fbpx

Geopolitik Top 5 Minggu Pertama Mac (1-6 Mac 2020)

0 1,893

5. Taiwan: Akta TAIPEI

Advertisement

Pada 4 Mac, Dewan Perwakilan (House of Representatives) Amerika Syarikat (AS) dengan sebulat suara meluluskan Taiwan Allies International Protection and Enhancement Initiative Act (TAIPEI Act).

Akta tersebut dicadangkan oleh wakil rakyat dari kedua-dua Parti Demokrat dan Parti Republikan untuk membantu Taiwan mempertahankan hubungannya dengan negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengannya.

Kerajaan Taiwan atau Republik China (ROC) merupakan kerajaan yang memerintah Tanah Besar China dari tahun 1912 hingga 1949 sebelum tewas dalam Perang Saudara China (1947-1949) dan lari ke Taiwan.

Komunis yang menang mendirikan Republik Rakyat China (PRC) iaitu “China” yang kita kenali pada hari ini. Oleh itu, “Prinsip Satu China” terpakai di mana negara hanya boleh mengadakan hubungan dengan China atau Taiwan, tak boleh dua-dua.

Pada asalnya Taiwan diiktiraf oleh lebih banyak negara berbanding China, tapi ekoran kebangkitan China dari segi ekonomi dan ketenteraan, satu per satu negara memutuskan hubungan dengan Taiwan.

Sekarang hanya tinggal 14 negara (ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) yang masih mengiktiraf Taiwan. Malah sejak Tsai Ing-Wen menjadi Presiden Taiwan pada tahun 2016, 6 negara telah meninggalkan Taiwan akibat tekanan diplomatik dan ekonomi China.

Jadi, Akta TAIPEI ini bertujuan untuk membantu mengukuhkan hubungan negara-negara ini dengan Taiwan supaya Taiwan tidak diasingkan dari dunia.

AS juga akan membantu meningkatkan kehadiran Taiwan dalam arena politik antarabangsa dengan membantu Taiwan menjadi ahli atau pemerhati di pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di mana Taiwan tidak dibenarkan menjadi pemerhati akibat bantahan China.

Kelulusan Akta TAIPEI ini menandakan tahap sokongan AS terhadap Taiwan yang paling tinggi sejak AS sendiri memutuskan hubungan dengan Taiwan dan mendirikan hubungan diplomatik dengan China pada tahun 1979. Jelas, AS mahu mempergunakan Taiwan dalam percaturan geopolitiknya terhadap China, tapi bagi Tsai yang mendukung agenda anti-China, sokongan AS ini merupakan satu kemenangan moral.

Jadi sebaik saja menerima berita kelulusan Akta TAIPEI, Tsai terus memanggil wakil AS di Taiwan, James F. Moriarty untuk menyampaikan penghargaannya kepada AS.


4. Eropah: COVID-19

Pada 4 Mac, Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn telah mengisytiharkan wabak Coronavirus atau COVID-19 (Coronavirus Disease 2019) sebagai pandemik dunia (weltweiten pandemie), istilah yang masih tidak mahu digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) kerana takut istilah itu akan menimbulkan panik di skala global.

Walaupun selama ini WHO kelihatan cuba downplay keseriusan COVID-19, namun penularan wabak yang semakin serius telah “memaksa” Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus untuk membuat kenyataan bahawa kadar kematian COVID-19 (3.4%) adalah lebih tinggi berbanding influenza dan negara-negara harus mengambil langkah yang lebih serius.

Setakat 5 Mac, 3,200 pesakit COVID-19 telah maut daripada 94,000 yang dilaporkan di seluruh dunia. China melaporkan paling banyak kes (80,270), diikuti oleh Korea Selatan (5,328), Itali (2,502) dan Iran (2,336).

Kenyataan Jerman dibuat susulan peningkatan kes sebanyak 22% (dari 196 kepada 240) dalam masa sehari. Setakat ini, semua negara Eropah telah melaporkan kes COVID-19 kecuali Vatican, Serbia, Montenegro, Kosovo, Albania, Bulgaria, Moldova dan Slovakia.

3. Israel: Kemenangan Netanyahu

Pilihanraya umum ketiga Israel dalam masa setahun berakhir dengan kemenangan Parti Likud yang dipimpin oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. Likud menang 36 kerusi, sementara itu parti lawannya Kahol Lavan yang dipimpin oleh Benny Gantz dapat 33 kerusi.

Namun begitu, jumlah kerusi yang dimenangi oleh semua parti-parti berhaluan kanan (Likud 36, Shas 9, United Torah Judaism 7, Yamina 7) masih tidak mencapai majoriti 61 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan. Dalam PRU pertama (April 2019), Likud dan Kahol Lavan masing-masing dapat 35 kerusi. PRU kedua Kahol Lavan dapat 33, Likud 32.

Keputusan kedua-dua PRU yang lepas gagal untuk menghasilkan kerajaan, dan nampaknya kali ini Israel pun masih akan mengalami deadlock pembentukan kerajaan. Manalah Netanyahu nak cari 2 lagi kerusi untuk cukupkan 61. Zionis jahat macam mana pun, jarang lompat parti.

Sekiranya Netanyahu berjaya membentuk kerajaan, bukan saja dia akan kekal sebagai perdana menteri Israel yang paling lama berkuasa (17 tahun), mengatasi rekod David Ben-Gurion (13 tahun), malah kemungkinan besar dia akan terlepas daripada tuduhan rasuah yang dihadapinya.

Dan paling penting sekali, perancangan Netanyahu untuk mengilhak (annex) Lembah Sungai Jordan di Tebing Barat Palestin di bawah Deal of the Century akan berjalan dan itu akan “membunuh” segala harapan perdamaian antara Israel dan Palestin. Jadi eloklah Israel kekal dalam keadaan deadlock sampai bila-bila.


2. Syria: Gencatan Senjata Turki-Rusia

Selepas 6 jam perundingan antara Recep Tayyip Erdogan, Presiden Turki dan Vladimir Putin, Presiden Rusia; Turki dan Rusia (mewakili Syria) akhirnya mencapai gencatan senjata di Syria bermula 6 Mac 2020.

Gencatan senjata ini menangguhkan perang terbuka antara Turki dan Syria buat sementara waktu. Sejak 3 Februari, Turki dan Syria telah berperang secara terbuka susulan serangan Syria ke atas pemberontak yang menguasai sebahagian besar Idlib, antara kawasan Syria terakhir yang masih dipegang oleh pemberontak anti rejim Bashar al-Assad.

Sebagai penyokong pemberontak di Idlib (Tentera Kebangsaan Syria), Turki terpaksa berkonfrontasi dengan Syria untuk mempertahankan Tentera Kebangsaan Syria.

Namun perkembangan perang tidak berpihak kepada Turki, malah pada 27 Februari, 34 tentera Turki terkorban dalam serangan udara oleh Syria.

Syria disokong oleh Rusia, manakala rayuan Erdogan untuk mendapatkan bantuan tidak dihirau oleh AS dan NATO. Jadi Erdogan tiada cara lain selain berunding dengan Putin.

Tanpa apa-apa bargaining chip di pihak Turki, hasil perundingan agak berat sebelah ke Syria dan Rusia. Syria masih menguasai kawasan Idlib di selatan Lebuhraya M4 yang dirampas sepanjang serangan Syria. Jadi gencatan senjata ini adalah bersifat sementara, lebih kepada “membeli” masa untuk pihak Turki dan pemberontak supaya tidak wipe out oleh pakatan Syria-Rusia.

1. Amerika Syarikat: Kebangkitan Biden

Super Tuesday Parti Demokrat telah diadakan pada 3 Mac di mana 14 negeri mengadakan primary pemilihan presiden 2020 secara serentak.

Joe Biden, bekas naib presiden di zaman Barack Obama menang 10 (Alabama, Arkansas, Maine, Massachusetts, Minnesota, North Carolina, Oklahoma, Tennessee, Texas dan Virginia).

Manakala Bernie Sanders yang gagal dalam merebut dengan Hillary Clinton untuk jadi calon presiden Parti Demokrat tahun 2016 menang 4 (California, Colorado, Utah dan Vermont).

Dengan kemenangan ini, undi delegates yang dimiliki Biden ada melonjak ke 626, mendahului 550 yang dimiliki oleh Sanders. Untuk dinamakan sebagai calon presiden Demokrat, seseorang calon perlu mendapatkan 1,991 undi.

Keputusan Super Tuesday kali ini mengejutkan ramai kerana ramai anggap Biden sudah tidak mempunyai harapan selepas gagal untuk mendapatkan tempat pertama atau kedua dalam tiga primary pertama (Iowa, New Hampshire dan Nevada). Namun kemenangan mengejut Biden di South Carolina pada 29 Februari memberinya momentum menuju Super Tuesday.

Prestasi cemerlang Biden menunjukkan golongan arus utama dalam Parti Demokrat tidak begitu suka dengan Sanders. Mereka kurang selesa dengan idea sosialisme yang dibawa oleh Sanders dan nampaknya semua bersatu untuk menghalang kemaraan Sanders.

Pete Buttigieg dan Amy Klobuchar berundur sebelum Super Tuesday dan sokong Biden. Michael Bloomberg yang berundur selepas Super Tuesday juga menyatakan sokongan kepada Biden.

Sekarang semua menanti-nantikan siapakah yang Elizabeth Warren akan sokong selepasnya berundur.

Warren juga merupakan seorang progressive seperti Sanders, cuma dia tidak selesa dengan label sosialis sebagaimana Sanders yang bangga menggelar diri sebagai democratic socialist.

Sekiranya Warren sokong Sanders, kem progressive akan diperkukuhkan dan mungkin membantu Sanders dalam primary yang akan datang. Sekiranya Warren sokong Biden, maka Sanders berada dalam bahaya.

Namun perjalanan Biden dan Sanders masih jauh. Masih ada 32 negeri yang belum mengadakan primary, termasuk negeri-negeri besar seperti Florida, New York, Pennsylvania, Illinois dan Ohio.

Negeri-negeri atas pagar seperti Florida, Ohio dan Pennsylvania terutamanya, akan menjadi batu uji kepada kredibiliti Biden dan Sanders. Sesiapa yang mempunyai kelebihan di negeri-negeri tersebut, akan mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menewaskan Donald Trump pada 3 November 2020 nanti.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.