fbpx

GST Penyelamat Ekonomi Dikala Covid Melanda Negara?

0 320

Tidak lama dahulu, wujud suara-suara yang menggesa perlaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berikutan sistemnya yang cekap dan nilai kutipan cukai tersebut jauh lebih banyak berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan semula oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2018.

 

Namun berikutan situasi pandemik Covid-19, GST dijangka tidak diperkenalkan semula oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) buat masa ini.

 

Advertisement

Berdasarkan analisis Affin Hwang Capital, sasaran defisit fiskal tahun ini dijangka meningkat antara 5.8-6% sebelum diturunkan kepada 4% dalam tiga hingga empat tahun akan datang.

Kredit: Bolehcompare

Tambah Ketua Ahli Ekonomi dan Penyelidikan Affin Hwang Capital, Alan Tan, panduan itu sebenarnya menunjukkan GST tidak akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

 

Ianya berikutan fokus utama kerajaan ketika ini ialah memulihkan kembali ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

“Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada November ini ialah belanjawan pengembangan, yang mana ia akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara terutama permintaan domestik dan bukan hanya di bahagian pengguna, tetapi juga perniagaan.

 

“Begitu juga kerajaan dijangka akan berbelanja untuk perbelanjaan pembangunan yang mana terdapat beberapa projek pembinaan mega akan dihidupkan semula pada tahun depan. Maka, secara asasnya ia akan memerlukan kerajaan untuk berbelanja dalam perbelanjaan pembangunan.

 

“Justeru, kami tidak menjangkakan GST akan diumumkan dalam belanjawan akan datang berpandukan apa yang telah dinyatakan Menteri Kewangan sebelum ini untuk menurunkan defisit fiskal kepada 4% dalam tiga, empat tahun akan datang,” katanya dalam taklimat taklimat unjuran ekonomi Malaysia separuh kedua tahun 2020 pada Jun lepas.

 

Tambah Tan, jika kerajaan berhasrat memperkenalkan semula GST pada masa hadapan, maka kadar terbaik ialah 4% bersesuaian dengan kadar neutral pendapatan rakyat.

 

“Maksudnya ialah, hasil kutipan cukai daripada GST ini mencukupi untuk menampung hasil daripada kutipan SST yang dilaksanakan ketika ini.

 

“Pada masa sama kerajaan juga boleh memperkenalkan pakej pampasan tertentu seperti memberi bantuan tunai terutamanya kepada golongan B40, yang mana ia akan membantu dari segi penerimaan orang awam terhadap GST. Apabila situasi ekonomi kembali pulih, kerajaan kemudian boleh secara perlahan-lahan meningkatkannya kepada enam peratus, sama seperti kadar sebelum ini,” katanya.

 

Bagi Pengerusi Institut Strategi Antarabangsa, Cheah Chyuan Yong pula, beliau merasakan kadar 3% dilihat kadar terbaik sekiranya GST diperkenalkan semula.

 

Baginya, jika ia diperkenalkan semula, ia amat membantu kantung kewangan negara yang terjejas akibat Covid-19 termasuk ruang fiskal bagi menyelamatkan ekonomi negara dari kemelesetan ekonomi.

 

Berikutan kecekapannya menutup sebarang kelompangan yang timbul dari sistem SST, GST dilihat sistem percukaian terbaik mengatasi masalah ekonomi bawah tanah dan isu mengelak cukai.

 

Pengarah Urusan Reanda LLKG International Chartered Accountants, Koong Lin Loong berkata, ekonomi gelap telah menyebabkan kehilangan berbilion ringgit dan sekiranya aktiviti tersebut dapat dikekang, sudah tentu akan menyumbang kepada hasil negara yang terkesan akibat Covid-19.

 

Dari sudut analisis kuantitatif, GST yang berkuatkuasa pada 1 April 2015 sebelum digantikan oleh SST pada 1 September 2018 telah berjaya meraih hasil cukai sebanyak RM41 bilion pada 2016 dan RM44 bilion pada 2017.

 

Sebaliknya, hanya RM27.5 bilion sahaja yang berjaya dikutip melalui SST pada tahun 2019 yang melangkaui sasaran kutipan sebanyak RM22 bilion bagi tahun tersebut.

 

“Penyelesaian terbaik ialah dengan menumpukan kepada sumber-sumber cukai tidak langsung dengan mengembalikan GST yang akan meluaskan asas percukaian (pada kedua-dua tahap input dan output) bagi memastikan kaedah pungutan yang lebih cekap,’’ katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

 

Lin Loong yang juga Pengerusi Jawatankuasa SME, Persatuan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) berkata, dengan iklim ekonomi semasa yang merudum, tiada salahnya menguatkuasakan kembali GST pada kadar 3% bermula 2021, 4% pada tahun 2022 dan kemungkinan 6% menjelang 2025.

 

“GST boleh membantu meningkatkan hasil percukaian langsung. Di peringkat cukai korporat, banyak perniagaan berkemungkinan melaporkan kerugian, malah mungkin banyak yang gulung tikar kerana kesempitan aliran tunai akibat larangan bergerak bagi membendung virus Covid-19,” katanya.

Source Chyuan Yong, Cheah. (2020). 3 per cent GST would help economy. New Straits Times. Faisal Mohamad, Hazwan. (2020). GST dijangka tidak diperkenalkan semula – Penganalisis. Berita Harian. Sinar Harian. (2020). GST mampu hentikan ketirisan akibat ekonomi gelap.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.