fbpx

HSR, Pembatalan Yang Membawa Kepada Kerugian

0 350

Rundingan projek infrarakyat mega; Kereta Api Berkelajuan Tinggi atau ‘High Speed Rail’ (HSR) pertama di Malaysia telah dimulakan pada tahun 2016, iaitu semasa zaman pentadbiran Perdana Menteri ke-6; Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.

Menurut laporan asal, projek HSR dirancang untuk menghubungkan rakyat Malaysia dan Singapura menerusi jaringan kereta api laju dari Kuala Lumpur hingga ke Singapura, yang juga alternatif baharu kepada laluan penerbangan antara yang paling sibuk di dunia.

Advertisement

Lebih daripada 90% laluan projek ini berada di atas bumi Malaysia, yang mana stesennya bermula dari Bandar Malaysia, kemudiannya melintasi Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri, sebelum melalui Selat Tebrau untuk ke stesen terakhir di Jurong East, Singapura.

Dari segi masa pula, projek HSR yang berkelajuan kira-kira 300 kilometer sejam itu dikatakan mampu menjimatkan masa lebih dari 90 minit berbanding menaiki kenderaan darat (3 hingga 4 jam), di samping berpeluang untuk menikmati keindahan bumi Malaysia di sepanjang 90 minit perjalanan.

Pada awalnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan projek HSR sepanjang 350km hanya menelan kos pembangunan sebanyak RM55 Bilion.

Namun begitu, kos keseluruhan HSR dikatakan meningkat kepada RM110 Bilion setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan negara. PH turut mengatakan kerajaan BN tidak mendedahkan banyak ‘kos tersembunyi’.

Kekeliruan yang tercetus ini telah memberikan petanda awal kepada rakyat Malaysia dan Singapura, bahawasanya; projek ini semakin jauh daripada realiti.

Hal ini dikatakan demikian kerana, kerajaan PH menjadikan hujah hutang negara ‘RM1 Trilion’ sebagai alasan utama untuk mereka tidak meneruskan projek infrarakyat yang ditakrifkan sebagai suatu ‘pembaziran’.

Berbalik kepada fakta tentang projek HSR, kerajaan Malaysia dan Singapura telah menandatangani perjanjian menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) pada 19 Julai 2016, menurut laporan astroawani.com.

MOU itu diteruskan pula dengan permeteraian Perjanjian Dua Hala yang bersifat lebih holistik dan tuntas pada 13 Disember 2016, dengan penetapan jarak projek sepanjang 350km serta pengurangan masa perjalanan kepada hanya 90 minit.

Menjelang 17 Oktober 2017, kerajaan Malaysia mula mengumumkan reka bentuk dan konsep kesemua 7 buah stesen HSR di Malaysia, yang berorientasikan warisan budaya Malaysia dan ditambah dengan percampuran ciri-ciri moden lagi futuristik.

Setelah itu, kedua-dua kerajaan menjalankan prosidur asas sebelum memulakan sesuatu projek, yang dikenali sebagai ‘Sesi Pemeriksaan Awam’. Sesi ini dilaksanakan pada 1 November 2017 hingga 31 Januari 2018.

Projek ini kemudiannya ditangguhkan oleh kerajaan Malaysia dan Singapura pada 19 September 2018, dengan persetujuan bersama di dalam penetapan tarikh penangguhan sehingga 31 Mei 2020.

Penangguhan ini memaksa kerajaan Malaysia untuk membayar kos pampasan penangguhan kepada Singapura sebanyak SGD $15 juta atau RM45 juta berdasarkan laporan FMT.

Pada 30 Mei 2020, kerajaan Malaysia pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Singapura bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan rundingan HSR kepada 31 Disember 2020 atas faktor penularan pandemik Covid-19 yang melanda kedua-dua negara.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikatakan berunding secara maya pada 2 Disember 2020, bagi merubah beberapa spesifikasi dan struktur asal projek, yang kononnya dibuat demi memanfaatkan kedua-dua buah negara.

Terbaharu, projek HSR secara rasminya terbatal pada 1 Januari 2021 setelah kedua-dua kerajaan gagal mencapai kata sepakat dalam meneruskan projek ini, sebelum tarikh penangguhan kedua berakhir pada 31 Disember 2020.

Kegagalan ini telah mengakibatkan kerajaan menanggung beban pampasan berjumlah sehingga RM320 juta hingga RM1 Bilion (anggaran), sepertimana yang diperkatakan oleh Mantan Perdana Menteri ke-6 dalam ciapan Facebook rasminya; Najib Razak bertarikh 4 Januari 2021.

Walau bagaimanapun, kenyataan yang dibuat oleh DS Najib itu disangkal oleh pihak kerajaan, menerusi ciapan balas di Facebook rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau menyatakan bahawa jumlah pampasan itu hanya lah bersifat spekulasi semata-mata, kerana kedua-dua kerajaan masih lagi belum memuktamadkan kos sebenar pampasan yang perlu dibayar.

Isu tentang pembatalan projek ini menjadi semakin hangat setelah Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung menjawab soalan berkaitan HSR di Parlimen negara Republik itu semalam; yang mana kerajaan Singapura telah membelanjakan SGD$270 juta (RM821 juta).

Sebahagian daripadanya merangkumi bayaran ke atas perkhidmatan rundingan projek, termasuk kos reka bentuk infrastruktur dan pengambilan tenaga buruh, di samping tanggungan kos pembatalan projek.

Dalam pada itu, Ong turut mendedahkan bahawa; kerajaan PN seolah-olah ingin ‘memansuhkan’ perjanjian asal berkaitan sistem ‘open tender’ yang tertakluk di bawah urus tadbir bersama menerusi Syarikat Aset (AssetCo), termasuk mengubah penjajaran HSR dengan menggantikan stesen di Bandar Malaysia ke KLIA, menurut laporan MalaysiaKini.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.