fbpx

Harga Rumah Tinggi Jahanamkan Peluang Pembelian Warga Korea

0 796

Bagi golongan ekspatriat yang pernah berkhidmat di Korea Selatan, pasti pernah mendengar rungutan sesetengah rakan sekerja dalam mendapatkan rumah pada harga berpatutan.

 

Isu ini merupakan antara masalah utama yang dihadapi golongan kelas pertengahan Korea Selatan berikutan harga rumah terutama di bandar-bandar besar terlalu mahal.

 

Advertisement

Situasi ini memaksa sesetengah penduduknya memilih kawasan perumahan yang menawarkan pembiayaan kewangan mudah dan berpatutan harganya walaupun jauh dari tempat kerja masing-masing.

Kredit: WSJ

Bagi pereka dalaman Baek Seung-min, 35, situasi ini amat menekan perasaannya. Walaupun negara ketika ini berdepan pandemik Covid-19, dia meminta isterinya meninggalkan pekerjaan sebagai jururawat bagi meningkatkan peluang mendapat sebuah apartmen.

 

Seung-min berharap apabila isterinya tidak lagi bekerja dengan gaji 58 juta won (RM 203,432), layaklah mereka mendapat rumah mampu milik menerusi skim pembangunan hartanah baru yang dikelola kerajaan.

 

Skim tersebut bertujuan membantu pasangan yang baru berkahwin tetapi berpendapatan rendah mendapat rumah dengan lebih mudah.

 

Malangnya, perkara tersebut tidak berlaku. Semasa ditemubual agensi berita Reuters, Seung-min berkata, “Harga rumah di Seoul sudah menjadi terlalu mahal, jadi kami terpaksa pergi ke Incheon untuk membeli kediaman kami.

 

Kerajaan menghancurkan impian kami dengan menghalang kami mendapatkan pinjaman dan memberitahu kami agar tidak membeli rumah, ia membuatkan saya amat marah.”

 

Kisah Seung-min merupakan sekelumit daripada luahan penduduk yang kecewa dengan kegagalan polisi perumahan yang diperkenalkan Presiden Moon Jae-in.

 

Walaupun bertanggungjawab memperkenalkan 20 polisi pembekuan harga perumahan sejak dilantik sebagai presiden, ia masih gagal mengekang kenaikan harga rumah lebih 50% sejak tahun 2017.

 

Bagi ramai pakar, kegagalan ini berlaku berikutan peraturan cagaran yang lebih ketat dan pelbagai penalti cukai bagi kesalahan pembelian bersifat spekulatif. Peraturan sebegini mengakibatkan peningkatan harga sewa rumah dan bayaran muka yang lebih besar semasa pembelian dilakukan.

 

Bagi golongan kelas pertengahan yang menjadi teras utama ekonomi keempat terbesar di Asia itu, perkara ini menjejaskan impian mereka memiliki rumah.

 

Malahan, ramai melihat polisi-polisi ini lebih memudahkan anak-anak dari kelompok sudu emas (golongan berada) membeli rumah secara tunai.

 

Apabila perkara itu berlaku, kelompok sudu kotor (golongan kelas pertengahan) terus terperangkap sebagai golongan kelas kedua. Hal ini sekaligus menyemarakkan lagi isu ketidaksaksamaan pendapatan dalam kalangan penduduk Korea Selatan.

 

Disebabkan hal tersebut, sesetengah keluarga terpaksa mencari solusi kreatif bagi melayakkan mereka mendapat rumah yang berpatutan.

 

Selain memotong had pendapatan dengan pasangan berhenti kerja seperti dilakukan Seung-min, ada pula sanggup bercerai semata-mata nak dapatkan rumah pada harga berpatutan. Ya, bercerai semata-mata nakkan rumah!

 

Bagi pasangan yang berkahwin, mereka berdepan prospek cukai hartanah yang tinggi sekiranya membeli rumah. Justeru, demi mengurangkan kadar cukai hartanah, jika tidak bercerai secara sah, ada pula yang memilih tidak mendaftarkan perkahwinan mereka langsung.

 

Bagi yang memilih kaedah kedua, ia bertujuan meningkatkan peluang permohonan pembelian rumah secara individu. Bagi golongan kelas pertengahan Korea Selatan, penanda aras kekayaan sesebuah isi rumah ialah hartanah yang dimiliki.

 

Justeru, tiket paling mudah untuk memasuki golongan berkenaan ialah mendapat ijazah dari universiti-universiti terkemuka dan bekerja dalam sektor kolar putih seperti perundangan serta perubatan.

 

Masalahnya, polisi pembekuan yang diperkenalkan Jae-in tidak membantu langsung peluang mereka mendapatkan rumah walaupun berpendapatan enam angka.

 

Berdasarkan data KB Bank, jumlah tahun diperlukan purata sesebuah isi rumah Korea Selatan untuk membeli rumah ialah 14 tahun tanpa sebarang perbelanjaan berbanding 11 tahun sebelum ini.

 

Bagi peguam Hong Na-ri, 35, dia tidak berupaya membeli kediaman keluarganya sejak berpindah ke situ pada tahun 2015. Sebabnya mudah: harga rumah di kawasan kejiranannya meningkat dua kali ganda kepada 1.8 bilion won.

 

Situasi ini meletakkan Jae-in dalam situasi dilema. Hal ini demikian kerana antara matlamatnya sebagai Presiden Korea Selatan ialah mengawal ketamakan konglomerat chaebol yang berpengaruh seperti Samsung dan Hyundai.

 

Chaebol-chaebol ini merekodkan keuntungan berlipat kali ganda melebihi kadar pertumbuhan pendapatan isi rumah dan dilihat bertanggungjawab menyemarakkan lagi isu ketidaksaksamaan pendapatan warga negara itu.

 

Namun begitu, kegagalan beliau mengawal kenaikan harga rumah yang mendadak memberi kesan kepada popularitinya sebagai presiden.

 

Berdasarkan kaji selidik terkini, kadar sokongan terkini Jae-in ialah 44.5%, kadar populariti paling rendah dalam tempoh sembilan bulan. Hal ini sedikit sebanyak menghapuskan populariti yang dicapai selepas berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 di Korea Selatan.

 

Pakar ekonomi dan ahli parlimen pembangkang, Yun Chang-hyun memberi amaran pendekatan kerajaan ketika ini hanya mewujudkan situasi tidak menentu usaha mendapatkan hartanah.

 

Beliau berkata, “Lebih 20 kaedah diperkenalkan secara berasingan tanpa sebarang hasil. Ianya sekaligus membuatkan ramai orang bimbang dan merasakan mereka harus membeli sekarang atau tidak berpeluang mendapatnya.”

Source Reuters. (2020). South Koreans' middle-class dream dashed by soaring home prices. The Straits Times.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.