 

Selain isu di Kashmir, China juga merupakan sekutu tegar Pakistan musuh tegar India. Hal itu memperkuatkan lagi alasan bagi India dan China untuk bercakaran antara satu sama lain.

Namun hakikat pemilikan senjata nuklear itu lah yang berjaya mengelakkan konflik langsung antara dua gergasi ini.

 

Tiada lagi peperangan langsung antara India serta China sejak China menjalani ujian bom nuklear pertama pada tahun 1964 dan diikuti oleh India pada tahun 1974. Jadi konflik kali ini pun tidak akan membawa kepada perang yang nyata.

 

Walaupun tidak berperang, kedua-dua negara ini kini memanipulasi sentimen nasionalis untuk memajukan agenda masing-masing.

 

Kerajaan India telah mengambil peluang untuk menyekat pelbagai aplikasi teknologi China seperti TikTok atas alasan keselamatan negara malah ia kini sedang mempertimbangkan untuk menyekat teknologi 5G Huawei.

 

Konflik kali ini akan semakin merenggangkan India dan China yang merupakan rakan dalam kumpulan BRICS yang ditubuhkan untuk mencabar hegemoni AS.

 

Namun kepentingan geopolitik telah membuat India dan China menjadi seteru, dan juga menyebabkan India semakin mencondong ke AS.

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.